Tuesday, October 3, 2017

PERJUANGAN PAS YANG SEBENAR

blogtunm.blogspot.com Tun M 
1. PAS kata mengundi Pakatan Harapan ialah mengundi untuk DAP. Saya tidak hendak komen terhadap pendapat dangkal ini. Kalau sehingga kini masih percaya kepada cerita dongeng ini, tak mungkin PAS boleh celik mata dan lihat keadaan sebenar. PAS tidak pernah menang di peringkat pusat. Ia hanya parti pengacau yang memecahbelah dan melemahkan orang Islam.

2. Rekod PAS tidak menunjuk apa-apa sumbangan PAS kepada orang Melayu dan agama Islam. Tidak ada sesiapa yang boleh nafikan bahawa sebelum ada PAS orang Melayu yang semuanya beragama Islam dari Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berimam dengan Imam Shafie tidak berpecah dan berpuak-puak kerana tidak ada kelainan fahaman Islam antara mereka.

3. Hanya apabila PAS ditubuh maka orang Melayu berpecah dan bermusuh sesama sendiri. Ini adalah kerana dakwaan PAS kononnya orang UMNO kafir. Demikian kesan daripada dakwaan ini sehingga bukan sahaja orang Melayu berpecah dua tetapi ramai orang PAS begitu percaya kepada dakwaan PAS sehingga ada yang mengkafirkan ibu bapa mereka dan mendakwa perkahwinan mereka tidak sah.

4. Mereka seolah-olah tidak sedar bahawa dakwaan ini menjadikan mereka sendiri anak di luar nikah. Saya tidak nak sebut apakah nama yang kita beri kepada orang yang dilahir di luar nikah.

5. Kononnya untuk menghalalkan perkahwinan, orang yang kahwin sebelum adanya PAS, perlu kahwin sekali lagi. Dan ini memang berlaku.

6. Kerana dakwaan orang yang bukan ahli PAS adalah kafir maka berlakulah sembahyang dua imam, pengkebumian orang PAS dikubur berasingan dari orang bukan PAS dan mendiri masjid berasingan.

7. Makanan sembelihan orang bukan PAS didakwa haram dan tidak boleh dimakan oleh orang PAS.

8. Kemudian datang Hj Hadi yang mengeluar amanat menghalalkan pembunuhan anggota pemerintah, kerana pemerintah Malaysia adalah kafir. Lebih dari itu dia juga dakwa melawan Kerajaan adalah jihad dan mati mereka adalah syahid.

9. Dan berlakulah peristiwa Memali yang mana pengikut Ibrahim Libya membunuh empat orang anggota polis dan mencedera yang lain. Selepas dari peristiwa ini PAS bekerjasama dengan DAP walaupun PAS mendakwa bekerjasama dengan orang kafir menjadi orang Islam kafir.

10. Kononnya kerjasama ini tidak semacam kerjasama UMNO dengan orang kafir dalam MCA dan MIC. Kononnya PAS mengadakan “Tahaluf Siyasi”. Perkataan Arab ini bermakna “Kerjasama Politik”. Tidak ada kelainan antara “Tahaluf Siyasi” PAS dengan kerjasama politik antara Melayu UMNO dengan Cina dan India, MCA dan MIC. Tak usahlah cuba jelas Tahaluf Siyasi PAS dengan DAP adalah bersyarat. Kerjasama Melayu UMNO dengan MCA dan MIC juga bersyarat.

11. Dakwaan bahawa orang bukan PAS tidak Islam masih dipercayai. Di Terengganu sembahyang dua imam dan sembahyang di masjid berasingan masih berlaku.

12. Perpecahan politik telah dijadikan perpecahan agama antara orang Melayu Islam Malaysia. Sebahagian besar orang Islam di Malaysia masih dianggap sebagai kafir oleh fanatik PAS.

13. Untuk mengekalkan perpecahan orang Islam di Malaysia PAS memaksa ramai ahlinya berbaiah kepada pemimpin dan parti. Perbuatan ini bertentangan dengan ajaran agama. Islam menuntut supaya semua orang Islam bersaudara. Apabila melafaz baiah kepada sesiapa maka kesetiaan kepada pemimpin (ulama) atau parti mengatasi kesetiaan kepada Allah, Rasul dan Al-Quran. Kerana kesetiaan ini tindakan yang tidak diizinkan oleh Islam dilakukan. Dan memang pun PAS berbuat demikian.

14. Dalam PRU 14 ini sepatutnya diadakan pertandingan satu lawan satu di semua kawasan. Besar kemungkinan ini akan berlaku dalam kawasan bandar di mana PAS tidak akan bertanding. Besar kemungkinan bahawa di sini pertandingan adalah antara DAP dan BN. Kemenangan DAP sebenarnya disokong oleh PAS yang tidak bertanding dalam kawasan bandar.

15. Tetapi di kawasan luar bandar di mana ramai penduduk adalah orang Islam, akan berlaku pertandingan tiga penjuru. Pakatan Harapan (P.H.) akan lawan BN dan PAS.

16. PAS akan mengumpan sebahagian dari pengundi anti-Kerajaan BN sehingga akan kuranglah undi kepada PH. Bahawa PAS juga akan kalah tidak mengapa. Kerana hasrat PAS ialah supaya Najib dapat kemenangan. Kenapakah PAS berbuat demikian? Apakah dedak memainkan peranan? Wallahu Wa’alam.

17. Inilah peranan dan hasrat PAS setelah ia ditubuh. PAS tidak mungkin menang untuk mendirikan Kerajaan di peringkat pusat walaupun ia bertanding seratus kali.

18. Sebaliknya PAS tetap mengurangkan jumlah orang Islam dalam parti pemerintah.

19. Kali ini, PAS secara langsung akan pecah barisan pengundi yang menentang Najib supaya Najib akan menang.

20. Kemenangan PAS di Kelantan hanya membawa nasib buruk kepada negeri itu. Ia juga mencemarkan imej Islam di Malaysia.

21. Sama ada dirancang atau tidak disedari atau tidak inilah hasil daripada pemulihan PAS.

22. Saya sedar kebenaran ini akan menyebabkan pelampau PAS marah amat sangat. Tetapi kebenaran masih kebenaran walaupun memedih telinga mendengar.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tun Dr Mahathir Mohamad speech at United Nations General Assembly


Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 73rd session of the United Nations General Assembly 2018
Turkey President Tayyip Edrogan speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019
Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019