1.Sejak dahulu kala lagi terdapat kampung air di Sabah dan Sarawak. Kampung-kampung ini biasanya didiri di muara sungai atau dalam air di pinggir laut. Penempatan ini membolehkan perahu diguna untuk perjalanan atau tangkapan ikan.
2.Lagipun sampah sarap boleh dibuang ke dalam air. Demikian juga dengan najis manusia.
3.Di zaman dahulu jumlah penduduk tidak ramai. Najis dan sampah pun tidak banyak. Gerakan air pasang surut dan pengaliran air boleh membawa sampah dan najis jauh ke tengah laut dan hilang begitu sahaja.
4.Hari ini jumlah penduduk kampung air sudah ramai dan sampah dan najis yang lebih banyak tidak lagi dibawa arus dan ombak ke laut dalam. Kebanyakan najis dan sampah kekal di bawah rumah dan di sekeliling kampung air. Apabila air surut najis dan sampah kelihatan di bawah rumah dan sekitar.
5.Sekarang perahu sebagai kenderaan tidak lagi mustahak. Jalan-jalan sudah ada yang menghubungi kampung-kampung ini dengan kampung dan bandar lain di daratan.
6.Bekalan makanan juga tidak lagi bergantung kepada memancing di sekitar kampung. Kedai dan kampung berdekatan boleh membekal segala keperluan penduduk kampung air. Jika mereka nelayan, kampung air tidak perlu. Ramai nelayan di seluruh Malaysia tidak tinggal di kampung air.
7.Sesungguhnya zaman kampung air sudah berakhir. Cara hidup dalam kampung air tidak lagi sesuai dengan keadaan sekarang dengan adanya jalan dan bekalan yang cukup.
8.Seperti kita semua maklum peristiwa serangan pengganas di Lahad Datu terjadi kerana kampung air sukar diawasi dan dikawal oleh pihak berkuasa. Biasanya pendatang ke negara Malaysia perlu melalui pintu rasmi yang mempunyai pegawai imigrasi, kastam dan polis. Tujuannya tentulah kerana bukan sahaja cukai perlu di kutip ke atas barangan yang dibawa masuk, tetapi juga barang yang diharamkan, seperti dadah, senjata boleh dirampas. Pendatang yang tidak ada paspot tentulah tidak akan di benar masuk.
9.Kampung air sebenarnya menjadi pintu masuk tidak rasmi ke negara. Pendatang dengan bot boleh mendarat melalui mana-mana sudut kampung air tanpa diketahui oleh sesiapa. Di waktu malam penyeludupan barangan dan senjata boleh dilakukan dan disimpan dalam rumah kampung air.
10.Di waktu pengganas menyerang Lahad Datu, pasukan keselamatan terdedah kepada serangan dan tembakan oleh pengganas yang bersembunyi dalam rumah dalam kampug air. Perjalanan pihak polis mudah didengar dan dilihat oleh pengganas. Polis berjalan atas titian kayu yang sempit dan tidak kemas. Tidak ada tempat untuk melindung diri jika diserang. Amat sukar bagi polis membeza antara penduduk dan pengganas. Ini mengganggu mereka sehinggalah mereka diserang. Mereka akan terbunuh atau tercedera sebelum dapat menembak balas. Peristiwa seperti ini sudah pun berlaku.
11.Beberapa anggota polis dan tentera terbunuh apabila mereka cuba menggeledah rumah-rumah kampung air di waktu serangan oleh pengganas di Lahad Datu.
12.Selagi ada kampung air selama itulah Sabah terutamanya tidak selamat dari pencerobohan oleh pengganas dan penyeludup. Selepas peristiwa Lahad Datu, berlaku lagi serangan oleh pengganas.
13.Rondaan oleh pasukan keselamatan di laut dan di darat tidak dapat menghalang seratus-peratus penculikan dari berlaku.
14.Amatlah memalu apabila Malaysia tidak pun mampu menghalang pengganas dari memasuki wilayah bila-bila masa sahaja. Apa akan terjadi jika serangan oleh beribu pengganas berlaku? Ingatlah, kita tidak terfikir 200 orang dapat mendarat dan menguasai satu kawasan di Sabah. Tetapi ia berlaku.
15.Masa sudah tiba untuk penduduk kampung air dipindah dan ditempatkan di kawasan yang lebih selamat di daratan. Kosnya tentu tinggi tetapi saya percaya Malaysia yang mampu membelanja berbillion Ringgit untuk projek yang kurang penting boleh membiayainya. Di masa yang sama alatan seperti bot laju, pesawat intip dan senjata canggih perlu dibekal kepada pasukan keselamatan. Hari ini pesawat mengintip sudah begitu canggih sehingga tidak mungkin sesiapa boleh bersembunyi samada siang atau malam.
16.Sesungguhnya cara hidup di kampung air sudah melampaui zaman. Ia sudah tentu tidak akan mencerminkan imej Malaysia maju yang kita fikir kita akan jadi menjelang 2020.