Wednesday, October 26, 2022

SIASATAN TERPILIH

blogtunm.blogspot.com Tun M 
1. Saya tidak ada sebarang halangan terhadap siasatan yang dibuat terhadap buku yang ditulis oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

2. Jika dirasa ada asas terhadap tuduhan yang dibuat terhadapnya ataupun sesiapa sahaja termasuk saya, undang-undang ada untuk tindakan seterusnya.

3. Tetapi amat pelik kenapa sehingga kini tidak ada sebarang siasatan atau tindakan diambil terhadap Tan Sri Apandi Ali yang jelas telah melakukan pelbagai kesalahan semasa dia menjadi Peguam Negara sebelum Thomas.

4. Kesalahannya melepas Datuk Seri Najib dari sebarang tindakan undang-undang juga jelas menunjuk Apandi terbabit di dalam menutup skandal 1MDB.

5. Bagaimana boleh Apandi sebagai seorang Peguam Negara dengan mudah melepas Najib sedangkan sembilan hakim – bermula dengan seorang hakim mahkamah tinggi, tiga hakim mahkamah rayuan dan lima hakim mahkamah persekutuan – kesemuanya mendapati Najib bersalah.

6. Bahkan seorang lagi hakim mahkamah tinggi Datuk Azimah Omar, pada 23 Mei 2022, di dalam penghakiman bertulisnya, sebanyak 100 muka surat, yang menolak saman fitnah Apandi terhadap Lim Kit Siang, telah membuat kesimpulan bahawa Apandi, antara lain:

i) Adalah seorang penipu;
ii) Gagal melaksana tugas sebagai Peguam Negara;
iii) Ada asas untuk disiasat kerana disyaki bersubahat dan melindung jenayah 1MDB;
iv) Mempersoal sikap dan tindakan Apandi yang bersungguh-sungguh menutup skandal 1MDB dan menyucikan Datuk Najib dan
v) Apandi juga menolak bantuan undang-undang bersama dari pihak berkuasa Switzerland dan juga Department of Justice Amerika Syarikat sedangkan dia sedar bantuan mereka perlu untuk siasatan 1MDB.

7. Azimah turut menyatakan “rasa meluat mahkamah terhadap betapa kejinya kenyataan Apandi yang bercanggah, mengelak dan melakukan penipuan yang jelas.”

8. Berikutan kenyataan Azimah, banyak laporan polis telah dibuat terhadap Apandi tetapi tiada sebarang tindakan diambil.

9. Sebaliknya Apandi diberi pampasan jutaan ringgit oleh Kerajaan kerana Kerajaan terdahulu telah menamatkan perkhidmatannya kerana dia gagal menjalankan tugasnya.

10. Tidak cukup dengan pampasan, Apandi yang telah didapati oleh Mahkamah Tinggi sebagai seorang penipu dan perlu disiasat kerana disyaki bersubahat di dalam skandal 1MDB telah dilantik mengetuai jawatankuasa siasatan tuntutan Pulau Batu Puteh.

11. Saya sebenarnya sudah menduga, setiap kali saya bersuara mengenai salah-laku Kerajaan akan ditimbul perkara-perkara sebegini untuk menutup mulut saya.

12. Mereka boleh cuba, tapi saya mahu ingatkan mereka bahawa selagi ada hayat, saya tidak akan bisu, buta atau tuli apabila melihat kemungkaran yang mereka lakukan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tun Dr Mahathir Mohamad speech at United Nations General Assembly


Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 73rd session of the United Nations General Assembly 2018
Turkey President Tayyip Edrogan speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019
Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019