Wednesday, June 15, 2011

KETAKSUBAN PUAK ASSABIAH


1. Kita sebagai orang Islam menerima semua ajaran Islam. Tetapi kita tidak dapat faham dengan mudah semua ajaran islam yang terdapat dalam Al-Quran dan Hadith yang sahih. Justeru kita terpaksa bergantung kepada orang yang faham untuk terjemaahan dan tafsiran.

2. Mereka ini memang arif kerana mereka mendalami dalam bidang agama, termasuk membaca kitab-kitab tafsir selain dari Al-Quran dan Hadith. Tetapi mereka bukan Nabi. Sebaliknya mereka adalah manusia biasa. Dan sebagai manusia biasa mereka lemah dan terdedah kepada kemungkinan membuat kesilapan dan kesalahan. Sebab itulah kita dapati perbezaan antara tafsiran-tafsiran yang dibuat oleh mereka berkenaan perkara yang sama. Kadang-kadang perbezaan tafsiran mereka begitu ketara sehingga mereka dan pengikut mereka sering bermusuh dengan yang lain sehingga membunuh dan berperang. Kita baca berkenaan pengebom Syiah menyerang dan membunuh puak Sunni dan sebaliknya. Demikian juga dengan pengikut-pengikut pentafsir lain, Ahmadiah umpamanya.

3. Agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w hanyalah satu. Sekarang terdapat banyak puak-puak atau mazhab Islam kerana mengikut ajaran dan tafsiran imam dan ulama yang berlainan.

4. Dinegara kita terdapat Arqam, Ayah Pin umpamanya kerana mengikut ajaran pemimpin. Sekarang mereka menubuh Kelab Isteri Setia yang bertujuan bersaing dengan pelacur. Pengikut As-Shaari dan Ayah Pin amat fanatik kepada mereka iaitu taksub kepada ajaran sesat mereka. Apabila sudah taksub, umat sukar untuk memperbetulkan fahaman mereka. Sesungguhnya mereka adalah golongan Assabiah kerana ketaksuban mereka.

5. Dalam politik juga terdapat kumpulan Assabiah ini. Kerana taksub dengan ajaran pemimpin, mereka tidak lagi menyoal apa sahaja ajaran yang disampaikan. Mereka terima dan telan, bahkan mereka akan bermusuh dengan sesiapa yang tidak percaya dengan ajaran pemimpin mereka.

6. Setelah taksub sebarang penjelasan akan kesilapan dan kesalahan ajaran pemimpin mereka akan ditolak secara buta-tuli. Ini ajaran pemimpin mereka, maka inilah sahaja ajaran yang betul. Jika pemimpin kata yang hitam itu putih maka mereka akan angguk “Ya, itu memang putih”. Demikian puak yang taksub ini, puak assabiah ini. Hidung sudah dicucuk dan di mana diheret mereka turut dan pergi.

7. Berpecahnya umat Islam adalah kerana taksub kepada ajaran pemimpin. Al-Quran secara jelas memang menegas orang Islam itu adalah bersaudara. Tetapi apabila pemimpin berkata Islam menyuruh orang Islam berpecah-belah, yang taksub kepadanya akan berkata “Ya, benar Islam menyuruh orang Islam berpecah belah”, seperti kata pemimpin mereka.

8. Apabila pemimpin berkata mereka disuruh tolak perpaduan dalam Islam untuk mendapat sokongan bukan Islam, mereka yang taksub akan terima bulat-bulat dakwaan pemimpin mereka. Biarlah bagaimana terangnya ajaran Al-Quran berkenaan dengan persaudaraan dalam Islam, ajaran pemimpin mereka dianggap lebih Islam dari Al-Quran.

9. Dahulu pemimpin mereka berkata bekerjasama dengan bukan Islam menjadikan orang itu kafir dan mereka kata “Kafir! Kafir!”. Hari ini pemimpin mereka yang sama berkata mereka mesti bekerjama dengan orang yang kafir. mereka bersetuju dan terus berkerjasama dengan orang kafir. Mereka tidak lagi ambilkira dakwaan dahulu bahawa mereka akan jadi kafir.

10. Demikianlah dengan puak Assabiah, puak yang fanatik setia kepada pemimpin dan kumpulan mereka. Yang utama bukan ajaran Islam walaupun amat jelas. Yang diutamakan ialah kata-kata pemimpin mereka.

11. Hari ini umat Islam berpecah-belah kerana fahaman yang berbeza-beza berkenaan ajaran Islam. Di negara tercinta ini juga orang Melayu Islam berpecah-belah. Mereka berpecah dan menolak sebarang usaha untuk menyatupadukan mereka mengikut ajaran Islam yang terdapat dalam Al-Quran. Pemimpin mereka dan cita-cita besar pemimpin mereka untuk ke Putrajaya lebih utama bagi mereka dari ajaran Islam. Oleh itu Islam dan ajarannya yang sebenar boleh diketepikan untuk tidak menakutkan orang bukan Islam kerana sokongan mereka ini lebih utama daripada negara Islam dan hukum-hukumnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tun Dr Mahathir Mohamad speech at United Nations General Assembly


Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 73rd session of the United Nations General Assembly 2018
Turkey President Tayyip Edrogan speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019
Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019