blogtunm.blogspot.com Tun M
1. Kerajaan Ismail Sabri bersetuju untuk memberi tanah dan membuat rumah yang bernilai RM100,000,000 konon sebagai menghargai khidmat Najib sebagai Perdana Menteri.
2. Apa dianya sumbangan Najib kepada negara? Yang kita tahu ialah ia didapati bersalah mencuri duit Kerajaan, menghilang duit Kerajaan berbillion Ringgit. Dia dihukum penjara 12 tahun dan denda lebih dari 200 juta Ringgit. Ia sedang dibicara terhadap lebih 800 juta $AS yang ada dalam banknya. Dan dia tidak dapat jelas bagaimana ia memperoleh wang yang sebegitu banyak. Ini bukan perkara lama. Ini perkara sekarang dan masa depan kerana sampai puluhan tahun Kerajaan Malaysia terpaksa bayar faedah sebanyak 2 billion Ringgit setahun dan hutang pokok 42 billion. Anak cucu kita akan tanggung beban ini.
3. Ia juga merosak parti UMNO yang buat pertama kali kalah dalam PRU-14. Pentadbiran negara juga dirosakkan sehingga pegawai tinggi terpaksa dihentikan kerana rasuah.
4. Ekonomi negara hancur. Dan sekarang ini keadaan politik tidak stabil sehingga dalam masa tiga tahun berlaku pertukaran Perdana Menteri tiga kali.
5. Negara ini yang dahulu dikenali sebagai Asian Tiger sekarang menjadi kleptokrasi iaitu negara pencuri yang diperintah oleh pencuri, hasil pemerintahan Datuk Seri Najib.
6. Dunia pandang hina kepada Malaysia sekarang.
7. Untuk semua ini dan banyak lagi Kerajaan Ismail Sabri melulus 2.7 ekar tanah bernilai 60 juta Ringgit lebih dan akan bangun sebuah rumah bernilai RM40 juta kerana mengenang “jasa” Najib.
8. Tunku Abd Rahman yang menjadi Perdana Menteri Malaysia dan berjaya memerdekakan negara hanya dapat sebuah rumah papan. Rumah Tun Razak dijadi monument. Tun Hussein pun tidak dapat apa-apa yang bernilai tinggi. Tun Rahah dapat rumah Kerajaan yang sedia ada.
9. Saya jadi Perdana Menteri selama 22 tahun tidak tuntut dan tidak dapat apa-apa selain dari pencen dan RM10,000 sebulan untuk selenggara rumah yang didiri oleh saya sendiri. Sebidang tanah di Putrajaya telah ditawar kepada saya secara percuma apabila saya bersara tetapi saya telah tolak dan sebaliknya saya beli tanah di Putrajaya dengan harga seperti yang ditawar kepada penjawat awam apabila bersara.
10. Setiap tahun saya bayar cukai tanah sebanyak RM6,071 dan cukai taksiran sebanyak RM1,792.
11. Najib yang menghancurkan negara sehingga menjadi kleptokrasi pula akan diberi RM100,000,000 tanpa dilulus oleh Parlimen – bahkan dirahsia. Najib membuat permohonan sedangkan bekas Perdana Menteri lain tidak buat permohonan untuk tanah tertentu. Sama ada Kerajaan susulan hendak balas budi atau tidak adalah hak Kerajaan.
12. Dunia ketawa melihat Malaysia di mana seorang banduan yang lesap berbillion Ringgit begitu disanjung tinggi dan dihormati.
13. Sebagaimana biasa Najib cuba salahkan saya kerana buat pindaan pada tahun 2003 kepada Akta Saraan Ahli Parlimen 1980.
14. Pindaan itu bertujuan untuk Kerajaan menimbang memberi sedikit ganjaran kepada bekas Perdana Menteri sebagai mengenang jasa mereka. Biasanya ganjaran yang diberi ialah rumah Kerajaan yang sedia ada.
15. Ia tidak bertujuan untuk memberi kemewahan atau kekayaan kepada bekas Perdana Menteri.
16. Perdana Menteri tidak perlu kepada banyak ganjaran selepas bersara kerana pencen, gratuiti dan elaun yang diperolehi lebih dari mencukupi untuk membina rumah sendiri yang selesa. Itulah yang saya lakukan.
17. Kita boleh hargai jasa seseorang Perdana Menteri tetapi tidaklah sampai menjadinya millionaire. Sumbangan mereka sebenarnya juga perlu diambil kira. Bagi seorang Perdana Menteri yang merosakan negara sehingga dihukum penjara, perlukah kita beri hadiah sampai 100 juta, sedangkan yang merdekakan negara diberi hanya sebuah rumah dinding papan berbumbung genting sahaja?