Thursday, August 6, 2020

RASUAH

blogtunm.blogspot.com Tun M 
1. Sikap kita terhadap jenayah rasuah tidak seperti sikap kita kepada lain-lain jenayah. Kita pandang ringan kepada rasuah sehingga jika disogok kita orang biasa sanggup terima. Kita tidak berasa bersalah atau malu menerima walaupun diketahui orang. Apalah sangat kesan dari perbuatan kita.

2. Apabila masyarakat kita anggap rasuah bukanlah satu jenayah yang buruk, maka ia akan berkembang sehingga menjadi amalan seluruh masyarakat. Tidak ada apa-apa khidmat yang tidak melibatkan rasuah. Diperingkat ini individu dalam masyarakat tidak berasa tertekan dan rela membayar. Tetapi jika diambil kira kesan terhadap pemerintahan, rasuah tetap akan menghalang proses pentadbiran negara. Negara tetap tidak akan maju. Di waktu ini semua rakyat akan jadi mangsa amalan rasuah.

3. Rasuah biasanya melibat khidmat Kerajaan. Segala urusan memerlu kelulusan dari Kerajaan. Ini memberi peluang (dan kuasa) kepada pegawai dan kakitangan Kerajaan menuntut sagu hati untuk khidmat biasa mereka. Walaupun undang-undang boleh dikenakan kepada mereka yang menerima sagu hati, tetapi keengganan penerima melapor menjadikan undang-undang tidak berkesan. Yang boleh menghapus rasuah ialah sifat yang ada pada kita menolak rasuah sebagai jenayah yang amat buruk dan hina dan perlu ditolak.

4. Negara dan masyarakat yang amal rasuah sebagai perkara biasa, tetap sukar dimajukan. Pentadbiran tetap kurang efisien dan ini mempunyai kesan buruk kepada pelaburan dan dagangan. Tanpa atau kurangnya perniagaan, pelaburan dan dagangan negara akan jadi miskin dan rakyat akan menderita. Kita lihat semasa wabak COVID-19 semua perniagaan terhenti dan pendapatan pekerja, peniaga dan pengusaha hilang. Semua menjadi miskin, termasuk Kerajaan kerana tidak ada cukai untuk dikutip. Demikian jugalah kesan dari kekurangan aktiviti ekonomi kerana rasuah.

5. Dengan kemajuan dan pertumbuhan ekonomi terganggu, maka masyarakat tidak akan merasai nikmat dari kemajuan dan pertumbuhan, nikmat dari peluang kerja dan perniagaan. Pada masa itu barulah rakyat akan rasai kesan dari amalan rasuah.

6. Dalam negara demokrasi tiap rakyat memiliki kuasa mengundi. Kuasa, atau power, mengundang rasuah. Rakyat sebagai pengundi terdedah kepada rasuah.

7. Undi menentukan menang atau kalah seseorang calon. Tujuan memberi kuasa memilih kepada rakyat ialah supaya mereka akan pilih calon yang terbaik yang akan diri Kerajaan yang prihatin terhadap masalah rakyat. Apabila Kerajaan terdiri dari orang yang baik iaitu tidak terima rasuah maka negara akan maju dan pengundi akan dapat banyak nikmat. Segala urusan dengan Kerajaan menjadi mudah, kos akan berkurangan dan masa tidak dibazirkan.

8. Tetapi orang yang ingin merebut kuasa Kerajaan untuk kepentingan diri sendiri akan melihat pemilihan wakil rakyat sebagai cara untuk mendapat kuasa Kerajaan melalui rasuah.

9. Sepatutnya pengundi tidak akan undi calon yang tidak baik jika mereka tahu calon itu tidak baik. Tetapi jika calon tidak baik, menghulur wang, besar kemungkinan ramai pengundi ketepikan pentadbiran yang baik dan kemajuan negara. Mereka akan terima sogokan. Setelah menerima sogokan, mereka akan beri undi kepada penyogok. Lebih banyak wang yang didapati lebih bersedialah pengundi memberi undi kepada perasuah.

10. Bagi calon yang berduit, samada duit sendiri atau yang dipinjam atau dicuri, ramailah yang akan sogok pengundi. Besarlah kemungkinan calon yang guna wang untuk sogok akan menang.

11. Dengan ini pencuri dan perasuah dapat diri Kerajaan. Mungkin juga mereka ini dibiayai oleh orang tertentu yang merancang untuk merebut kuasa Kerajaan untuk kepentingan mereka.

12. Dengan Kerajaan dikuasai oleh perasuah, kepentingan negara dan rakyat akan diketepikan.

13. Jika rakyat menentang Kerajaan perasuah ini, maka rakyat pun akan disogok dengan wang Kerajaan. Demikian BR1M dicipta dan berbagai pemberian wang percuma diadakan.

14. Dalam masyarakat yang anggap rasuah sebagai jenayah kecil, kesediaan menerima sogokan akan menghilangkan tentangan terhadap Kerajaan yang buruk. Dana untuk pengurusan dan pembangunan akan berkurangan kerana diguna untuk sogokan ini. Negara terpaksa hutang dan tanggung beban pembayaran dan faedah. Infrastruktur tidak dapat dibina dan taraf hidup rakyat akan menurun.

15. Negara perasuah tidak akan menarik pelabur dan peniaga, sebabnya ialah kerana rasuah meningkat kos dan melewatkan kelulusan. Tanpa pelaburan peluang pekerjaan akan berkurangan. Kemiskinan akan bertambah dan negara tidak akan membangun.

16. Rakyat terpaksa bergantung kepada Kerajaan untuk kehidupan mereka. Malangnya Kerajaan pula kekurangan dana kerana jumlah cukai berkurangan akibat kemerosotan ekonomi. Rakyat seperti ini tidak dapat sumbang kepada pertumbuhan negara. Maka lagi miskinlah negara.

17. Kita sudah lihat apa yang sudah berlaku apabila pengundi kita pilih kerana disogok dalam PRU.

18. Tetapi mungkin kita fikir tak akanlah negara akan jadi begitu buruk kerana kita terima sedikit sagu hati.

19. Tak mungkinlah kita alami kemerosotan hanya kerana kita seorang terima rasuah. Percayalah jika kita anggap rasuah sebagai jenayah ringan, besar kemungkinan orang lain juga mempunyai sikap yang sama.

20. Maka jadilah kita negara perasuah yang tidak mungkin berjaya.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tun Dr Mahathir Mohamad speech at United Nations General Assembly


Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 73rd session of the United Nations General Assembly 2018
Turkey President Tayyip Edrogan speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019
Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019