blogtunm.blogspot.com Tun M
1. Dengan pilihanraya semakin dekat rasuah politik oleh Barisan Nasional (BN) (Najib) pun meningkat dengan pantasnya.
2. Duit dan barangan (alat dapur) diberi oleh pemimpin UMNO kepada siapa sahaja yang menghadiri rapat umum dan ceramah mereka. Kadang-kadang hanya sedikit sahaja yang hadir perjumpaan-perjumpaan anjuran UMNO ini. Dengan itu ada yang dapat dua atau tiga hadiah.
3. Cara baru ialah dengan mengada Expo Jabatan-Jabatan Kerajaan. Di Expo ini akan ada cabutan nombor bertuah. Kereta yang dipasang pembesar suara mengelilingi kampung menjemput orang pergi ke Expo atau aneka jenis hiburan, dimana terdapat hadiah-hadiah yang lumayan.
4. Kadang-kadang pemimpin dan ahli parti lawan ditawar ratusan ribu ringgit supaya keluar parti dan sertai UMNO. Jika mereka sanggup kutuk Pakatan Harapan (PH) mereka akan diberi tambahan sogokan.
5. Tetapi baru-baru ini ramai dari penerima yang terdiri dari PH menyerah sebahagian dari wang yang mereka dapati kepada PH. Barangan juga dijual dan hasilnya diderma kepada parti PH.
6. Umum ketahui bahawa Najib telah sekat sebarang bantuan wang kepada PH. Siapa yang disyaki menolong PH akan dilawati oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ramai yang dipaksa bayar cukai tambahan sehingga berjuta.
7. SPRM pula akan tuduh peniaga melakukan money laundering (membersih duit yang dicuri). Dengan ini duit peniaga dalam bank akan dibekukan. Dan peniaga tidak lagi dapat berniaga.
8. Tindakan-tindakan ini menyebabkan sumbangan wang kepada parti-parti PH terhenti. PH tidak memiliki duit untuk perbelanjaan PRU.
9. PH diselamatkan oleh Najib dan Tengku Adnan kerana sebahagian, kadang-kadang semua dari duit yang diterima diserah oleh yang bersimpati dengan PH kepada parti dalam PH. Duit inilah yang diguna dalam kempen untuk jatuhkan Najib dan Tengku Adnan.
10. Kita percaya lebih banyak lagi wang yang akan diberi kepada pengundi semasa kempen PRU. Sedikit sebanyak wang ini akan menolong membiayai kempen parti PH.
11. Ahli dan orang ramai dinasihat menerima apa sahaja yang diberi BN kepada mereka.
12. Sebabnya ialah duit ini adalah duit mereka yang dicuri oleh Najib. Duit ini bukan duit Najib. Penerima tidak perlu berterima kasih kepada Najib atau BN kerana mendapat balik duit mereka yang dicuri oleh Najib. Penerima tidak perlu undi BN.
13. Mereka harus sedar mereka akan dipaksa bayar duit yang dihutang oleh Najib dan dicuri olehnya. Mereka akan dikenakan cukai yang bertambah, dikurangkan subsidi supaya hutang yang telah dilesapkan oleh Najib dapat dibayar.
14. Dari manakah Najib akan dapat wang jika tidak dinaikan pendapatan Kerajaan melalui tambahan cukai. Siapa yang akan bayar cukai. Rakyatlah yang membayar cukai. Anak, cucu, cicit merekalah yang membayar cukai. Duit siapa? Duit rakyat. Bermakna wang yang dihutang oleh Najib adalah duit rakyat. Duit inilah yang dicuri oleh Najib. Duit berbillion Ringgit inilah yang diguna untuk membeli bermacam-macam oleh Najib. Saki-baki dari duit inilah yang diguna oleh Najib untuk sogok pengundi.
15. Yang jelas Najib curi duit rakyat dan guna duit rakyat untuk tawan hati rakyat. Bukan duit Najib.
16. Kenapa harus kita berterima kasih apabila Najib curi duit kita dan bagi sedikit darinya kepada kita. Kita tidak perlu berterima kasih kepada Najib jauh sekali dari berasa terhutang budi kepadanya.
17. Kalau Najib atau Tengku Adnan bagi duit atau barangan kita ambil. Tetapi jangan berterima kasih dan jangan beri undi kepada mereka, iaitu kepada BN dalam PRU14 ini.
18. Adakalanya penerima sogokan akan disuruh bersumpah akan undi BN. Dalam Islam niat lebih utama dari lafaz. Penerima boleh lafaz mengikut kehendak konco-konco Najib tetapi niat dalam hati akan undi PH. Ini tidak salah dari segi agama kerana tidak ada paksaan dalam Islam.