Wednesday, May 3, 2017

DAP

blogtunm.blogspot.com Tun M 
DAP Malaysia: Parti Tindakan Demokratik / Democratic Action Party

1. Banyak sudah yang diperkatakan berkenaan DAP, terutama kesanggupan Parti Pribumi Bersatu Malaysia bekerjasama dengan parti itu. Hampir semua cemuhan terhadap DAP diasaskan kepada kebencian terhadapnya sebagai parti totok Cina. DAP dipercayai berjuang semata-mata untuk bangsa Cina.

2. Yang anehnya parti MCA yang 100% Cina, dan berjuang hanya untuk kepentingan orang Cina tidak ditolak oleh orang Melayu. Walaupun MCA mempunyai hubungan rapat dengan Parti Komunis China, dan kita menolak fahaman Komunis dan telah berperang dengan mereka, ini pun tidak menjadikan MCA musuh kepada UMNO dan ramai orang Melayu.

3. Walaupun MCA yang menuntut supaya diberi jawatan Timbalan Perdana Menteri Kedua bagi menjadinya lebih kuat dalam Parti Barisan Nasional, ini juga tidak menarik bantahan dari ahli UMNO dan ramai orang Melayu.

4. Sebenarnya Parti DAP bukan parti perkauman Cina. Ia adalah parti berbilang kaum walaupun majoriti dari ahlinya Cina. Terdapat Melayu, India dan suku kaum Sabah Sarawak dalam DAP. Ada wakil rakyat DAP yang terdiri dari orang Melayu dan India. Pemimpin besar DAP dahulu ialah Karpal Singh.

5. DAP banyak mengguna bahasa kebangsaan dalam mesyuaratnya. Lagu partinya juga dinyanyi dalam bahasa kebangsaan.

6. Sebagai anggota dalam Pakatan Harapan DAP telah menyatakan secara terbuka dan menandatangani penyataan sokongan Pakatan Harapan kepada Perlembagaan Malaysia.

7. DAP bersama Pakatan Harapan, dan secara bersendirian menyokong dan mengiktiraf :
1) Institusi Raja-Raja Melayu
2) Hak Istimewa Melayu dan Bumiputera
3) Bahasa Melayu ialah Bahasa Kebangsaan
4) Agama rasmi Malaysia ialah Islam

8. Kepimpinan DAP tidak pernah tuntut jawatan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri. Pimpinan tertinggi DAP mengaku bahawa oleh kerana penduduk Cina adalah minoriti di Malaysia, tidak mungkin DAP mendiri Kerajaan diperingkat pusat di Malaysia, jauh sekali dari menjadi Perdana Menteri walaupun jika DAP menang semua kerusi yang ditandingi.

9. Dari 222 kerusi parlimen hanya 52 sahaja yang mempunyai majoriti Cina. Untuk mendiri Kerajaan DAP perlu miliki lebih daripada 111 kerusi. Jelaslah DAP tidak memiliki cukup kerusi. Tetapi ia boleh menganggotai Kerajaan campuran walaupun kurang dari kerusi Melayu. Demikian juga MCA dan Gerakan.

10. Mungkin juga parti berbilang kaum Melayu memberi beberapa kerusi kepada calon bukan Melayu. Tetapi majoriti dari tiga buah parti kepimpinan Melayu akan meletak calon Melayu dan PPBM sebagai parti Melayu tidak mungkin mencalon dan menyokong bukan Melayu sebagai Perdana Menteri. Gabungan parti-parti pembangkang tidak mungkin didominasi oleh DAP selain di Pulau Pinang.

11. Kenyataan Najib bahawa jika UMNO kalah maka Kit Siang akan menjadi Perdana Menteri tidak berasas sama sekali. Sebaliknya Najib sudah pun mengadakan perjanjian ketenteraan dengan China dan seorang penulis China menyatakan pelabuhan Melaka dan Kuantan yang sedang dibangun dengan berbillion Ringgit modal syarikat China akan diguna oleh tentera laut China. Kemenangan Najib dan UMNO akan mengikat Malaysia dengan negara China, dan Malaysia tidak lagi dapat mengamal dasar luar berkecuali seperti dahulu.

12. Sebenarnya yang patut ditakuti oleh UMNO dan orang Melayu ialah Najib sebagai Perdana Menteri, bukan Kit Siang. Rekod Najib sebagai Perdana Menteri bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia, terutama orang Melayu. Sebaliknya rekod DAP di Pulau Pinang tidak seburuk Kerajaan BN di pusat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tun Dr Mahathir Mohamad speech at United Nations General Assembly


Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 73rd session of the United Nations General Assembly 2018
Turkey President Tayyip Edrogan speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019
Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019