blogtunm.blogspot.com Tun M
1. Tan Sri Muhyiddin cuba menafi yang dia pengkhianat yang terlibat dengan Langkah Sheraton dan cuba kaitkan saya.
2. Minggu lalu, Haji Hadi yang sekarang bersama Muhyiddin di dalam Perikatan Nasional mengaku dia yang gerak langkah Sheraton bersama Muhyiddin. Setelah itu dia calon Muhyiddin jadi PM.
3. Sebenarnya amat mudah nak pastikan siapa pengkhianat.
4. Ada satu ungkapan Bahasa Latin cui bono yang bermakna siapa yang mendapat keuntungan dari sesuatu keadaan.
5. Siapa yang jadi Perdana Menteri pintu belakang atau tebuk atap? Bukan saya tapi Muhyiddin.
6. Muhyiddin juga yang pecat saya sebagai Pengerusi Bersatu dan juga beberapa pemimpin Bersatu lain yang tidak setuju dengan Langkah Sheraton.
7. Siapa yang selepas itu takut hilang jawatan PM hingga sekat Parlimen bersidang?
8. Bukankah Muhyiddin juga PM yang minta isytihar darurat supaya Parlimen tidak dapat bersidang?
9. Muhyiddin tidak malu, walau perisytiharan darurat yang dimintanya ditolak oleh Yang diPertuan Agong, dan sanggup minta perisytiharan sekali lagi demi dapat kekal jawatan.
10. Semasa Muhyiddin PM dia usahakan supaya pilihan raya Negeri Sabah dibuat ketika Negara teruk dilanda Covid-19 dan selepas pilihan raya itu kes-kes naik mendadak dan ramai yang mati akibatnya.
11. Muhyiddin juga tuduh saya setuju dia jadi PM. Tapi dia tak cerita soalan saya kepadanya sanggupkah dia jadi PM dengan sokongan kleptokrat.
12. Dia jawab sanggup dan dengan angkuh berkata dia tahu macam mana nak tangani kerana dia ada pengalaman politik lebih 40 tahun.
13. Akhirnya Muhyiddin tersembam selepas cuma 17 bulan jadi PM setelah dikhianati oleh ahli-ahli Parlimen UMNO/BN yang sebelum itu bersama-sama mengkhianati rakyat untuk tubuh Kerajaan pintu belakang.
14. Dalam pada itu, beberapa Negeri yang dipimpin oleh Bersatu telah jatuh ke tangan UMNO dan dibiarkan oleh Muhyiddin asalkan dia kekal jadi PM.
15. Pasti ada yang tanya kalau itulah perangai Muhyiddin kenapa saya sebelum ini sanggup cadang kerjasama Pejuang/GTA bersama PN untuk pilihan raya ke-15.
16. Saya cuba bersangka baik bahawa setelah dijatuh dan dihina oleh UMNO, dia taubat atau merasa kesal dengan perbuatannya.
17. Dia khianat kepada saya tidak mengapa. Saya sangka dia akan cuba tebus khianatnya kepada parti Bersatu sehingga hilang beberapa Negeri, dan kepada rakyat keseluruhan.
18. Rupanya dia tetap angkuh dan hanya mahu menjadi PM.