blogtunm.blogspot.com Tun M
1. Kita sekarang dengar dan bercakap berkenaan dengan norma baru (new normal).
2. Kebanyakan norma baru ini disebabkan wabak COVID-19. Demikian mudahnya jangkitan COVID-19, sehingga kita terpaksa henti semua kerja dan bersembunyi di rumah kita. Tanpa bekerja pendapatan biasa kita pun hilang.
3. Dengan ini cara hidup kita pun berubah. Kita tidak dapat bekerja di pejabat. Sebaliknya kita bekerja di rumah. Ini adalah norma baru. Kita lebih guna telefon bimbit untuk urusan kehidupan kita. Kita adakan mesyuarat dengan “ZOOM” iaitu dengan mengguna komputer untuk berbincang dan berbahas melalui gambar peserta yang tidak ada bersama kita, tetapi berada di merata tempat, termasuk diluar negara. Ini adalah new normal (norma baru).
4. Dan banyaklah lagi amalan kita yang baru yang mengganti amalan lama yang bergantung kepada alatan dan cara terdahulu.
5. Kita terima baik norma baru ini. Tetapi terdapat pertukaran nilai yang dicipta dan diperkenal oleh orang tertentu demi kepentingan diri mereka.
6. Umpamanya kita anggap pencuri sebagai penjenayah yang dipandang rendah oleh kita. Mereka tidak akan diterima baik oleh kita. Jauh sekali memimpin kita.
7. Sekarang penilaian kita terhadap pencurian sudah berubah. Jika pencuri menjadi pengetua kita, kerana dia “boss” kita, pencurian olehnya boleh diterima.
8. Kita tidak perlu malu jika “boss” kita mencuri. Kita laungkan slogan, “Malu apa. Dia Boss kita”. Ini sudah jadi norma baru kita.
9. Lagi pun dia tidak curi duit kita. Dan dia bagi sedikit kepada kita.
10. Orang yang pegang kepada norma lama tidak bagi duit kepada kita.
11. Katanya “Bossku” akan memimpin Kerajaan Melayu Islam. Mengikut norma lama, pencuri tidak layak jadi pemimpin Kerajaan Melayu Islam. Kerajaan tidak Islam pun, tidak terima pencuri untuk memimpin.
12. Itu norma lama. Tetapi kita sekarang terima norma baru. Norma baru ini terima pencuri jika ia Melayu. Okaylah jika Kerajaan Melayu Islam dipimpin oleh pencuri asalkan dia Melayu.
13. Orang bukan Melayu tetap salah walaupun mereka baik, tidak mencuri, bersopan santun.
14. Tetapi mengikut norma baru; mereka, orang bukan Melayu ini boleh diterima jika mereka hulur wang kepada kita.
15. Bukan Melayu yang baik ini tidak sama dengan Melayu yang tidak baik.
16. Tetapi Melayu yang baik pun tidak baik jika tidak menghulur.
17. Norma baru berbeza dari norma lama, kerana yang baik, tidak baik dan yang tidak baik, baik.
18. Dengan menerap norma-norma ini kegagalan akan dianggap sebagai kejayaan.
19. Maka bertuahlah masyarakat norma baru.
20. Sebab itu kita terpaksa gantikan Kerajaan pilihan rakyat dengan Kerajaan pintu belakang.
21. Sogokan juga diberi nama baru. Ia dikenali sebagai BR1M. Sebagai BR1M ia halal.
22. Yang menjadi masalah ialah mereka yang masih anggap sogokan dengan norma baru ini masih sogokan. Mereka ketinggalan norma.
23. Tukarlah. Terimalah norma baru. Jika tidak kamu akan tersungkur.
24. Sesungguhnya “Bossku” bijak.
25. Dengan penerimaan norma baru, yang kalah menang dan yang menang kalah.
26. Syabas.