blogtunm.blogspot.com Tun M
1. Saya tidak tahu samada “memperasuahan” adalah satu perkataan dalam bahasa Melayu. Tetapi sama ada perkataan ini ada atau tidak, perbuatan memperasuahan memang kerap dilakukan dalam masyarakat manusia. Maknanya ialah perbuatan menyemai sifat buruk ini dalam masyarakat sehingga menjadi sebahagian dari budayanya. Masyarakat yang terima budaya ini, tidak lagi berasa segan atau malu dengan pemberian dan penerimaan rasuah, yang kadang-kadang disebut sebagai “tumbuk rusuk” atau “makan suap”.
2. Rasuah tetap diamal oleh semua masyarakat manusia. Tetapi biasanya masyarakat anggap rasuah sebagai satu amalan yang keji dan buruk. Mereka yang mengamal rasuah akan menyembunyi perbuatan mereka kerana sedar yang ianya adalah sesuatu amalan yang salah disisi undang-undang dan agama juga.
3. Tetapi apabila masyarakat terima amalan rasuah sebagai perkara biasa yang boleh diamal secara terbuka, maka tidak lagi ada perasaan segan silu apabila melakukannya, baik oleh pemberi atau penerima.
4. Di zaman pemerintahan yang percaya “cash is king” atau “wang adalah raja” maka pemberian dan penerimaan rasuah menjadi satu dari nilai hidup dan budaya, terutama dikalangan orang Melayu.
5. Apa sahaja sanggup dibuat jika disogok dengan wang atau pemberian yang diminati. Soal baik buruk sesuatu yang diberi atau diarah tidak termasuk dalam pertimbangan.
6. Percanggahan dengan undang-undang, bahkan berdosa dari segi agama tidak diambil kira. Yang diutamakan ialah pendapatan yang memuaskan nafsu.
7. Masyarakat tahu, mereka tahu sogokan dianggap sebagai perbuatan yang tidak baik dan dilarang. Tetapi penerima tidak fikir panjang. Baik, tidak baik; tetapi sogokan memuaskan nafsu dan dipercayai menguntungkan. Oleh itu terima sahajalah. Kesan buruk terhadap masyarakat adalah perkara remeh dan gampang.
8. Sudah tentu perasaan kebangsaan dan kesan terhadap bangsa dan negara tidak lebih utama dari nafsu penerima rasuah.