Wednesday, June 25, 2008

PERPADUAN

blogtunm.blogspot.com Tun M 
1. Ramai orang Melayu yang kesal kerana di waktu yang genting ini, di waktu mana berbagai-bagai masalah melanda orang Melayu di negara tercinta ini, mereka berpecah dan bersengketa sesama sendiri.

2. Umum tahu perpecahan melemahkan, sebaliknya perpaduan memberi kekuatan. Berhadapan dengan aneka jenis masalah dan tekanan, orang Melayu amat perlu kepada perpaduan sekarang.

3. Pada tahun 1946, di waktu orang Melayu diancam kehilangan tanahair mereka, orang Melayu bersatu padu dan menentang British. Walaupun mereka lemah, miskin, tidak bersenjata, tetapi demikianlah kekuatan hasil perpaduan mereka sehingga British terpaksa tunduk kepada tuntutan mereka dan Malayan Union digugurkan.

4. Walaupun sebahagian daripada orang Melayu kemudian berpisah daripada UMNO untuk menubuh parti PAS tetapi majoriti orang Melayu terus bersatu padu dalam UMNO.

5. Tiga kali lagi parti serpihan UMNO ditubuh dan mencabar UMNO, tetapi perpaduan majoriti orang Melayu dalam UMNO dapat dikekalkan.

6. Tetapi Pilihanraya Umum 2008 menunjuk bahawa perpaduan dalam UMNO sudah luntur. Ramai ahli telah sokong parti lawan atau mengecualikan diri dengan tidak mengundi atau merosakan undi mereka.

7. Seruan kepada perpaduan sahaja tidak akan mengembalikan mereka ini. Sebabnya ialah perpaduan dengan sendirinya tidak akan membawa kebahagiaan. Perpaduan hanya akan membawa nikmat jika perjuangan yang diusahakan mempunyai matlamat yang dicita-citakan. Perpaduan kerana perpaduan tetapi perjuangan diselewengkan tidak bermakna dan tidak membawa rahmat dan nikmat.

8. UMNO hari ini tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan tanahair. Ia berjuang untuk pengekalan kuasa dan kesejahteraan Presidennya. Perpaduan yang dituntut hanya untuk menyokong Presiden.

9. Ini baik jika Presiden dapat membawa parti dan negara kearah kejayaan dan kebaikan. Tetapi apa yang dilihat ialah keburukan dan kehinaan bagi parti dan negara.

10. Dibawah kepimpinan Presiden ini UMNO dan Barisan Nasional telah kalah teruk dalam Pilihanraya Umum 2008.

11. Perpaduan dalam UMNO sudah berkecai.

12. Parti-pati komponen Barisan Nasional juga kalah dengan teruk di Semenanjung.

13. UMNO tidak lagi dihormati di dalam atau di luar negeri.

14. Generasi muda Melayu sudah anggap UMNO tidak relevan.

15. Negara Malaysia tidak lagi dianggap sebagai negara contoh oleh negara-negara membangun lain.

16. Wilayah milik negara telah terlepas ketangan negara kecil di selatan.

17. Singapura dilayan seolah-olah ia adalah kuasa besar sehingga pembangunan dalam wilayah Malaysia perlu mendapat kebenaran Singapura, sehingga keputusan Perdana Menteri untuk tidak bangunkan jambatan mengganti tambak Johor terpaksa dilapor dan dimaklum kepada bekas Perdana Menteri Singapura oleh Menteri Luar Malaysia.

18. Ekonomi negara kucar-kacir sehingga pelabur Malaysia pun tidak ingin melabur di Malaysia. 

19. Harga minyak dan semua barang meningkat tanpa kawalan dan bermacam-macam lagi. 

20. Haruskah orang Melayu bersepadu untuk menyokong semua ini? 

21. Perpaduan adalah untuk kebaikan, bukan untuk kemudaratan. 

22. Jika kita harus ada perpaduan, ianya hendaklah dengan tujuan memulih semula maruah dan kejayaan bangsa dan negara. 

23. Tidak ada sebab yang kepimpinan yang ada sekarang harus diperkuatkan dengan perpaduan di belakangnya. 

24. Sebaliknya perpaduan yang perlu diadakan ialah untuk menyingkir pemimpin yang telah bawa kecelakaan kepada parti dan negara. 

25. Janganlah desak supaya diadakan perpaduan tanpa mengambil kira hasrat dan matlamat ia diadakan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tun Dr Mahathir Mohamad speech at United Nations General Assembly


Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 73rd session of the United Nations General Assembly 2018
Turkey President Tayyip Edrogan speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019
Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019