Tuesday, November 25, 2008

RASUAH DAN KEAZAMAN POLITIK

blogtunm.blogspot.com Tun M 
1. Saya bersetuju dengan pendapat Dato Seri Najib Tun Razak bahawa usaha membanteras politik wang perlu keazaman politik.

2. Soalnya – keazaman politik siapa?

3. Apakah keazaman politik mereka yang ingin dicalonkan dan sudah hulur wang sogokan?

4. Apakah keazaman pemimpin UMNO untuk lihat UMNO bersih daripada politik kotor?

5. Jika pemimpin yang perlu banteras, yang mana satukah pemimpin yang perlu berazam; pemimpin cawangankah, bahagian, Majlis Kerja Tertinggi atau Presiden parti?

6. Saya akui di masa saya jadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri pun sudah ada politik wang.

7. Ia amat ketara semasa saya dan Tun Ghafar Baba dicabar pada tahun 1986.

8. Walaupun saya dapat pencalonan yang terbanyak (70 peratus) tetapi saya menang dengan kelebihan undi hanya 43 sahaja. Jelas perwakilan tidak undi ikut pencalonan oleh Bahagian.

9. Untuk mengelak perwakilan dipengaruhi semasa bersidang maka perlembagaan dipinda supaya 10 undi bonus diberi apabila dicalon oleh Bahagian.

10. Malangnya ada calon yang berjaya mendapat begitu banyak pencalonan sehingga lawannya terpaksa tarik diri.

11. Lepas itu dibatalkan undi bonus dan diganti dengan kuota 30 peratus bagi jawatan Presiden dan peratusan tertentu bagi jawatan-jawatan lain.

12. Dalam pencalonan untuk pemilihan kali ini ternampak jelas yang kuota tidak berjaya membanteras politik wang.

13. Ya, memang pun semasa saya dahulu sudah ada politik wang.

14. Tetapi peristiwa sogokan secara terbuka dan besar-besaran sehingga ramai dalam masyarakat pandang jijik akan politik UMNO tidak berlaku dahulu.

15. Tidak pernah terjadi yang Presiden parti didakwa terlibat dengan politik wang melalui laporan kepada polis dan Badan Pencegah Rasuah.

16. Tidak pernah Lembaga Disiplin parti menerima sehingga 900 laporan berkenaan politik wang.

17. Tidak pernah BPR terima banyak laporan rasuah untuk pencalonan bagi jawatan dalam UMNO.

18. Membuat alasan bahawa dulu pun ada rasuah tidak menghalalkan rasuah sekarang, terutamanya rasuah terbuka dan besar-besaran.

19. Sesungguhnya hari ini di mana-mana juga rakyat bercakap berkenaan rasuah dalam pencalonan kepimpinan UMNO. Ini tidak berlaku dahulu.

20. Juga dahulu rakyat tidak pernah tolak sebahagian besar calon UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihanraya 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999 seperti yang berlaku pada pilihanraya umum 2008. Jika rasuah dahulu tidak berbeza dengan sekarang kenapakah BN menang majoriti 2/3 tiap pilihanraya umum dari tahun 1982-1999?

21. Dahulu rakyat/pengundi tidak anggap UMNO sebagai parti pimpinan perasuah seperti hari ini.

22. Kerana tidak suka pada kepimpinan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, BN sudah ditolak di lima buah negeri dan sebuah Wilayah Persekutuan. Hari ini bukan Presiden sahaja yang dianggap tidak layak, tetapi seluruh kepimpinan UMNO tidak disukai dan tidak dianggap layak memimpin negara kerana pencalonan mereka adalah hasil sogokan oleh mereka. Memilih mereka bermakna memilih perasuah untuk mendirikan Kerajaan. Masyarakat yang mana yang mahu terima Kerajaan perasuah?

23. Ramalan saya ialah UMNO akan kalah teruk pada pilihanraya umum ke-13. Mendapat sokongan daripada parti (melalui rasuah) tidak akan menjamin kemenangan dalam pilihanraya umum.

24. Yang memberi kemenangan kepada calon-calon UMNO dahulu ialah undi ahli bersama dengan penyokong luar, penyokong bukan UMNO. Jangan fikir hanya dengan undi ahli UMNO sahaja kemenangan akan diperolehi.

25. Dalam pilihanraya umum ke-12 ramai ahli UMNO-pun tidak undi calon BN. Dan amat ramai daripada penyokong-penyokong (bukan ahli) UMNO yang undi parti lawan. Itulah yang memberi keputusan yang buruk bagi BN dalam pilihanraya umum ke-12.

26. Ingatlah kelebihan undi bagi calon UMNO yang menang tidak sebesar dahulu. Jika hanya separuh lebih sedikit daripada kelebihan kecil ini berpaling tadah dan mengundi parti lawan UMNO akan kalah dimana dahulu ia menang.

27. Mereka yang ghairah menggunakan wang untuk dicalon oleh bahagian harus ingat jika parti UMNO kalah, kemenangan jadi pemimpin UMNO tidak bermakna. Lihat ketua-ketua perhubungan Kedah, Perak, Kelantan dan Selangor dan mereka yang dicalon bertanding pilihanraya umum ke-12. Di mana mereka?

28. Jika BN kalah, Presiden UMNO tidak akan jadi Perdana Menteri, Timbalan Presiden tidak akan jadi Timbalan Perdana Menteri dan lain-lain pemimpin UMNO jika menang pun tidak akan jadi Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen atau pengerusi-pengerusi syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) dan lain-lain dan ketua-ketua bahagian tidak akan dapat kontrak dan lain-lain.

29. Lebih buruk lagi UMNO akan hancur. Pengasas-pengasas UMNO akan kutuk mereka yang kerana tamak telah musnahkan UMNO.

30. Orang yang terkenal menyogok wang untuk jadi pemimpin UMNO, jika mereka dipilih akan menyebabkan UMNO ditolak dalam pilihanraya umum.

31. Rakyat tahu siapa mereka walaupun sukar bagi mendapat bukti yang mereka ini adalah perasuah.

32. Perwakilan UMNO yang menerima sogokan dan memilih orang yang dikenali sebagai perasuah, harus ingat apabila mereka memilih orang ini, mereka sebenarnya mengkhianati bangsa, agama dan negara hanya kerana sedikit wang yang akan habis dibelanjakan dalam sekelip mata. Kamu dan zuriat kamu akan dikutuk oleh bangsa kamu tiap kali mereka menderita kerana kamu telah jual bangsa dan negara kamu untuk sedikit wang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tun Dr Mahathir Mohamad speech at United Nations General Assembly


Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 73rd session of the United Nations General Assembly 2018
Turkey President Tayyip Edrogan speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019
Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019