blogtunm.blogspot.com Tun M
1. Saya kembali ke Kubang Pasu, kawasan saya dahulu, buat kali pertama untuk berbuka puasa di Kodiang selepas 14 tahun meletak jawatan sebagai Ketua Bahagian UMNO Kubang Pasu.
2. Ramailah juga ahli-ahli UMNO Kubang Pasu yang hadir dalam acara iftar itu. Saya sedih kerana ramai lagi dari mereka yang masih berada dalam UMNO.
3. Dalam ucapan saya, saya jelaskan bahawa UMNO sekarang bukan UMNO yang saya pimpin dahulu. UMNO sekarang bukan pun UMNO yang ditubuh pada 1946 oleh Dato Onn, UMNO yang mengalahkan Malayan UNION, dan mencapai kemerdekaan. UMNO sekarang telah dihijack oleh Najib untuk menjadi alat pelindung jenayah yang telah dan sedang dilakukan olehnya. Ia menggunakan duit Kerajaan dan duit 1MDB yang diselewengkan, untuk sogok ahli-ahli UMNO supaya terus menyokong dirinya. Sogokan ini dibuat melalui pelbagai cara.
4. UMNO Najib tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan tanahair. Laporan Department of Justice Amerika menunjuk bagaimana berbillion Ringgit yang diselewengkan disalahguna, selain dari sogokan untuk mendapat sokongan; untuk cara hidup mewah. Duit diguna untuk beli kapal terbang, kapal mewah, hartanah dan bangunan mewah di Amerika dan UK, berlian beratusan juta Ringgit sebiji untuk isteri Malaysia Official 1, iaitu Najib.
5. Sebahagian besar berjumlah berbillion Ringgit yang diselewengkan diperolehi oleh sahabatnya Jho Low. Duit ini diguna untuk beli harta, untuk berjudi dan kehidupan mewah di AS dan UK.
6. Kita juga tahu bahawa di Singapura beberapa bank telah hilang lesen kerana terlibat dengan salahlaku wang 1MDB dan lebih enam orang didenda dan dipenjara kerana terlibat dengan penipuan duit 1MDB.
7. Penyokong Najib menuduh bahawa kononnya parti pembangkang termasuk saya terlibat dengan pengeluaran kenyataan oleh Dept of Justice Amerika. Amerika Syarikat bukan seperti Malaysia. Di Malaysia ada Perdana Menteri yang melalui wang dan ugutan mempengaruhi tindakan dan kenyataan oleh anggota Kerajaan. Di Amerika Presiden pun terpaksa menerima laporan berkenaan dirinya dari pegawai berkaitan dengan apa sahaja salahlaku olehnya. Dan Presiden biasa disingkir kerana perbuatan yang salah yang dilapor oleh pegawai agensi tertentu. Itulah yang menimpa Presiden Nixon kerana skandal Watergate.
8. Menuduh parti pembangkang di Malaysia mampu mempengaruhi Dept of Justice Amerika adalah satu kebodohan yang luar biasa. Dan duta besar Amerika telah menafikan tuduhan ini. Jenayah yang dilakukan adalah jenayah di Amerika, melibat bank-bank di Amerika, harta-harta di Amerika yang menyalahi undang-undang Amerika bernama Kleptocracy Asset Recovery.
9. Semua ini tentu diketahui oleh orang UMNO, terutama pemimpin mereka. Hanya yang telah disumbat dedak dalam mata dan telinga sahaja yang buta dan pekak yang tidak tahu.
10. Perbuatan ini sudah merosakkan negara yang dahulu dihormati dunia. Malaysia sudah disenarai dalam senarai 10 buah negara dengan tahap rasuah yang tertinggi di dunia.
11. Sokongan kepada Najib oleh ahli Umno bermakna mereka sokong jenayahnya dan sudah tidak lagi setia dan sayang kepada bangsa Melayu mereka, kepada ajaran Islam dan kepada negara mereka.
12. Seperti Najib mereka sudah jadikan wang tunai sebagai raja yang disembah. Secara langsung mereka mengkhianati bangsa, agama dan negara. Sudah tentu, bersama Najib, mereka mengkhianati parti UMNO yang asal. Malapetaka akan menimpa negara Malaysia ini kerana mereka sokong Najib.
13. Berhentilah dari mengkhianati UMNO yang sebenar. Tolaklah Najib dan keluarlah dari UMNO Najib untuk menyertai gerakan menjatuhnya dalam pilihanraya. Hentikan dari melindung makhluk perosak ini.
14. Tebuslah balik maruah Melayu, agama Islam. Janganlah begitu taksub kepada parti sehingga penyelewengan oleh parti pun tidak dipedulikan. Kembalilah kepada prinsip dan matlamat UMNO yang sebenar yang hari ini cuma berada dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia.