Wednesday, January 18, 2017

RASUAH DAN IBADAT HAJI

blogtunm.blogspot.com Tun M 
1. Saya telah soal samada menunaikan rukun Islam yang kelima dengan duit yang dicuri sah atau tidak. Pada pendapat saya ia tidak sah.

2. Beberapa mufti mendakwa bahawa saya cuba jadi Tuhan kerana cuba mengharamkan ibadat haji yang dilakukan dengan duit 1MDB.

3. Saya berpendapat dakwaan ini keterlaluan. Sementara mufti mungkin arif dalam bidang agama tetap jelas mereka tidak tahu dengan mendalam berkenaan 1MDB dan bagaimana Najib telah melakukan berbagai jenayah, termasuk mencuri duit 1MDB.

4. Islam amat menekan keadilan apabila menghukum. Daripada apa yang diketahui berkenaan 1MDB melalui kenyataan dan perbincangan oleh Mufti, adalah jelas mereka tidak memiliki pengetahuan yang cukup untuk memutus bahawa duit 1MDB boleh diguna untuk ibadat haji.

5. Tanpa ditanya atau dikaji, jauh sekali dibicara dengan tertib berkenaan jenayah yang dilakukan oleh Najib dengan wang 1MDB, mereka menjatuh hukum bahawa wang 1MDB halal diguna untuk ibadah haji.

6. Ramai rakyat Malaysia tahu dan seluruh dunia tahu bahawa wang sebanyak 42 billion Ringgit dipinjam oleh 1MDB dengan faedah yang amat tinggi dan komisyen 10% kepada Goldman Sachs tanpa mengikuti cara-cara pinjaman Kerajaan.

7. Wang ini dilabur dalam syarikat yang menimbul tanda tanya akan asset dan perniagaanya, dikeluar modal yang dilabur dari syarikat ini, dijadikan pinjaman kepada syarikat ini, dipindah ke beberapa pulau Caribbean, dimasuk dalam bank di Singapura dan sekarang ini diketahui dapat ke tangan Jho Low. Kemudian wang ini didakwa oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) telah masuk dalam akaun peribadi Najib.

8. Demikianlah pengurusan wang ini sehingga ia dibekukan oleh Singapura, Switzerland dan bank-bank berkenaan ditutup oleh Kerajaan Singapura, kerana terlibat dengan jenayah money laundering iaitu pembersihan duit haram.

9. Jabatan Keadilan Amerika Syarikat telah dakwa lebih US 3 billion wang 1MDB telah dicuri dan percubaan dibuat untuk membersihkan wang ini dengan membeli rumah mewah di Amerika dan di U.K. serta dibeli gambar lukisan dan dilabur dalam pengeluaran filem lucah “Wolf of Wall Street”.

10. Bagi hakim yang berhajat menjatuh hukuman, semua ini perlu diselidiki dan diambil kira sebelum dihukum. Tetapi amatlah jelas kewangan 1MDB tidak dikaji oleh mufti kerana ingin menghalalkannya untuk buat ibadah haji.

11. Mungkin orang Islam seperti saya tidak tahu secara mendalam dengan hukum hakam Islam, tetapi semua tahu bahawa wang yang dicuri tidak halal. Mengguna wang yang dicuri untuk ibadat amat bercanggah dengan ajaran Islam. Ia ditegah.

12. Oleh kerana mufti-mufti tidak tahu dan tidak mengadakan kajian dan perbicaraan dengan tertib sebelum mereka membuat kenyataan bahawa saya cuba menjadi Tuhan kerana menyoal samada sah atau tidak mengguna duit 1MDB, maka saya berhak mempertikaikan dakwaan mereka.

13. Lebih-lebih lagi mereka adalah pegawai upahan Kerajaan dan terdedah kepada tindakan jika mereka, dengan mendakwa ibadat haji dengan duit 1MDB tidak sah, sekaligus mengaku Najib telah mencuri duit 1MDB.

14. Lagipun mereka tentu tahu bahawa tujuan Najib membiayai beribu orang untuk tunaikan Ibadat haji bukan kerana mencari pahala tetapi kerana bertujuan mendapat sokongan politik dari penerima-penerima ini. Ini adalah satu jenis rasuah dan ini juga haram disisi agama Islam.

15. Apakah pendapat mufti berkenaan dengan ibadat haji dengan duit dua kali haram – sekali duit curi, kemudian duit sogok.

16. Kalau masih anggap halal, terimalah dan lakulah ibadat haji dengan duit 1MDB.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tun Dr Mahathir Mohamad speech at United Nations General Assembly


Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 73rd session of the United Nations General Assembly 2018
Turkey President Tayyip Edrogan speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019
Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019