Friday, September 6, 2019

TAK BEKERJA

blogtunm.blogspot.com Tun M 

1. Semasa saya berumur belasan tahun, saya dapat perhatikan keadaan di Alor Star. Masa itu Negeri-Negeri Melayu sedang dijajah oleh British. Negeri-Negeri Melayu terima baik penjajahan British.

2. Yang tidak dapat dinafi ialah British membawa sistem Pemerintahan yang lebih baik dan Negeri-Negeri mengalami sedikit sebanyak pembangunan.

3. British membuka ladang-ladang getah dan lombong bijih timah. Yang anehnya tidak ada orang Melayu yang bekerja dalam ladang dan lombong ini. Pekerja terdiri dari orang India dan Cina. Perniagaan kedai runcit dan aneka jenis tukang-tukang semuanya terdiri dari orang Cina.

4. Dimanakah orang Melayu? Mereka bekerja dalam sawah padi mereka, dan ada sedikit yang menjadi nelayan. Sebilangan kecil dari mereka bekerja dengan Kerajaan sebagai kerani. Lebih kecil lagi ialah bilangan mereka yang memegang jawatan tinggi dalam Kerajaan. Mereka ini semua berbangga kerana dibayar gaji tetap dan pencen.

5. Yang tidak terdapat ialah orang Melayu yang berniaga atau bekerja sebagai buruh kasar. Orang Melayu pandang hina bidang-bidang ini.

6. Oleh kerana sikap ini tidak terdapat ramai orang Melayu yang tinggal di bandar-bandar. Pada masa itu pun bandar-bandar didiri dan dipenuhi dengan kedai Cina. Tidak ada kedai Melayu. Ada beberapa buah kedai makan dan rempah cabai orang India.

7. Raja-Raja Melayu tidak iktiraf orang Cina dan India sebagai rakyat. Kepercayaan mereka ialah orang ini, akan kembali ke Negara masing-masing apabila khidmat mereka tidak diperlu lagi.

8. Orang Cina biasanya berhijrah ke Negara lain jika mereka nampak peluang mencari makan. Mereka berhijrah ke Amerika dan Australia dan ke Negara-Negara jajahan British. Melihat kestabilan pemerintahan British dan peluang kerja, mereka datang dengan ramai ke Negeri-Negeri Melayu. Mereka sanggup bekerja keras. Dikenali sebagai kuli mereka sanggup buat kerja kotor, kerja berat dan merbahaya. Mereka sanggup menarik “langca”, dan apa sahaja yang memberi pendapatan kepada mereka. Ramai perempuan Cina yang menjadi “amah” di rumah pembesar Melayu, menjaga anak dan membersih rumah.

9. Orang Melayu berasa senang kerana kerja berat, kotor dan berbahaya serta perniagaan dilakukan oleh orang asing. Jika mereka lihat kekayaan dan kemajuan orang asing ini, mereka tidak berasa khuatir sedikit pun. Kepercayaan mereka ialah Negeri mereka kekal sebagai milik mereka. Itu yang saya lihat. Semasa saya muda di zaman British timbul keinginan melihat orang Melayu berniaga juga. Di Alor Star dibina Pekan Rabu, pekan sari dimana orang kampung boleh menjual sedikit sebanyak pisang dan buah-buahan bakul dan raga anyaman mereka. Perniagaan mereka tidak menjadi besar. Mereka berniaga secara sambilan. Mereka tidak berniat pun untuk membesar perniagaan. Setakat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, itu sahaja.

10. Tetapi anggapan mereka meleset. Kerana mereka tidak sanggup bekerja kuat, tidak sanggup berniaga secara serius mereka terus miskin. Jarak antara mereka dengan kaum lain yang bekerja kuat dan berniaga menjadi semakin luas. Yang berlaku ialah yang sudah kaya menjadi lebih kaya dan orang Melayu yang miskin menjadi lebih miskin. Ini sudah ditakdir. Tak perlu buat apa-apa.

11. Sepatutnya orang Melayu sedar terhadap apa yang berlaku kepada mereka. Malangnya mereka tidak sedar. Sehingga sekarang pun orang Melayu masih tidak sedar. Mereka masih enggan bekerja. Orang Melayu masih rela serah segala kerja kepada orang asing. Dan orang asing pun membanjiri Negara kita. Tujuh juta orang asing masih berada di sini sekarang ini. Mereka bekerja. Apakah akan terjadi kepada orang Melayu. Tentulah apa yang sudah jadi dahulu kepada Negara dan orang Melayu, yang akan terus jadi. Ada yang dakwa orang Melayu adalah Tuan. Tuan apa? Orang miskin, orang yang tidak ada kebolehan, orang yang bergantung kepada belas kasihan orang lain, Tuankah.

12. Nasib kita di tangan kita. Memarahi orang lain tak akan menyelesai masalah kita. Bilangan kita dikatakan bertambah. Tetapi jumlah besar orang yang miskin tidak dapat bersaing dengan jumlah kecil orang yang kaya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tun Dr Mahathir Mohamad speech at United Nations General Assembly


Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 73rd session of the United Nations General Assembly 2018
Turkey President Tayyip Edrogan speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019
Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019