Tuesday, August 19, 2008

RASUAH DALAM UMNO

blogtunm.blogspot.com Tun M 
1. Dato Seri Adnan Yaakob, Menteri Besar Pahang telah membuat kenyataan yang beliau tidak akan bertanding untuk Majlis Tertinggi UMNO kerana rasuah yang berleluasa dalam kempen pemilihan ketua-ketua pemuda, ketua bahagian dan Majlis Tertinggi.

2. Sebelum ini saya telah lapor berkenaan tindakan dua tokoh UMNO; seorang Ketua Bahagian yang menulis kepada Ibu Pejabat UMNO berkenaan rasuah yang dilakukan oleh Presiden sendiri untuk mendapat sokongan bagi pencalonannya sebagai Presiden pada Disember ini dan yang satu lagi tindakan seorang veteran UMNO yang telah lapor kepada Badan Pencegah Rasuah berkenaan rasuah yang sama yang dilakukan oleh Presiden, walaupun ia sendiri kerap bercakap dan mendesak semua orang supaya jangan amalkan rasuah. 

3. Baru-baru ini saya telah dapat maklumat daripada beberapa pemimpin UMNO bahawa rasuah, iaitu pemberian duit yang tidak kecil jumlahnya dan pemberian lain-lain, telah dilakukan untuk pemilihan ke Majlis Tertinggi dan Ketua Pemuda. 

4. Lebih daripada 150 ahli telah dikenalpasti yang akan mencabar ketua-ketua bahagian yang ada sekarang dengan diberi sogokan wang yang besar. Ada pula Ketua Bahagian yang diberi kontrak projek Kerajaan supaya mencalonkan calon tertentu.

5. Mereka yang menjadi Ketua Bahagian sekarang yang akan dicabar dan dijatuhkan tahu dan sedar yang rasuah ini sedang berlaku. Mereka kecewa. Tetapi mereka tidak sanggup mendedah secara tepat dan terbuka orang yang memberi sogokan dan siapa yang mereka dikehendaki mencalon dan menyokong dan lain-lain butir dan maklumat berkenaan kegiatan rasuah ini. Mereka yang disogok pula tidak sanggup membuat apa-apa laporan.

6. Mereka sedar bahawa rasuah yang berleluasa dalam UMNO ini akan menghancurkan parti, dan merosakkan masa depan orang Melayu dan negara Malaysia tetapi mereka masih berharap apabila mereka sudah tidak jadi Ketua Bahagian, tidak jadi ahli atau memegang jawatan dalam Majlis Tertinggi, apabila mereka tidak lagi jadi Menteri atau Timbalan Menteri, mereka mungkin diberi saguhati dengan dilantik sebagai Senator dan melalui saluran ini mungkin dapat jadi Menteri lagi, atau dapat jadi pengerusi syarikat GLC, atau jadi penasihat berpangkat Menteri kepada PM atau pengerusi badan-badan lain, atau dijadikan duta dan lain-lain, semuanya dengan elaun-elaun yang lumayan juga. 

7. Oleh kerana harapan ini mereka sanggup melihat rasuah berleluasa dalam UMNO, melihat UMNO hancur, melihat orang Melayu diperhambakan, menjadi golongan yang miskin dan tidak berkuasa dalam negara, merosakkan negara. Tidak ada seorang pun daripada mereka, daripada Timbalan Presiden sehingga ke ketua cawangan, yang akan sanggup mendedah secara jelas, mengeluar ‘statutory declaration’ berkenaan rasuah yang akan hancurkan UMNO dan menghakis apa sedikit daripada kuasa orang Melayu di negara ini yang masih ada. 

8. Mereka ini berharap orang luar daripada UMNO, NGO (Badan bukan Kerajaan) Melayu akan menyelamat UMNO supaya mereka yang tersingkir akan dapat kembali jawatan-jawatan mereka. 

9. Semua ini berlaku kerana presiden UMNO membenar ianya berlaku. Sebagai Perdana Menteri beliau dipercayai akan selamatkan mereka yang terlibat dengan mengguna rasuah untuk mendapat tempat dalam kepimpinan UMNO daripada apa-apa tindakan jika laporan dibuat kepada Jawatan Kuasa Disiplin Parti atau Badan Pencegah Rasuah. 

10. Perjuangan 62 tahun UMNO akan menjadi sia-sia kerana UMNO sudah dilanda gejala rasuah dan tidak lagi dapat perjuangkan tujuan-tujuan yang UMNO ditubuh. Perjuangan pemimpin dan ahli UMNO sekarang tertumpu kepada mendapat sesuatu bagi diri sendiri. Kerana semua mereka sudah terlibat dengan rasuah, samada memberi atau menerima, tiada ada siapa yang ingin bertindak memberhentikan jenayah ini. 

11. Inilah keadaan dalam UMNO sekarang. 

12. Malangnya yang boleh bertindak hanyalah ahli UMNO. 

13. Saya tidak fikir ada dalam UMNO orang yang mampu bertindak. Masing-masing hanya utamakan kepentingan diri. Apa yang akan jadi pada kaum bangsanya tidak mengapa asalkan diri sendiri mendapat sesuatu. 

14. Hari ini UMNO belum hancur lagi tetapi ia jelas sudah lemah. Dengan tahap kelemahan ini sahaja pun orang Melayu sudah berada dalam keadaan kelam kelibut, berpecah dan terdedah pada macam-macam serangan terhadap maruah bangsa dan agama yang mereka tidak berupaya mempertahankan. 

15. Percayalah, apabila orang Melayu begitu mudah menjual hak mengundi mereka, ahkhirnya mereka akan terima padahnya; mereka akan hilang apa juga kuasa yang sedikit yang ada pada mereka untuk menyelamatkan kaum bangsa mereka. Mereka akan kembali menjadi hamba orang, mempertahankan orang. Mereka akan jadi seperti orang Melayu Singapura yang sudah jadi kaum minoriti yang termiskin di pulau yang sebenarnya sebahagian dari Tanah Melayu dahulu. Inilah nasib yang menunggu orang Melayu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tun Dr Mahathir Mohamad speech at United Nations General Assembly


Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 73rd session of the United Nations General Assembly 2018
Turkey President Tayyip Edrogan speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019
Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019