Thursday, September 10, 2020

PEJUANG

blogtunm.blogspot.com Tun M 
1. Negara Malaysia sudah menjadi negara rasuah terutama dalam politiknya. Ini jelas dilihat bagaimana Kerajaan pilihan rakyat diganti dengan Kerajaan yang dibeli oleh pihak tertentu.

2. Jika dibiar rasuah akan berkembang dan akan rosakkan pentadbiran negara dan menghalang pembangunannya.

3. Rakyat semua akan menderita teruk kerana terpaksa menghulur wang untuk khidmat Kerajaan.

4. Parti Pejuang ditubuh untuk membanteras aliran ke arah ini.

5. Memang tidak mudah melawan budaya rasuah. Tetapi jika tidak ada sedikitpun usaha membanteras rasuah, penyalahgunaan wang, salah guna kuasa akan berkembang dengan lebih cepat lagi, lebih teruk lagi.

6. Jika Pejuang diberi sokongan dan peluang, sedikit sebanyak rasuah dan salah guna kuasa boleh dikurangkan.

7. Pejuang menjemput mereka yang sedar akan bahaya rasuah untuk menyokong atau menyertai perjuangannya.

8. Kita sudah dengar berkenaan usaha untuk menukar nilai hidup kita supaya yang tidak baik menjadi baik dan yang baik menjadi tidak baik.

9. Kita dengar seorang penjenayah berkata “Aku Boss, apa nak malu (kalau aku curi)”. Dan ini disambut oleh penyokongnya dengan menerima dakwaan ini, dan disambung dengan laungan “Ya. Kalau dia curi pun, bukan curi duit kita”.

10. Jadi sekarang mencuri pun tidak mengapa kerana yang dicuri bukan duit kita dan pencuri itu adalah Boss kita. Dan kita pun dapat sedikit duit yang dicuri.

11. Apabila mencuri dianggap tidak salah, maka rasuah, menipu, hukuman salah, membohong – semua ini pun tidak salah juga.

12. Maka menubuh Kerajaan pimpinan Melayu Islam oleh penjenayah seperti ini pun boleh diterima sebab dia Melayu dan Islam.

13. Hari ini di Malaysia sudah terdapat Kerajaan pintu belakang atau tebuk atap. Kerajaan Sabah pun hampir terguling kerana 13 ahli Kerajaan dibeli dengan bermillion Ringgit.

14. Jika dua lagi ahli dapat dibeli, maka Kerajaan Sabah pilihan rakyat akan jatuh dan diganti dengan Kerajaan pintu belakang. Di masa hadapan mereka yang mempunyai wang yang banyak boleh beli Kerajaan, bahkan mendiri Kerajaan. Sudah tentu Kerajaan yang dibeli ini akan diguna oleh penjenayah untuk jenayah mereka.

15. Bukan sahaja itu tetapi apabila tuduhan dibuat terhadap anggota mereka, Peguam Negara mereka boleh disuruh buang kes. Tuduhan juga boleh dibuat terhadap musuh politik sehingga dihadap ke mahkamah, didapati bersalah dan dipenjara.

16. Tidak akan ada “Rule of Law” dalam negara yang Kerajaannya terdiri dari penjenayah. Lihat sahajalah apa yang berlaku di zaman Najib. Orang yang cuba tegur salah laku oleh Najib dimasuk dalam tahanan di bawah undang-undang SOSMA.

17. Mungkin ada yang berpendapat Kerajaan penjenayah seperti ini tidak mungkin berlaku di negara kita. Tetapi ia sudah pun berlaku dan penjenayah sudah pun dibicara dan didapati bersalah apabila rakyat pilih Kerajaan rakyat.

18. Sesungguhnya di Malaysia sudah berlaku di mana sebuah Kerajaan pilihan rakyat dijatuhkan dan sebuah lagi hampir jatuh kerana ahli parti Kerajaan dibeli. Besar kemungkinan di masa hadapan penjenayah kaya akan beli Kerajaan dengan bermillion Ringgit dan pemerintahan kuku besi didiri oleh penjenayah.

19. Atas kesedaran kemungkinan inilah maka parti Pejuang ditubuh. Kita akan tentukan pemimpin Pejuang akan terdiri dari pejuang-pejuang anti-rasuah dan anti-politik wang.

20. Kami juga akan berusaha membantu rakyat dalam bidang perniagaan dan perusahaan yang mengikut aturan-peraturan dan bersih.

21. Kami akan utamakan “The Rule of Law”.

22. Kami tidak terikat dengan mana-mana parti campuran. Sebaliknya kami akan sokong mana-mana pihak yang utamakan prinsip-prinsip perjuangan kami.

23. Kami seru kepada rakyat supaya sertai kami atau sokong kami dalam PRU.

24. Percayalah kami mempunyai banyak cara (idea) untuk menjayakan peperangan kami melawan rasuah dan politik wang.

25. Sokonglah kami sebagai PEJUANG untuk memulih bangsa yang berjaya dan mulia.


Bagi pihak Pejuang,
DR MAHATHIR BIN MOHAMAD

Wednesday, September 9, 2020

USUL TIDAK PERCAYA KEPADA YAB PERDANA MENTERI

blogtunm.blogspot.com Tun M 
SAYA telah bercadang untuk membawa usul tidak percaya terhadap YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dalam Dewan Rakyat.

Tetapi Kerajaan menentukan usul ini tidak akan dikemukakan dan dibahas dengan dua kali meletak usul ini di akhir sidang dewan. Usul Kerajaan didahulukan sehingga tidak ada masa untuk usul saya dibahas. Dengan cara ini sampai bila-bila pun usul saya tidak akan dibincang dalam dewan.

Oleh kerana saya tidak mungkin kemukakan usul saya dalam Parlimen maka saya terpaksa siar usul ini dalam blog saya untuk tatapan orang ramai.

Sekian. Terima kasih.



Tuan Yang di-Pertua,

1. Saya bangun untuk mengemuka usul tidak percaya terhadap YAB Ahli bagi kawasan Pagoh, Perdana Menteri Malaysia kerana sebab-sebab yang saya akan jelaskan sekarang.


2. YAB Tan Sri Muhyiddin bersama dengan saya dan beberapa orang lain telah tubuh sebuah parti politik dengan tujuan khusus untuk menjatuh Kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib. Parti yang kami tubuh ialah Parti Pribumi Bersatu Malaysia-Bersatu.

3. Pendirian Tan Sri amat tegas dalam perjuangan untuk menjatuh Perdana Menteri Najib. Oleh kerana rakyat juga ingin melihat Datuk Seri Najib dan Barisan Nasional (BN) dijatuhkan, pandangan YAB Pagoh diterima baik dan sokongan diberi kepada Bersatu dan Pakatan Harapan (PH), sehingga menang PRU 14.

4. Datuk Seri Najib berpakat dengan Parti PAS dan telah serang Pakatan Harapan kerana kononnya Kerajaan Pakatan Harapan ini dikuasai oleh DAP yang akan hancurkan orang Melayu. Untuk elak dari kehancuran ini, sebuah Kerajaan Melayu Islam perlu ambil alih Kerajaan.

5. Dakwaan bahawa DAP boleh hancur orang Melayu tidak masuk akal. Orang Melayu tidak mudah dihancur. Percubaan British merampas negeri-negeri Melayu melalui Malayan Union digagalkan oleh orang Melayu.

6. Demikian juga penyangak mata wang yang cuba jatuhkan nilai mata wang Malaysia supaya kita terpaksa serah pengurusan ekonomi kita kepada Bank Dunia dan International Monetary Fund (IMF) juga digagalkan oleh pemerintahan pimpinan Melayu.

7. Parti Komunis Malaya yang cuba merampas kuasa secara bersenjata Kerajaan pimpinan Melayu, juga dikalahkan.

8. Jika DAP cuba hancurkan orang Melayu, Ahli Parlimen Pagoh sebagai Menteri Dalam Negeri pada masa itu boleh batalkan pendaftaran parti itu dan haramkan aktiviti mereka.

9. Tetapi Tan Sri kononnya percaya DAP boleh hancur orang Melayu. Caranya untuk elak kehancuran ialah dengan menjatuh Kerajaan Pakatan Harapan dan membentuk Kerajaan campuran dengan UMNO dan PAS.

10. Saya tidak dapat terima cadangan ini kerana Najib dan UMNO yang telah merosakkan negara akan kembali jadi sebahagian daripada Kerajaan. Ini mengkhianati rakyat yang mengundi kita.

11. Saya telah minta Bersatu tangguhkan perancangan ini tetapi Tan Sri Muhyiddin sudah rapatkan hubungan Bersatu dengan UMNO dan PAS di Sheraton Hotel untuk meraya gabungan antara mereka.

12. Sesungguhnya cara Ahli YB Pagoh menjadi Perdana Menteri amatlah memalukan. Ia tidak pernah berlaku sehingga kini di Malaysia. Beliau sendiri mengaku bahawa Kerajaan Perikatan Nasional ini bukanlah Kerajaan pilihan rakyat.

13. Saya sedia terima ahli UMNO yang sudah keluar dari UMNO untuk menjadi ahli Bersatu dengan syarat. Tetapi kata Zahid Hamidi, UMNO hanya akan sertai gabungan en-bloc sebagai parti dan bukan sebagai ahli.

14. Saya bertanya kepada YAB Tan Sri samada dia sanggup bekerjasama dengan parti UMNO yang kita musuhi dahulu kerana mencuri dan menipu dan mengamal rasuah? Kata Tan Sri dianya sanggup.

15. Saya nyatakan saya tidak sanggup. Jika Tan Sri sanggup, itu pilihan Tan Sri. Dengan itu pecah berkecailah Bersatu.

16. Saya sedih kerana rakan seperjuangan sanggup pilih musuh, iaitu Najib, dan menolak saya, rakan dalam parti yang kita tubuh bersama.

17. Cara Tan Sri kejar jawatan Perdana Menteri ialah dengan menipu rakyat dengan janji memperjuang cita-cita mereka.

18. Apabila Tan Sri jadi Perdana Menteri maka kuasa disalah guna untuk mendapat sokongan dengan menawar jawatan-jawatan yang bergaji tinggi kepada sesiapa yang ikrar menyokong Tan Sri. Jika jawatan sudah tidak ada lagi, maka dicipta jawatan baru bertaraf Menteri kepada penyokong.

19. Mereka yang tidak sanggup sokong, dilucut keahlian dan jawatan sehingga diperingkat ketua cawangan pun.

20. Perbuatan ini melanggar undang-undang tubuh parti kerana selain dari tidak sokong Tan Sri mereka tidak langgar apa-apa peraturan parti.

21. Ugutan dibuat kepada sesiapa yang membantah.

22. Kerajaan Pakatan Harapan telah berusaha membersihkan pengurusan syarikat-syarikat Kerajaan dari diisi dengan ahli politik yang tidak berpengalaman. Pengganti yang dipilih terdiri dari tokoh profesional yang berpengalaman yang bukan ahli politik dan bukan dari Pakatan Harapan.

23. Tan Sri telah buang orang profesional ini dan lantik orang politik yang menyokongnya. Maka situasi yang terdapat di zaman Najib pun kembali semula.

24. Jika sogokan tidak diterima maka tekanan boleh dilakukan dengan dipanggil untuk disoal siasat oleh jabatan Kerajaan.

25. Sesungguhnya orang dari parti bukan Kerajaan ditekan dengan pelbagai cara supaya jika diadakan PRU mereka ini akan takut dan terhalang dari bertanding.

26. Cara demokrasi bukanlah cara disukai oleh Kerajaan pimpinan YAB Pagoh. Ternampak jelas yang YAB cuba menentukan supaya tiada siapa akan lawan beliau dalam PRU.

27. Tetapi Tan Sri Ahli YB Pagoh sekarang cuba menghalang bekas ahli Bersatu dari dicalon dengan melucut jawatan dan keahlian mereka dalam parti. Untuk bertanding ahli Bersatu perlu dapat watikah dari parti. Sudah tentu watikah tidak akan diberi. Ahli Bersatu yang menubuh Bersatu sekarang tidak berhak bertanding sebagai ahli Bersatu.

28. Sesungguhnya pelantikan Tan Sri sebagai Perdana Menteri tanpa PRU mencabul sistem dan aturan peraturan dalam Perlembagaan Negara. Cara ini akan menghilangkan kepercayaan rakyat bahawa melalui PRU rakyat dapat bentuk Kerajaan pilihan mereka. Yang jelas ialah suara rakyat tidak mempunyai nilai di Malaysia lagi. Kerana melalui pintu belakang parti yang ditolak oleh rakyat boleh jadi Kerajaan. Rakyat tertipu dengan cara ini.

29. Apa gunanya PRU jika yang ditolak oleh rakyat boleh mendiri Kerajaan, dan yang dipilih oleh mereka dijatuhkan dengan penipuan.

30. Inilah sebab utama yang saya kemukakan usul tidak percaya kepada YAB Tan Sri dari Pagoh sebagai Perdana Menteri. Rebutan jawatan oleh beliau merampas hak rakyat.

31. Seperti yang Tan Sri sendiri mengaku Kerajaan Tan Sri bukanlah Kerajaan pilihan rakyat. Ia adalah hasil dari penipuan terhadap rakyat yang bersusah payah datang dari jauh dan dekat untuk mengundi.

32. Kita tidak perlu undang-undang untuk menghalang penipuan seperti ini.

33. Kita harap orang politik di Malaysia mempunyai moral yang tinggi dan menolak rasuah dan penipuan.

34. Jika tidak, maka akan hancurlah negara kerana akan diperintah oleh penyangak dan penyamun.

Tuan Yang di-Pertua,

35. Saya mohon mencadang Kerajaan Perikatan Nasional ini menyerah balik kuasa kepada yang hak.



Monday, September 7, 2020

LTTE

blogtunm.blogspot.com Tun M 
1. Saya tidak tahu apa tujuan surat bertarikh 12 Februari 2020 yang saya tulis kepada Menteri Dalam Negeri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan saya masih Perdana Menteri Malaysia, dikeluarkan untuk tatapan umum melainkan untuk memperlihatkan seolah-olah saya penyokong LTTE.

2. Saya mencadang supaya Tamil Tigers tidak lagi dilabel sebagai terrorists kerana Kerajaan Sri Lanka sendiri, di mana pertembungan mereka dengan Tamil Tigers berlaku, tidak lagi melabel kumpulan dan pengikutnya sebagai terrorists.

3. Jika label terrorists diguna terhadap Tamil Tigers, maka mereka tidak boleh ikat jamin sementara menunggu perbicaraan.

4. Langkah ini konsisten dengan pendirian kita sebelum pilihanraya 2018 bahawa kita menentang penggunaan beberapa peruntukan undang-undang yang telah disalah guna oleh Kerajaan Barisan Nasional untuk menahan mereka yang menentang pencurian yang mereka lakukan menerusi 1MDB dan juga salah guna kuasa. Dan mereka yang menentang ini telah ditahan tanpa dibicarakan dan tidak dibenar ikat jamin. Ini satu travesty of justice ataupun satu ketidakadilan yang melampau.

5. Kerana itu saya membuat cadangan di atas kepada Tan Sri Muhyiddin ketika itu.

6. Berkaitan dengan Hamas, saya gunakannya sebagai contoh di mana kita tahu masyarakat dunia memang melabel Hamas sebagai kumpulan terrorist. Tetapi kita tidak pernah bersetuju dengan dakwaan ini. Semua tahu bagaimana kita telah beri bantuan kepada Hamas di Gaza. Kita juga telah terima lawatan pemimpin tertinggi Hamas, Ismail Haniyeh pada 22 Januari 2020. Saya sendiri telah mengadakan perbincangan dengan pemimpin Hamas ini.

7. Berkenaan dengan penyokong LTTE, saya dimaklumkan oleh Peguam Negara bahawa tidak ada bukti kukuh untuk mendakwa mereka di bawah undang-undang terrorist yang tidak boleh diikat jamin semasa menunggu perbicaraan. Saya memberi pendapat saya kepada Menteri yang bertanggung jawab berkenaan perkara ini. Pendapat saya bukan suatu arahan.

8. Bagi saya, jika Kerajaan dan Peguam Negara pada hari ini merasa terdapat bukti yang kukuh untuk mendakwa mereka, seharusnya mereka memulakan proses perundangan yang sewajarnya.

9. Saya berharap tidak berlaku kezaliman apabila menegakkan keadilan dan melaksanakan undang-undang.

Sekian, terima kasih.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tun Dr Mahathir Mohamad speech at United Nations General Assembly


Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 73rd session of the United Nations General Assembly 2018
Turkey President Tayyip Edrogan speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019
Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019