Thursday, July 29, 2021

COVID-19

blogtunm.blogspot.com Tun M 
1. Menurut laporan rasmi lebih satu juta rakyat Malaysia sudah dijangkiti COVID-19. Ini bermakna 31 juta belum dijangkiti.

2. Mungkin yang belum dijangkiti ini tidak dikesan kerana ujian tidak dibuat ke atas mereka. Seperti kata Presiden Trump, kalau dikurang usaha ujian, jumlah yang sudah dijangkiti juga akan kurang.

3. Tetapi jika kita terima angka rasmi sebanyak satu juta, maka yang tidak dijangkiti ialah seramai 31 million.

4. Soalnya kenapa begitu ramai yang masih tidak dijangkiti. Sebabnya tentulah kerana mereka tidak pernah berdekatan dengan mereka yang sudah jangkit. Ya. Mungkin juga kerana kita pakai penutup muka dan kerap basuh tangan. Tetapi yang utama tentulah kerana kita amal penjarakkan sosial.

5. Tetapi penjarakkan sosial tidak mudah diamal sepanjang masa. Tanpa sedar atau tidak sedar kita tidak amal penjarakkan sosial.

6. Demikian jika kita sembahyang berjemaah, kita tentukan jarak antara kita menepati SOP. Tetapi habis sembahyang, kita berjalan berduyun-duyun keluar masjid. Pada masa itu kita lupa amal penjarakkan sosial. Itulah masanya kita mungkin dijangkiti.

7. Demikian juga ditempat kerja, dalam bas, dalam pasar dan di lain-lain tempat dan masa.

8. Jika kita benar-benar ingin selamat dari jangkitan COVID-19, tentulah caranya ialah berdisiplin dalam amalan SOP. Juga jika kita adakan petugas khusus yang akan tentukan kita patuh kepada SOP.

9. Ya. Memang sukar dan membeban. Tetapi COVID-19 boleh bunuh kita. Tiap hari 200++ mati kerana COVID-19. Bukan sahaja orang tua. Orang muda juga boleh meninggal dunia kerana COVID-19.

10. Jika kita amal SOP secara sedar, ia akan jadi tabiat. Apabila sudah jadi tabiat, ia akan dilakukan secara spontan. Pada masa itu ia tidak lagi jadi beban.

11. Apabila jumlah kes baru terlalu besar seperti sekarang, cuma sebilangan yang sedikit sahaja yang boleh dirawat dalam hospital. Beribu yang lain terpaksa di kuarantin di rumah sendiri.

12. Di rumah rawatan tidak dapat diberi. Keluarga pula tidak boleh dekat. Jika pesakit menjadi lebih teruk keluarga tidak boleh buat apa-apa.

13. Satu daripada kesan COVID-19 ialah pesakit sukar bernafas. Untuk ini oksigen diperlukan. Tetapi di rumah tidak ada oksigen.

14. Walaupun jumlah kes baru tiap hari mencecah belasan ribu, seberapa yang boleh perlu mereka dimasuk dalam hospital. Untuk ini Kerajaan boleh membina bangunan kuarantin sementara atau mengambil alih dewan-dewan milik swasta.

15. Kelengkapan pusat ini terhad kepada katil biasa. Staf terhad kepada beberapa orang doktor dan jururawat. Sebenarnya di United Kingdom (UK) Kerajaan membina hospital sementara untuk 4000 katil. Yang penting ialah bekalan makanan dari luar dan tempat suci yang berjarak jauh.

16. Di fasiliti seperti ini, oksigen penting. Tugas doktor terhad kepada memberi oksigen apabila pesakit sesak nafas.

17. Pesakit yang pulih dalam masa dua tiga hari boleh discaj. Dengan cara pusat-pusat kuarantin seperti ini, mereka yang positif COVID-19 boleh dapat rawatan asas yang mencukupi.

18. Cara kedua yang berkesan untuk elak jangkitan ialah dengan suntikan vaksin. Oleh kerana kita perlu suntik sekurang-kurangnya 25 juta, tentulah ia akan ambil masa yang panjang. Semasa menunggu kita perlu amalkan SOP.

19. Menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk suntik semua penduduk Malaysia secara percuma. Proses suntikan perlu dipermudahkan. Ada banyak masalah dengan MySejahtera. Ini perlu di atasi segera.

20. Memang baik untuk diadakan tempat besar pusat suntikan. Tetapi ramai juga yang tidak tunai temujanji. Untuk mereka, pusat suntikan bergerak perlu diperbanyakkan.

21. Sebenarnya unit suntikan bergerak ini memerlu hanya lima orang iaitu 1 atau 2 orang doktor, dua orang jururawat dan seorang penulis rekod. Mereka boleh suntik bukan sahaja dalam bas besar, tetapi dalam rumah pun.

22. Yang penting ialah penulis mengambil gambar Kad Pengenalan (I.C) dengan telefon bimbit untuk dimasuk ke dalam data Nasional. Suntikan yang kedua boleh dibuat dengan unit suntikan bergerak ke tempat yang sama.

23. Saya percaya jika Kerajaan dan orang ramai lakukan cadangan ini, jumlah pesakit baru dapat dikurangkan. Dalam mengurus wabak seperti yang terdapat sekarang pengurangan kes baru amat penting. Orang ramai perlu terima perasaan bosan dan penderitaan jika ingin selamat dari wabak ini. Jika tidak sanggup, kematian akan bertambah. Ratusan dari kita dan keluarga kita dan kawan kita akan menjadi mangsa COVID-19 ini. Kita juga akan jadi mangsa.

24. Ini hanya pendapat saya. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tun Dr Mahathir Mohamad speech at United Nations General Assembly


Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 73rd session of the United Nations General Assembly 2018
Turkey President Tayyip Edrogan speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019
Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019