Wednesday, May 7, 2008

Kerajaan yang lemah tidak baik bagi negara berbilang kaum seperti Malaysia

blogtunm.blogspot.com Tun M 
Saya ucapkan terima kasih kepada pelawat yang sudi melayari chedet Saya minta maaf kerana tidak berkesempatan mengeluarkan artikel baru buat masa ini.

Tetapi sebagai menyahut permintaan pembaca, saya telah mengalih bahasa penulisan yang sebelumnya untuk paparan kali ini, sementara saya sediakan artikel yang baru.

Saya akan cuba menulis sekerap mungkin. Dua artikel pertama sebelum ini telah ditulis di dalam bahasa Inggeris. Saya akan tulis di dalam kedua-dua bahasa, Malaysia dan Inggeris, mengikut kesesuaian.

Saya mengalu-alukan maklumbalas pembaca sebagai cara untuk mengetahui pendapat yang berlainan daripada pendapat saya sendiri.

Saya minta maaf kerana tidak mungkin dapat menjawab semua pertanyaan yang diajukan. Bagaimanapun, di dalam penulisan saya yang selanjutnya saya akan cuba menjawab sedikit-sebanyak soalan-soalan yang diajukan.

Sekali lagi saya ingin mengingatkan pelayar web chedet supaya kita sama-sama menjaga etika dan mengambil sikap bertanggunjawab serta bertata-tertib dengan tidak menggunakan perkataan kesat di dalam ruang komentar.

Saya terima kritikan dan saya siarkan komen pengkritik-pengkritik yang tidak setuju dengan saya, tetapi saya tidak boleh siarkan kritikan yang mengandungi perkataan-perkataan yang kesat dan kurang sopan samada terhadap saya mahupun terhadap orang lain.

Saya harap semua pelayar laman web ini dapat menghormati permintaan saya ini. Saya mengalu-alukan semua pengunjung dan mengucapkan selamat melayari chedet

Berkenaan dengan rencana saya tentang pelantikan hakim, ramai tidak setuju dengan pendapat saya bahawa apabila Kerajaan terpaksa berkerjasama dengan pembangkang ianya menunjuk kelemahan Kerajaan dan pendapat saya bahawa pembangkang adalah musuh.

Dari segi politik, pihak pembangkang adalah musuh. Terpaksa bekerja dengan pembangkang bukanlah tidak demokratik, tetapi menampilkan kelemahan Kerajaan.

Kerajaan yang lemah tidak baik bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia. Ianya hanya akan mengundang ugutan terhadap kuasa kerajaan. Kerajaan tidak boleh memuaskan hati semua pihak. Jika Kerajaan tidak tegas dan terpaksa berdolak-dalik, akan timbul masalah kurang keyakinan terhadap Kerajaan. Ini akan menyebabkan polisi dan projek tidak dapat diimplimentasi dengan lancar. Mungkin ada orang yang sudah sedar akan keadaan ini.

Kerajaan yang tidak memerlukan sokongan pembangkang akan lebih berjaya menempuh kritikan dan bangkangan yang semua Kerajaan harus hadapi. Tetapi Kerajaan juga haruslah mengambil maklum terhadap teguran yang dibuat pembangkang dan jika perlu mengambil tindakan berdasarkan teguran tersebut.

Di dalam konteks hari ini, Kerajaan Persekutuan tidak berdaya untuk membawa apa-apa perubahan kepada perlembagaan dan akan terpaksa menghadapi ugutan sepanjang masa. Sokongan pembangkang mungkin bersyarat dan kredit akan diberi kepada mereka.

Salah satu kepentingan memperolehi dua-pertiga majoriti di Parlimen ialah kerana tidak akan timbul masalah lompat parti oleh mana-mana ahli Kerajaan. Sekarang kita dengar tentang masalah ini hampir setiap hari. Kepimpinan Barisan Nasional kini bagai cacing kepanasan. Dan cacing yang kepanasan tidak boleh mencapai apa-apa pun.

Pentadbiran Kerajaan Persekutuan sebelum ini tidak pernah gagal mendapat dua-pertiga majoriti Parlimen. Sebagai ukuran kekuatan, majoriti dua-pertiga membenarkan Kerajaan membuat apa sahaja keputusan yang difikirkan baik tanpa perlu bergantung kepada mana-mana pihak lain.

Mungkin juga cadangan untuk meminta sokongan atau kerjasama dibuat dengan ikhlas di atas semangat demokrasi. Persoalannya kenapa sekarang? Kenapa tidak apabila Kerajaan memperoleh majoriti 90 peratus selepas Pilihanraya Umum 2004? Perubahan kepada cara hakim-hakim dipilih sepatutnya boleh dilakukan selepas kejayaan cemerlang 2004.

Saya berpendapat bahawa negara ini memerlukan satu Kerajaan Persekutuan yang kuat dan tidak perlu bergantung kepada mana-mana pihak, yang boleh berkhidmat kepada rakyat dan negara tanpa perlu rasa takut atau ragu-ragu.

Tetapi saya juga berpendapat akan perlunya pembangkang yang kuat. Ini adalah untuk memastikan yang Kerajaan tidak menyimpang daripada landasan sebenar, ataupun menyalahguna kuasanya.

Gandingan pihak Kerajaan yang kuat dan pembangkang yang mempunyai kekuatan serta keinginan untuk memantau penyalahgunaan kuasa Kerajaan akan membawa kebaikan bagi Malaysia.

Berkenaan cadangan Kerajaan menubuhkan suruhanjaya kehakiman, adakah ini kerana ianya bagus ataupun tindakan tergesa-gesa untuk memenangi sokongan yang hilang?

Berkenaan kritikan saya terhadap kepimpinan Kerajaan sekarang, saya percaya saya mempunyai hak berbuat demikian. Berhenti daripada Kerajaan hanya bermakna menyerahkan kuasa dan kekuatan. Tetapi ianya tidak bermakna saya harus menyerahkan hak kerakyatan saya. Saya mempunyai hak untuk mengambil berat terhadap pentadbiran tunggang terbalik negara ini dan juga parti yang saya tolong pulihkan pada tahun 1987.

Parti ini bukan kepunyaan Dato Seri Abdullah. Ianya bukan untuk menyokong beliau sebagai pemimpin lebih-lebih lagi setelah salah percaturan di dalam pentadbiran serta pilihanraya umum baru-baru ini. Parti juga bukan kepunyaan saya. Ianya adalah kepunyaan semua ahlinya. Buat masa ini ahli parti tidak dibenar mengkritik. Mereka hanya boleh mengiakan apa sahaja yang Dato Seri Abdullah kata atau lakukan.

Memandang yang pihak pembangkang juga menyokong Dato Seri Abdullah, jika saya tidak mengkritik, tidak ada sesiapa yang akan berbuat demikian. Dan tanpa kritikan, Kerajaan dan Dato Seri Abdullah sudah tentu akan menyimpang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tun Dr Mahathir Mohamad speech at United Nations General Assembly


Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 73rd session of the United Nations General Assembly 2018
Turkey President Tayyip Edrogan speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019
Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019