blogtunm.blogspot.com Tun M
1. Saya mengalu-alukan perhimpunan umat Islam yang bertujuan mempertahan kedaulatan Islam dan Perlembagaan. Saya sokong penuh tujuan-tujuan tersebut.
2. Tetapi saya tertanya-tanya samada benar tujuan mendaulat Islam atau bertujuan mendapat sokongan bagi parti-parti politik tertentu. Yang pertamanya yang memimpin dan berucap ialah pemimpin Parti politik UMNO dan PAS. Dan akhbar melapor hasrat perhimpunan ialah untuk memperingati Kerajaan akan kedudukan agama Islam.
3. Jika ia bertujuan mendaulat Islam, sepatutnya ia tidak terhad kepada parti politik tertentu sahaja. Gandingan parti-parti ini tidak mencerminkan solidariti orang Islam. Bahkan ia mengasing dan memisah umat Islam di Malaysia.
4. PAS sejak awal lagi mendakwa orang parti UMNO adalah kafir kerana bekerjasama dengan orang kafir. Dakwaan ini masih tidak dibatalkan. Bahkan Amanat Hadi yang mendakwa Kerajaan UMNO adalah kafir dan kematian pejuang melawan Kerajaan UMNO, jika meninggal adalah syahid.
5. Sekaligus dakwaan PAS dan Amanat Hadi memecah belah orang Melayu buat kali pertama. Orang Melayu semuanya beragama Islam dan termasuk golongan Sunni (Ahli Sunnah Wal Jamaah) pimpinan Imam Shafie. Tidak ada kelainan pendapat atau fahaman mereka berkenaan agama Islam sejak dahulu kala lagi. Mereka berpecah dengan mendalam dan teruk hanya apabila PAS ditubuh dan mendakwa orang UMNO kafir kerana bekerjasama dengan orang kafir. Demikianlah taksubnya orang PAS terhadap dakwaan ini sehingga ada yang anggap ibu bapa mereka yang menyertai UMNO sebagai kafir. Mereka dakwa perkahwinan orang UMNO tidak sah dan perlu dikahwin semula. Sembelihan orang UMNO haram dan tidak boleh dimakan oleh orang PAS dan bermacam lagi.
6. Sehingga sekarang PAS tidak pernah batalkan dakwaan UMNO kafir mereka dan Amanat Hadi. Bagi PAS orang yang tidak sertai PAS adalah kafir. Mengikut PAS hanya ahli PAS sahaja Islam. Sudah tentu orang Islam yang mencari suaka di Negara bukan Islam sudah jadi kafir.
7. Bagaimanakah PAS bersama UMNO berhak dakwa perhimpunan mereka menggambar solidariti orang Islam untuk kedaulatan Islam.
8. Ada pula orang yang berjawatan, yang membisu seribu bahasa berkenaan dakwaan PAS dan Amanat Hadi. Apakah mereka terima kesahihan dakwaan PAS dan Amanat Hadi.
9. Ada orang Islam yang kononnya ingin mengamal ajaran Islam. Tumpuan mereka adalah kepada perkara yang kecil yang mempunyai unsur politik. Sebaliknya larangan keras agama Islam tidak mendapat teguran dari mereka.
10. Sekarang kita sudah dapati orang Islam Malaysia yang menyertai peperangan sesama orang Islam. Mereka sanggup membunuh orang Islam, sesuatu yang dilarang oleh agama Islam. Tidak ada gerakan oleh orang Islam yang ingin mendaulatkan Islam ini yang berhujah berkenaan dosanya membunuh, terutama membunuh orang Islam.
11. Orang Islam itu bersaudara. Tetapi persaudaraan orang Islam dihapuskan dengan penubuhan PAS yang memperalatkan Islam secara salah untuk hancurkan persaudaraan antara orang Melayu Islam yang wujud sebelum PAS ditubuh.
12. Yang lebih buruk lagi ialah melaungkan nama Allah semasa himpunan untuk memperkuatkan politik pecah belah oleh parti. Nama Allah diguna untuk menghalalkan penolakan ajaran Islam bahawa mengkafir orang Islam tanpa sebab yang nyata. Membuat dosa dengan melaku amalan yang dilarang oleh agama tidak sepatutnya disusuli dengan menyebut nama Allah.
13. Islam melarang mencuri, tetapi PAS berunding dan bekerjasama dengan pemerintahan sebelum ini yang terkenal dalam dunia sebagai pemerintahan pencuri. Sekarang PAS terus berganding bahu dengan orang yang ditolak oleh masyarakat kerana mencuri.
14. Ramai juga orang Melayu yang kerap menuduh Kerajaan ini tidak mendaulatkan Islam. Tetapi sebaliknya rombongan demi rombongan orang Islam datang dari negara-negara Islam lain yang dakwa bahawa Malaysia adalah contoh negara Islam. Dimana-mana juga di luar Negara terdapat orang Islam yang pandang tinggi Malaysia sebagai negara Islam. Mereka nyatakan keinginan melihat negara mereka menjadi seperti Malaysia.
15. Kata mereka penduduk Negara mereka yang 100% Islam tidak pun dapat mentadbir dan menstabilkan Negara mereka, jauh sekali dari membangun Negara mereka. Kerap kali mereka bermusuh sesama mereka, membunuh dan berperang. Demikianlah huru hara di Negara mereka sehingga ramai yang terpaksa berhijrah ke Negara bukan Islam. Kelainan suku kaum, kelainan fahaman ajaran Islam, kelainan politik, kelainan pemimpin menghalang keamamanan. Kerapkali mereka terpaksa akur dengan kehendak kuasa besar yang bukan Islam. Ada juga yang dipengaruhi oleh Yahudi, samada secara langsung atau tidak langsung.
16. Orang Islam di Negara-negara ini sering kagum dengan Islam di Malaysia. Mereka tidak mendakwa bahawa Islam tidak didaulat di Malaysia. Yang menuduh hanya orang Islam di Malaysia sahaja.
17. Ya. Kita tidak potong tangan, tidak pancung kepala, tidak lontar batu untuk bunuh wanita yang dituduh berzina. Kita tidak berbuat demikian kerana Islam utamakan keadilan. Apakah adil memotong tangan orang Islam tetapi mengenakan penjara dua bulan pencuri bukan Islam. Apakah adil menghukum wanita yang dirogol tetapi tidak lelaki yang merogol. Ya. Tidak ada empat orang saksi. Tetapi ada bukti lain. Ingatlah Zulaikha bersalah kerana baju Yusuf koyak dibelakang. Ini disebut dalam Al-Quran. Di zaman ini kita boleh kenal perogol melalui berbagai cara.
18. Syariat Islam mengutama keadilan, bukan hukum dan bukan saksi. Sesuatu yang tidak adil bukan Islam. Menentukan keadilan adalah ajaran Islam.
19. Sesungguhnya tuduhan yang dilempar terhadap Kerajaan bukan kerana tidak mendaulat Islam, tetapi semata-mata kerana politik. Dalam usaha ini agama Islam yang suci menjadi buruk kerana kepentingan bukan agama.
20. Sekali lagi saya ingin bertanya kepada Haji Hadi dan PAS samada mereka masih nafikan Islam saya dan orang yang bukan menjadi ahli atau penyokong PAS.