blogtunm.blogspot.com Tun M
1. Sekarang ini musim RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) dan bermacamlah siasatan yang telah disyorkan.
2. Saya mengalukan RCI untuk peristiwa Memali. Saya punyai banyak bukti, laporan dan cerita berkenaannya. Ini termasuk individu-individu yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.
3. RCI boleh buat keputusan sebelum RCI bersidang dan Kerajaan boleh mendapat untung kerananya. Ini tentulah menjadi Terms of Reference (TOR) dizaman ini.
4. Kerajaan jangan adakan RCI berkenaan 1MDB, duit sebanyak 2.6 billion Ringgit dalam akaun Dato Seri Najib, duit KWAP yang lesap, hutang berbillion Ringgit yang tidak dapat dibayar, pembelian stesen jana elektrik dengan harga yang lebih mahal dari nilai pasaran dan dijual dengan harga murah sehingga rugi berpuluh juta, pengeluaran filem lucah Wolf of Wall Street, pembelian harta di United Kingdom (U.K) dan Amerika dengan duit 1MDB mengikut Department of Justice (DOJ). Ini semua bukan jenayah. Pembelian berlian merah jambu untuk isteri dengan harga 120 million Ringgit hanyalah kerana sayang isteri. Salahkah sayang isteri. Demikianlah sayangnya isteri sehingga sanggup curi untuk menunjuk kesayangan yang tidak terhingga ini.
5. Ya. RCI tidak perlu untuk semua ini. Bukankah A.G telah sahkan ia semua halal.
6. Tetapi banyak lagi perkara yang telah diselesai 30 tahun dahulu perlu disiasat oleh RCI. Pembinaan Menara Berkembar, Putrajaya, Cyberjaya, Lebuhraya PLUS, KLIA, Westport, dan lain-lain. Semua ini perlu disiasat dengan diketuai oleh tokoh keadilan terkenal berslogan “Just do it”. Buat sahaja apa yang disuruh. Jangan soal.
7. Untuk memulakan siasatan RCI Memali saya siar di sini “ Amanat Haji Hadi”. Dianya ada kaitan rapat dengan peristiwa Memali. Amanat ini menggalakkan perjuangan lawan Kerajaan sebagai jihad dan kematian pejuang adalah syahid.
8. Dengan itu, pada 19hb November 1985, jam 11 pagi, pasukan polis diserang hendap (oleh orang dekat rumah Ibrahim Libya) dan seorang Inspektor dan seorang Sarjan polis dibunuh, seorang lagi Konstabel cedera parah. (Dari ucapan Pemangku Perdana Menteri di Parlimen pada 20 November 1985).
9. Yang jelas ialah polis yang terbunuh dahulu, kerana pengikut Ibrahim berjihad kononnya.