Wednesday, September 19, 2018

KENAPA SAYA TENTANG PAS

blogtunm.blogspot.com Tun M 

1. Orang PAS amat marah kepada saya. Selain dari mendakwa saya kafir, penyokong PAS tidak langsung sanggup mendengar kritik saya terhadap PAS. Saya percaya sebarang pendapat saya tidak akan dibaca oleh orang PAS termasuklah rencana ini. Tetapi saya harap mereka yang tidak fanatik terhadap PAS akan baca. Terpulanglah kepada pembaca samada menerima atau menolak pendapat saya.

2. Sesungguhnya orang Melayu dahulu tidak bermasalah berkenaan pegangan mereka kepada agama Islam yang semua mereka anuti. Mereka semuanya berpegang kepada tafsiran dan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah (Sunni) dan berimam dengan Imam Shafie.

3. Mereka juga tidak menolak ajaran tiga lagi Imam Sunni, iaitu Maliki, Hambali dan Hanafi.

4. Oleh kerana semua orang percaya dan pegang kepada ajaran dan tafsiran yang sama, mereka tidak berpecah dan berpuak-puak. Sudah tentu mereka tidak bermusuh sesama mereka seperti yang berlaku antara Sunni dan Syiah di beberapa negara Islam. Di banyak negara Islam permusuhan disebabkan tafsiran yang berlainan berlaku sepanjang masa sehingga mereka berpuak-puak dan kerapkali mereka berperang pun.

5. Tetapi di Malaysia, walaupun dahulu ada ajaran yang berlainan, umpamanya kaum muda dan kaum tua, kumpulan Hj. Ahmad Matahari, dan lain-lain, tetapi tidaklah sampai kepada permusuhan dan perpecahan yang teruk. Sesungguhnya orang Melayu Islam bersaudara dan mengamalkan ajaran Islam yang sama. Mereka bersatu padu sebagai orang Islam sehingga bangsa Melayu dikaitkan dengan agama Islam. Dalam perlembagaan pun tafsiran orang Melayu ialah orang yang berbahasa Melayu, beradat istiadat Melayu dan beragama Islam. Jika seseorang itu tidak Islam maka ia tidaklah Melayu, walaupun bahasa ibunda mereka adalah bahasa Melayu.

6. Keadaan persaudaraan orang Melayu Islam ini kukuh sehingga dengan mudah mereka bersatu padu diwaktu menentang rancangan British untuk menakluk negeri-negeri Melayu secara langsung melalui Malayan Union. Demikianlah rapatnya perpaduan orang Melayu sehingga British yang baru sahaja menang perang, terpaksa tunduk kepada tuntutan orang Melayu. British mengakui kekuatan orang Melayu dan mengiktiraf parti yang mengalahkan Malayan Union dengan memberi hak kepada pemimpin mereka, Tunku Abdul Rahman menamakan calon-calon badan perundangan seperti Federal Legislative Council dan State Council (Dewan Undangan Negeri-negeri) dalam Persekutuan Tanah Melayu yang mengganti Malayan Union pada 1948.

7. Dalam parti UMNO pada masa itu terdapat semua aktivis Melayu dari yang berpelajaran Melayu, Inggeris dan yang berpelajaran agama. Mereka yang berpelajaran agama dikenali sebagai “ulama UMNO”.

8. Apabila British memberi hak kepada Tunku Abdul Rahman, Yang DiPertua UMNO menamakan calon, Tunku telah pilih pemimpin UMNO yang berpengalaman dalam bidang pentadbiran. Hampir semua dari mereka ini berpelajaran Inggeris. Yang berpelajaran agama, “ulama” hampir tidak dipilih sama sekali.

9. Maka kecewalah pemimpin yang berlatar belakang agama. Hasilnya ialah desakan untuk keluar UMNO dan menubuh Pan Malayan Islamic Parti (PMIP). Kemudian namanya dialih kepada PAS, Parti Islam SeMalaya.

10. Orang Melayu semuanya memang kuat pegangan mereka kepada agama Islam. PAS berharap dengan kaitan parti kepada agama Islam maka akan berjayalah PAS dalam pilihan raya.

11. British mencadang diadakan PRU pada 1955 untuk 52 dari 98 kerusi Federal Legislative Council. Bantahan oleh UMNO supaya semua 98 kerusi ditandingi ditolak. Pendapat British ialah tidak mungkin mana-mana parti memenangi lebih dari separuh, iaitu 50, untuk mengambil alih Kerajaan dari British.

12. Dalam PRU itu isu utama ialah kemerdekaan. Sementara UMNO dalam Perikatan tuntut kemerdekaan selepas PRU, PAS mendakwa Malaya belum layak mendapat kemerdekaan.

13. Hasilnya ialah kemenangan besar Perikatan. Dengan Perikatan mendapat 51 kerusi, British terpaksa beri kepada Perikatan, pimpinan Tunku Abdul Rahman, home rule atau Pemerintahan Dalaman. Hanya Kementerian Luar dan Pertahanan sahaja dikuasai oleh British. Maka bermulalah perjuangan untuk kemerdekaan secara bersungguh-sungguh.

14. PAS memenangi hanya satu kerusi. Jelas penolakan kemerdekaan merugi PAS. Maka bermulalah Agama Islam diperalatkan sepenuhnya untuk menarik sokongan orang Melayu.

15. PAS mendakwa bahawa orang yang bekerjasama dengan orang kafir menjadi kafir. Oleh kerana UMNO bekerjasama dengan orang Cina (Buddhist) dan India (Hindu) dalam Perikatan, maka PAS mendakwa orang UMNO tidak Islam, orang UMNO kafir.

16. Akibatnya ialah orang Melayu bukan PAS yang semuanya beragama Islam dan mengikut ajaran yang sama, iaitu ajaran Ahlul Sunnah Wal Jamaah, berimam dengan Imam Shafie, tiba-tiba dikafirkan. Perpecahan yang teruk dan mendalam berlaku.

17. Orang PAS tidak pun boleh bersama dengan orang UMNO, kenduri orang UMNO diboikot oleh orang PAS. Perkahwinan antara orang PAS dan UMNO tidak boleh diadakan. Mereka tidak boleh sembahyang bersama, tidak boleh diimamkan dengan imam yang sama. PAS sembahyang dengan lain imam di masjid dan mendirikan masjid berasingan dari orang UMNO.

18. Ada juga yang berpendapat perkahwinan ibu bapa mereka tidak sah dan ibu bapa mereka yang tidak jadi ahli PAS adalah kafir.

19. Kemudian Hj Hadi sebagai seorang dari pemimpin PAS telah mengeluarkan “Amanat” yang secara langsung mendakwa bahawa pemerintahan Barisan Nasional pimpinan UMNO adalah kafir. Pejuang-pejuang yang melawan Kerajaan UMNO/BN, jika mati, mereka mati syahid.

20. Dengan kepercayaan kepada amanat Hadi, pengikut Ibrahim Libya telah serang dan membunuh empat orang anggota polis. Dalam pertempuran antara polis dan pengikut Ibrahim Libya, 14 orang pengikutnya dan dia sendiri terbunuh.

21. Maka PAS pun dakwa pengikut Ibrahim yang mati adalah syahid. Mereka dikebumi sebagai syahid tanpa dimandi.

22. Adalah jelas bahawa PAS memecah belah orang Melayu Islam dengan amat mendalam. Sehingga ke hari ini masih ada sembahyang berjemaah berasingan di masjid yang sama.

23. Tiada ada ulama di Malaysia yang berani mendakwa bahawa pengkafiran orang bukan PAS adalah salah dan tidak menepati ajaran Islam. Pegawai-pegawai pemerintah yang bertanggungjawab berkenaan agama Islam juga membisu seribu bahasa.

24. Inilah perbuatan PAS yang tidak boleh dimaaf. Sebelum adanya PAS orang Melayu tidak berpecah kerana agama. Hanya apabila PAS ditubuh barulah orang Melayu berpecah dan terpisah kepada dua puak yang bermusuh ketat. Perpecahan ini jugalah yang melemahkan orang Melayu. Demikianlah kelemahan orang Melayu sehingga PAS juga terpaksa meminta pertolongan orang-orang kafir. Tetapi apabila PAS bekerjasama dengan parti kafir, PAS dakwa mereka tidak jadi kafir. Sebab kononnya, kerana kerjasama PAS dengan orang kafir adalah “Tahaluf Siyasi”. Apa dianya Tahaluf Siyasi jika diterjemah ke bahasa Melayu. Maknanya ialah “Kerjasama politik” dan ini adalah sama dengan apa yang dilakukan oleh UMNO apabila bekerjasama dengan MCA dan MIC. Jelaslah bahawa Bahasa Arab (Bahasa Quran) diguna untuk mengIslamkan kerjasama PAS dan orang kafir.

25. Dikalangan ahli PAS, penerimaan ajaran pemimpin dan parti lebih utama dari ajaran Islam. Sebab itu walaupun Al Quran menyebut bahawa orang Islam itu bersaudara, ahli PAS sanggup bermusuh dengan orang Islam lain kerana ajaran oleh pemimpin PAS. Kerana sikap inilah orang Islam (Melayu) di Malaysia berpecah sehingga sekarang. Bukan Islam yang memecah orang Melayu tetapi politik PAS yang membawa perpecahan kepada mereka.

26. Walaupun sebahagian dari ahli PAS sudah tinggal PAS tetapi ramai dari ahli PAS yang masih taksub dengan PAS dan ajarannya. Dan perpecahan yang mendalam dikalangan orang Melayu adalah berterusan. Dia akan berterusan selagi PAS menyalahtafsir dan menyalahguna ajaran Islam.

27. Inilah sebabnya yang saya tentang PAS.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tun Dr Mahathir Mohamad speech at United Nations General Assembly


Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 73rd session of the United Nations General Assembly 2018
Turkey President Tayyip Edrogan speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019
Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019