Thursday, August 27, 2020

SELAMAT TINGGAL

blogtunm.blogspot.com Tun M 
1. Majlis Tertinggi UMNO telah buat keputusan akan bertanding di semua kawasan yang ditandingi oleh Bersatu dan yang dimenangi oleh UMNO tetapi lompat masuk Bersatu.

2. Juga UMNO akan bertanding di mana mereka kalah sedikit atau tempat yang kedua dari segi jumlah undi.

3. Jadi Bersatu nak bertanding di mana.

4. Jawab Menteri dan Timbalan Menteri dari Bersatu, mereka dapat gaji dan elaun besar. Setakat PRU 15 pun tak apalah. Dapat juga. Keluar tak dapat apa.

5. Inilah perjuangan, perjuangan untuk dapat duit. Tak banyak sikit, okaylah.

6. Inilah politik Malaysia sekarang. Tak ada yang lebih mudah dapat duit daripada melalui politik. Soal apa jadi pada bangsa, pada negara, pada agama pun, itu soal lain bukan soal orang politik. Boleh dapat hingga dua billion Ringgit dari politik.

7. Kadang-kadang ada peluang lompat. Okaylah. Tak dapat million, dapat ratusan ribu pun tak apa. Dapat juga.

8. Soal jatuh Kerajaan kerana lompat, itu masalah depa. Rakyat kecewa. Pedulikan. Lain kali cerita lain. Rakyat mudah lupa.

9. Ada yang berkata biarlah. Tak payah ada orang yang nak cuba perbaik keadaan. Bukan duit kita. Kalau penyangak jadi Kerajaan apa salahnya. Semua Kerajaan di mana-mana pun penyangak. Apa nak malu. Kadang-kadang tempias sedikit rezeki kepada kita. Terima sahajalah. Tak ada Kerajaan penyangak tak ada nikmat.

10. Bodohlah, jika pegang kepada perjuangan asal parti. Prinsip tak penting. Politik penting, lebih untung.

11. As ye sow, so shall ye reap. Apa engkau tanam, itulah yang engkau tuai.

12. Selamat tinggal Bersatu.



Wednesday, August 26, 2020

KEKELIRUAN

blogtunm.blogspot.com Tun M 
1. Keadaan politik negara yang keliru mungkin menjadi lebih keliru hasil tindakan yang diambil oleh beberapa buah parti. Ternampak ramai yang sudah hilang haluan dan sanggup membuat apa sahaja untuk dapat sokongan.

2. Demikian Bersatu yang ditubuh untuk menjatuhkan Najib beralih menjadi parti untuk hidupkan Najib dan Barisan Nasional (BN).

3. Kemudian entah macam mana pemimpin Bersatu menjadi Perdana Menteri Parti Perikatan Nasional yang tidak wujud.

4. Harapan supaya Perikatan Nasional menjadi parti gabungan tiga buah parti iaitu Bersatu, PAS dan UMNO tidak jadi kenyataan. UMNO mendakwa bahawa ahlinya hanya dibenar sokong Bersatu supaya Bersatu keluar dari Pakatan Harapan (PH) untuk jatuhkan Kerajaan PH. Dan pemimpin Bersatu pun telan bulat-bulat rancangan jahat ini.

5. Sekarang Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) bergantung kepada UMNO. Jika orang UMNO tidak sokong jatuhlah PN. Sebaliknya jika UMNO tidak sokong mereka juga akan jatuh. Sebab itu UMNO terpaksa sokong.

6. Tetapi masih ada 5 orang UMNO yang mungkin didapati bersalah (seorang telah didapati bersalah tetapi menunggu proses rayuan) dan tidak boleh kekal sebagai wakil rakyat. Jika mereka kehilangan kedudukan sebagai wakil rakyat, Bersatu dan PN akan jatuh.

7. Untuk elak dari ini berlaku, Perdana Menteri perlu cari ganti. Maka Bersatu pun gugur kedudukan sebagai parti Pribumi dan membuka keahlian kepada semua kaum. Kekalkah nama PPBM. Ini kali keempat Bersatu mungkir janji.

8. Sekarang Bersatu membuat keputusan untuk gabung dengan Muafakat. Tetapi Muafakat adalah gabungan parti Melayu Islam. Bersatu parti berbilang kaum dan agama. Apa jadi kepada Muafakat. Masih Melayu Islamkah??

9. UMNO pula dikatakan pecah tiga. Ada bahagian yang tidak setuju Bersatu masuk Muafakat, ada yang setuju. Demikian juga dengan PAS. Ada yang bersetuju, ada yang tidak.

10. Di antara parti-parti yang sokong Kerajaan, ada yang percaya akan menang pilihan raya ada yang tidak suka diadakan pilihan raya.

11. Perdana Menteri takut hilang jawatan jika kehilangan 6 kerusi. Sedang mencari pengganti. Dari mana. Mungkin dari Keadilan. Tetapi kosnya tinggi.

12. Datang Pejuang. Bersatu hilang akar umbi. Banyak pemimpin tapi kurang yang hendak dipimpin. Jadi parti kosong. Akar umbi pindah ke Pejuang.

13. Dalam PRU Bersatu tidak akan dapat sokongan UMNO dan PAS, tidak juga dari PH.

14. Bersatu mungkin dibubar dan sertai UMNO. Tamat riwayat parti yang dicuri.

15. Pening kepala Muhyiddin. Tidak ada haluan untuk dituju.

16. Cari sakit. Dapat sakit.



Wednesday, August 19, 2020

PARTI PEJUANG

blogtunm.blogspot.com Tun M 
1. Apa perlunya Parti Pejuang.

2. Jika kita perhati politik negara sekarang, tumpuan hanya kepada duit dan jawatan, tidak lagi kepada dasar perjuangan untuk negara.

3. Yang berada dalam Kerajaan berada kerana pendapatan yang boleh didapati. Soal dasar perjuangan tidak diambil kira.

4. Demikian PAS yang dahulu kata UMNO kafir dan bekerjasama dengan UMNO jadi kafir, sekarang membentuk Muafakat dengan UMNO. Kafirkah PAS – tidak. Itu tahaluf siasi. Tetapi Hadi masih tidak tarik balik amanatnya yang berkata Kerajaan UMNO kafir kerana mengikut cara kafir.

5. Bersatu pula ditubuh untuk lawan kleptokrasi. Sekarang Bersatu bergantung kepada kleptokrat untuk cukup bilang menjadi Kerajaan.

6. Sekarang Bersatu hendak masuk Muafakat. Di mana perginya Kerajaan Perikatan Nasional.

7. Parti Perikatan Nasional ini tidak wujud. Tidak didaftar. Tidak disertai oleh UMNO atau PAS. Bahkan UMNO akan lawan Bersatu dalam PRU. Inikah rakan seperjuangan?

8. Apa dianya Perikatan Nasional ini sehingga Perdana Menteri mendakwa dia adalah Perdana Menteri Perikatan Nasional, Perdana Menteri parti yang tidak wujud.

9. UMNO dengan jelas berkata ahlinya dibenar sokong Bersatu guna untuk jatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan. Inilah perjuangan kerjasama Bersatu dengan UMNO/PAS. Perjuangan untuk jadi Kerajaan. Dasar dan perancangan tidak ada. Hanya untuk jadi Kerajaan, untuk jadi Perdana Menteri. Perancangan lain ialah untuk jawatan dan pendapatan. Tidak ada pun Kerajaan Melayu Islam. Kalau DAP akan hancur Melayu, batalkan sahajalah pendaftaran. Kalau Parti Komunis boleh dibatalkan, DAP pun boleh.

10. Ada orang politik yang dapat simpan dalam bank sebanyak 2 billion Ringgit. Kita ingin tahu macam mana boleh himpun sebanyak itu sedang orang berniaga sepenuh masa pun tidak ada duit sebanyak itu.

11. Kami tubuh Bersatu dengan tujuan menjatuh Kerajaan kleptokrat. Sekarang Bersatu berjaya selamat kleptokrat. Dan penyakit pun terjangkit kepada Bersatu. Wang diguna untuk si katak lompat keluar dan sokong Bersatu. Tidak lompat dilucut keahlian, dilucut jawatan.

12. Kami tidak ada parti sekarang. Sudah dilucut dari parti yang kami tubuh oleh hijackers.

13. Sebagai bebas simbol tidak sama.

14. Terpaksa tubuh parti.

15. Untuk apa.

16. Untuk berjuang hapus politik wang, kembali kepada pembangunan negara maju dan bermaruah, berjuang untuk rakyat bahagia.

17. Kami tidak akan guna duit sebagai umpan. Cuma ingin wujud peluang cari duit halal.



Friday, August 14, 2020

RASUAH II

blogtunm.blogspot.com Tun M 
1. Ramai orang Melayu yang memandang ringan terhadap amalan Rasuah. Apalah sangat menerima lebih sedikit bayaran daripada yang dihalalkan. Tetapi rasuah dalam negara demokratik boleh pisahkan orang Melayu dari negara mereka, boleh hancur orang Melayu.

2. Dalam demokrasi rakyat diberi hak memilih Kerajaan. Kepercayaan kita ialah rakyat tentu bijak dalam memilih wakil mereka yang akan tubuh Kerajaan.

3. Malangnya kuasa memilih ini terdedah kepada rasuah – iaitu kuasa ini boleh dijual. Dan mereka yang mampu membeli, berpeluang untuk letak calon mereka dan tentukan kemenangan mereka.

4. Inilah sebabnya yang cogan kata “Cash is King” atau Wang itu Raja dijadikan kepercayaan Dato’ Sri Najib. Dengan duit, undi rakyat boleh dibeli dan Najib boleh dirikan Kerajaan sampai bila-bila.

5. Hari ini Najib. Dan kita dapat lihat kerosakan yang dilakukan olehnya. Bukan sahaja duit Kerajaan diselewengkan, tetapi jentera Kerajaan dapat disalahguna supaya dianya bebas dari sebarang tindakan. Maka akan hilanglah pemerintahan mengikut undang-undang (rule of law).

6. Tetapi selepas kita berjaya gulung Kerajaan kleptokrat sekali lagi kita dibelenggu rasuah Kerajaan.

7. Kita sedang lihat Kerajaan Muhyiddin membeli sokongan melalui anugerah jawatan dan wang.

8. Kali ini semua mereka yang tidak sokong dilucut jawatan, digugur dari parti, dan didera dengan berbagai cara. Ada yang dituduh secara sombrono, disoal berjam-jam, dimasuk dalam tahanan dan dikena reman.

9. Sebaliknya yang sokong dihadiah dengan jawatan tinggi, wang dan aneka jenis kemudahan.

10. Di Sabah rakyat pilih Kerajaan.

11. Kleptokrat di pusat beli ahli parti Kerajaan untuk tumbang Kerajaan. Hasrat rakyat dicabul.

12. Hari ini Najib dan Muhyiddin. Esok penyangak lain pula akan sogok dan akan jual negara ini.

13. Bolehkah kita pandang ringan rasuah?

14. Penerimaan amalan rasuahlah yang sebenarnya akan hancur orang Melayu. Rasuah oleh penyangak, musuh dan orang asing pun boleh tentukan siapa jadi Kerajaan Malaysia.

15. Apabila mereka ini menjadi Kerajaan Malaysia, nasib orang Malaysia tidak lagi akan dilindungi oleh mereka. Sudah tentu Melayu akan jadi mangsa terbesar.

16. Inilah sebabnya yang orang Melayu tolak cadangan British untuk membentuk Malayan Union. Dalam Malayan Union siapa sahaja boleh jadi warganegara Malaya dan bentuk Kerajaan. Secara langsung Melayu akan dijajah.

17. Dengan itu akan hilang dan hancurlah bangsa Melayu.

18. Sekarang semangat Kebangsaan sudah hilang. Sekarang terdapat hanya ketamakan, apa aku dapat sekarang. Apa jadi esok bukan tanggungjawab aku.

19. Oleh itu terima sahajalah sogokan.

20. Hak mengundi bertujuan Kerajaan yang terbaik dipilih.

21. Jual undi mengundang penyangak, penyamun sebagai Kerajaan.

22. Ringankah jenayah rasuah?



Wednesday, August 12, 2020

Parti Baru - PEJUANG

blogtunm.blogspot.com Tun M 

Kita tubuh parti untuk selamatkan kita.
Parti kita dihijack untuk selamatkan musuh kita.
Demikian Bersatu.
Ditubuh untuk hapuskan Kleptokrat.
Sekarang beralih untuk selamat Kleptokrat.
Kerana apa?
Kerana jawatan dan wang.
Perjuangan asal dibelakangkan.
Perjuangan sekarang berasas kepada “apa aku dapat”.
Jalan mudah. Terima sahaja apa yang ditawar.
Jika ada sesuatu yang boleh hancur Melayu.
Mengutama apa aku dapat adalah cara hancur orang Melayu.
Kenapa?
Kerana mengutama apa aku dapat, membelakangkan kepentingan Melayu.
Lihat peristiwa jual tanah.
Ya. Jual tanah dapat duit.
Duit habis, tanah sudah tergadai.
Apa yang tinggal pada penjual. Nothing.
Lihat Melayu negara jiran.
Melayu lagikah negara mereka?
Jual tanah sama dengan jual hak.
Lama-kelamaan jual negara.
Tidak ada hak lagi.
Maka hancurlah Melayu.
Siapa yang salah?
Orang lainkah?
Pilihlah.
Parti kami ditubuh kerana kesedaran.
Rasuah menghancur bangsa.
Rasuah yang hancur orang Melayu.
Jika ingin dapat jawatan dan wang.
Pilih parti lain.
Jika ingin tebus maruah.
Jika ingin kekal hak kita.
Pilih parti kami.
Pilih PEJUANG.

Thursday, August 6, 2020

RASUAH

blogtunm.blogspot.com Tun M 
1. Sikap kita terhadap jenayah rasuah tidak seperti sikap kita kepada lain-lain jenayah. Kita pandang ringan kepada rasuah sehingga jika disogok kita orang biasa sanggup terima. Kita tidak berasa bersalah atau malu menerima walaupun diketahui orang. Apalah sangat kesan dari perbuatan kita.

2. Apabila masyarakat kita anggap rasuah bukanlah satu jenayah yang buruk, maka ia akan berkembang sehingga menjadi amalan seluruh masyarakat. Tidak ada apa-apa khidmat yang tidak melibatkan rasuah. Diperingkat ini individu dalam masyarakat tidak berasa tertekan dan rela membayar. Tetapi jika diambil kira kesan terhadap pemerintahan, rasuah tetap akan menghalang proses pentadbiran negara. Negara tetap tidak akan maju. Di waktu ini semua rakyat akan jadi mangsa amalan rasuah.

3. Rasuah biasanya melibat khidmat Kerajaan. Segala urusan memerlu kelulusan dari Kerajaan. Ini memberi peluang (dan kuasa) kepada pegawai dan kakitangan Kerajaan menuntut sagu hati untuk khidmat biasa mereka. Walaupun undang-undang boleh dikenakan kepada mereka yang menerima sagu hati, tetapi keengganan penerima melapor menjadikan undang-undang tidak berkesan. Yang boleh menghapus rasuah ialah sifat yang ada pada kita menolak rasuah sebagai jenayah yang amat buruk dan hina dan perlu ditolak.

4. Negara dan masyarakat yang amal rasuah sebagai perkara biasa, tetap sukar dimajukan. Pentadbiran tetap kurang efisien dan ini mempunyai kesan buruk kepada pelaburan dan dagangan. Tanpa atau kurangnya perniagaan, pelaburan dan dagangan negara akan jadi miskin dan rakyat akan menderita. Kita lihat semasa wabak COVID-19 semua perniagaan terhenti dan pendapatan pekerja, peniaga dan pengusaha hilang. Semua menjadi miskin, termasuk Kerajaan kerana tidak ada cukai untuk dikutip. Demikian jugalah kesan dari kekurangan aktiviti ekonomi kerana rasuah.

5. Dengan kemajuan dan pertumbuhan ekonomi terganggu, maka masyarakat tidak akan merasai nikmat dari kemajuan dan pertumbuhan, nikmat dari peluang kerja dan perniagaan. Pada masa itu barulah rakyat akan rasai kesan dari amalan rasuah.

6. Dalam negara demokrasi tiap rakyat memiliki kuasa mengundi. Kuasa, atau power, mengundang rasuah. Rakyat sebagai pengundi terdedah kepada rasuah.

7. Undi menentukan menang atau kalah seseorang calon. Tujuan memberi kuasa memilih kepada rakyat ialah supaya mereka akan pilih calon yang terbaik yang akan diri Kerajaan yang prihatin terhadap masalah rakyat. Apabila Kerajaan terdiri dari orang yang baik iaitu tidak terima rasuah maka negara akan maju dan pengundi akan dapat banyak nikmat. Segala urusan dengan Kerajaan menjadi mudah, kos akan berkurangan dan masa tidak dibazirkan.

8. Tetapi orang yang ingin merebut kuasa Kerajaan untuk kepentingan diri sendiri akan melihat pemilihan wakil rakyat sebagai cara untuk mendapat kuasa Kerajaan melalui rasuah.

9. Sepatutnya pengundi tidak akan undi calon yang tidak baik jika mereka tahu calon itu tidak baik. Tetapi jika calon tidak baik, menghulur wang, besar kemungkinan ramai pengundi ketepikan pentadbiran yang baik dan kemajuan negara. Mereka akan terima sogokan. Setelah menerima sogokan, mereka akan beri undi kepada penyogok. Lebih banyak wang yang didapati lebih bersedialah pengundi memberi undi kepada perasuah.

10. Bagi calon yang berduit, samada duit sendiri atau yang dipinjam atau dicuri, ramailah yang akan sogok pengundi. Besarlah kemungkinan calon yang guna wang untuk sogok akan menang.

11. Dengan ini pencuri dan perasuah dapat diri Kerajaan. Mungkin juga mereka ini dibiayai oleh orang tertentu yang merancang untuk merebut kuasa Kerajaan untuk kepentingan mereka.

12. Dengan Kerajaan dikuasai oleh perasuah, kepentingan negara dan rakyat akan diketepikan.

13. Jika rakyat menentang Kerajaan perasuah ini, maka rakyat pun akan disogok dengan wang Kerajaan. Demikian BR1M dicipta dan berbagai pemberian wang percuma diadakan.

14. Dalam masyarakat yang anggap rasuah sebagai jenayah kecil, kesediaan menerima sogokan akan menghilangkan tentangan terhadap Kerajaan yang buruk. Dana untuk pengurusan dan pembangunan akan berkurangan kerana diguna untuk sogokan ini. Negara terpaksa hutang dan tanggung beban pembayaran dan faedah. Infrastruktur tidak dapat dibina dan taraf hidup rakyat akan menurun.

15. Negara perasuah tidak akan menarik pelabur dan peniaga, sebabnya ialah kerana rasuah meningkat kos dan melewatkan kelulusan. Tanpa pelaburan peluang pekerjaan akan berkurangan. Kemiskinan akan bertambah dan negara tidak akan membangun.

16. Rakyat terpaksa bergantung kepada Kerajaan untuk kehidupan mereka. Malangnya Kerajaan pula kekurangan dana kerana jumlah cukai berkurangan akibat kemerosotan ekonomi. Rakyat seperti ini tidak dapat sumbang kepada pertumbuhan negara. Maka lagi miskinlah negara.

17. Kita sudah lihat apa yang sudah berlaku apabila pengundi kita pilih kerana disogok dalam PRU.

18. Tetapi mungkin kita fikir tak akanlah negara akan jadi begitu buruk kerana kita terima sedikit sagu hati.

19. Tak mungkinlah kita alami kemerosotan hanya kerana kita seorang terima rasuah. Percayalah jika kita anggap rasuah sebagai jenayah ringan, besar kemungkinan orang lain juga mempunyai sikap yang sama.

20. Maka jadilah kita negara perasuah yang tidak mungkin berjaya.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tun Dr Mahathir Mohamad speech at United Nations General Assembly


Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 73rd session of the United Nations General Assembly 2018
Turkey President Tayyip Edrogan speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019
Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019