1. Saya gembira kerana Kerajaan terima dengan terbuka teguran saya.
2. Saya teringat akan perjanjian Raja-Raja Melayu dengan British. Disebut dalam perjanjian itu British akan menugas seorang pegawai mereka sebagai Penasihat (Adviser) dalam bahasa mereka, kepada Kerajaan negeri.
3. Tetapi dalam perjanjian itu disebut juga bahawa apabila Penasihat British memberi nasihat, Raja dan Kerajaan mesti terima. Penerimaan ini mengikut fahaman British bermakna mengikuti dan melaksana nasihat yang diberi.
4. Apabila nasihat mesti diterima dan dilaksana, ia bukan lagi nasihat. Ia sudah menjadi arahan atau “command” dalam bahasa Mat Salleh.
5. Demikian apabila British Resident (nama lain bagi adviser yang bermakna “penduduk”) mendapati seorang Raja Muda tidak sesuai untuk naik takhta apabila Raja mangkat, nasihat diberi supaya dianya tidak diberi hak untuk mengganti Raja. Dan Raja pun terpaksa terima kerana nasihat Resident mesti diterima dan dikuatkuasakan.
6. Raja-Raja Melayu biasanya mempunyai Majlis Penasihat. Tetapi Raja tidak perlu menerima nasihat mereka, jauh sekali daripada melaksana nasihat yang diberi.
7. Teguran saya bukanlah nasihat. Nak terima atau tidak adalah hak orang yang ditegur. Nak laksana atau tidak juga hak pihak yang ditegur.
8. Mungkin teguran tidak berasas. Tetapi berasas atau tidak boleh diketahui apabila diuji.
9. Dalam negara demokrasi ujian yang terbaik ialah apabila pilihanraya diadakan. Jikalau teguran tidak berasas, dan dasar serta pendekatan yang ditegur diteruskan juga, maka sudah tentu kemenangan yang besar akan diperolehi.
10. Sebaliknya jika prestasi dalam pilihanraya menjadi lebih buruk maka besar kemungkinan teguran yang dibuat berasas.
11. Perdana Menteri Kelima setelah menang besar dalam PRU 2004, kehilangan lima buah negeri, satu wilayah dan kemerosotan yang besar di Dewan Rakyat dalam PRU 12, 2008.
12. Sepatutnya pengganti memperoleh kemenangan yang lebih baik. Tetapi tidak. Pencapaian Perdana Menteri Ke-6 lebih buruk lagi dalam PRU13 setelah memberi wang Kerajaan kepada berjuta rakyat, membelakangkan Dasar Ekonomi Baru, melayan orang yang tidak hargai layanan, meningkatkan hutang Kerajaan, mendengar nasihat konsultan luar dan lain-lain lagi.
13. Dengan pencapaian yang buruk ini sepatutnya dikaji semula dasar dan amalan yang jelas tidak baik. Tetapi tidak. Pendekatan diteruskan. Teguran diterima tetapi tidak menukar apa-apa.
14. Penegur tidak ingin menjadi Penasihat British. Teguran bukan arahan. Tetapi mereka yang tidak mengambil iktibar dari pengalaman dahulu yang meneruskan juga pendekatan lama akan didera dengan pencapaian yang sama atau lebih buruk dimasa hadapan.