blogtunm.blogspot.com Tun M
1. Amatlah menyedihkan kerana kemampuan jurucakap Kerajaan Najib amat terhad.
2. Apabila didedah bukti berkenaan rasuah, pencurian wang Kerajaan, dan salahguna kuasa oleh Najib, jawapan yang diperolehi dari anggota kabinet kleptokratiknya terhad kepada memberi gelaran kepada saya. Memanggil saya antique, puppet, gimmick dan bermacam lagi tidak dapat menutup kesalahan Najib dan pemerintahannya; tidak dapat menidakkan dakwaan yang Najib memiliki 2.6 billion Ringgit dalam akaun peribadinya; tidak dapat mempertikai dakwaan DOJ yang wang ini datang dari 1MDB, tidak dapat mengembali berbillion Ringgit yang dihilangkan oleh 1MDB yang dipimpin oleh Najib, mengadakan Kerajaan kuku besi yang ditakrif sebagai Kleptokrasi iaitu Kerajaan pencuri, penyangak dan perompak.
3. Panggillah saya dengan apa nama dan gelaran pun, kebenaran dakwaan oleh saya tidak terjawab.
4. Kata pepatah Melayu anjing menyalak, bukit tak akan runtuh. Saya terima baik gelaran yang diberi kepada saya kerana ia sebenarnya adalah pengakuan bahawa segala dakwaan oleh saya dan oleh lain-lain pihak memang benar dan tidak dapat dinafikan.