Thursday, June 12, 2008

MASA DEPAN UMNO

blogtunm.blogspot.com Tun M 
1. Pada Pilihanraya Umum 2008 sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam Pilihanraya Umum sebelumnya telah berlaku. Sebilangan yang tidak kecil daripada ahli dan penyokong biasa UMNO telah undi parti lawan atau merosakkan undi atau tidak mengundi.

2. Hasilnya Barisan Nasional telah kalah di lima buah negeri dan satu wilayah. Di lain-lain negeri di Semenanjung kemenangan Barisan Nasional adalah tipis. Walaupun Barisan Nasional menang di peringkat pusat tetapi gagal mendapat dua pertiga daripada kerusi Dewan Rakyat seperti yang biasa dimenangi sejak merdeka oleh Perikatan dan Barisan Nasional.

3. Umum akui bahawa ada mesej yang hendak dihantar kepada Barisan Nasional dan pemimpinnya oleh pengundi. Tetapi hingga sekarang ternampak jelas bahawa pemimpin Barisan Nasional terutama Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, tidak dapat memahami mesej yang dihantar atau tidak tahu mentafsir mesej berkenaan. 

4. Ini sudah tentu mengecewakan mereka daripada ahli UMNO terutamanya yang dengan hati yang sedih dan tangan yang menggeletar mengundi parti lawan. Tetapi kekecewaan ini tidak terhad kepada mereka sahaja. Kekalahan UMNO yang teruk telah mempengaruhi ramai orang Melayu yang lain. Dan sikap baru di kalangan orang Melayu ini akan menghakiskan lagi sokongan kepada UMNO.

5. Hari ini orang Melayu terbahagi kepada empat kelompok.

6. Yang pertama ialah mereka yang akan bersama UMNO walau apapun yang terjadi kepada UMNO atau negara. Golongan ini adalah yang terbesar dalam UMNO dan sokongan mereka menyakinkan pimpinan UMNO bahawa mereka selamat dan UMNO selamat.

7. Kumpulan kedua ialah mereka yang pada Pilihanraya Umum ke 12 telah undi parti lawan atau merosakkan undi atau tidak mengundi.

8. Kumpulan ini terkejut dengan hasil tindakan mereka. Mungkin ada yang menyesal. Tetapi lebih ramai daripada mereka yang kecewa dan semakin marah kerana "pengorbanan" mereka tidak mendatangkan hasil yang di harapkan.

9. Kumpulan ini akan berusaha menyampaikan mesej yang lebih keras. Jika tidak juga di hirau mesej mereka, sikap mereka akan diperlihatkan pada Pilihanraya Umum ke 13 dengan mengundi parti lawan terus.

10. Kumpulan ketiga ialah mereka yang telah undi parti UMNO tetapi kecewa dengan sikap pemimpin yang tidak mahu bertanggungjawab terhadap kekalahan parti, yang menafi parti kalah, yang menyalahkan orang lain, yang tidak mahu mendengar pendapat ahli, tidak membenar ahli mengkritik, tidak benar ahli dengar pendapat orang lain, yang tidak mahu membenar pindaan kepada kuota, yang larang EGM (Extraordinary General Meeting), yang sering berkata ekonomi kukuh dan baik sedangkan rakyat menderita, yang kata inflasi hanya 5% sedangkan harga minyak naik 40%, harga ayam 100%, harga beras sekali ganda dan lain-lain lagi, yang semuanya jauh lebih mahal dari 5%. Mereka bosan dengan kenyataan-kenyataan pemimpin yang mendakwa benda yang tidak benar berkali-kali.

11. Mereka ini sudah tidak lagi berminat untuk menyokong UMNO dalam pilihanraya.

12. Pemimpin UMNO tidak dapat mengenali mereka kerana mereka tidak memperdengarkan rintihan mereka dan mereka bukan ahli Jawatankuasa Cawangan atau Bahagian yang sering mencium tangan pemimpin, yang boleh di arah oleh pemimpin.

13. Seperti kumpulan yang telah undi parti lawan dalam Pilihanraya ke 12, mereka berdiam tetapi akan bertindak di Pilihanraya Umum ke 13 dengan tidak mengundi UMNO atau tidak mengundi langsung atau rosakkan undi.

14. Kumpulan keempat adalah golongan muda dan yang berpelajaran termasuk ahli professional. Kebanyakan mereka ini bukan ahli UMNO dan bosan dengan UMNO. Mereka berpendapat samada UMNO tidak relevan atau UMNO adalah kumpulan pengampu yang hanya ingin mendapat sesuatu bagi diri mereka, justeru itu tidak ikhlas walaupun semasa cium tangan.

15. Ramai mereka ini berpendapat UMNO adalah parti perkauman yang sudah tidak berguna lagi. Malaysia adalah hak semua rakyat berbilang kaum Malaysia. Justeru itu tidak mengapa jika mereka pilih parti pelbagai kaum walaupun ternampak jelas yang parti-parti ini sebenarnya diperalatkan oleh kaum tertentu.

16. Kumpulan (2), (3) dam (4) mungkin tidak sebesar kumpulan (1) jumlahnya tetapi mereka menjadi kumpulan penentu. Dalam pilihanraya kemenangan atau kekalahan di sebabkan oleh sebilangan yang kecil sahaja daripada pengundi. Jumlah pengundi mungkin besar tetapi perbezaan antara yang menang dengan yang kalah biasanya tidak sampai pun 5% daripada jumlah pengundi yang mengundi.

17. Jika jumlah kumpulan (2), (3) dan (4) hanya 5% daripada jumlah pengundi dan mereka tidak mengundi parti yang menang dahulu, parti itu akan kalah. Jika mereka memberi undi mereka kepada parti lawan, parti berkenaan tetap akan menang.

18. Dalam Pilihanraya Umum ke 12 kelebihan undi pada Barisan Nasional amat kecil peratusannya. Jika kumpulan (2), (3) dan (4) tarik keluar hanya sedikit sahaja daripada undi mereka jika mereka beri kepada parti lawan, Barisan Nasional tetap kalah.

19. Jika tidak ada usaha untuk menawan hati kumpulan (2), (3) dan (4) Barisan Nasional tetap akan kalah pada Pilihanraya Umum ke 13.

20. Pemimpin Barisan Nasional, terutama Pengerusi Barisan Nasonal, dan Presiden UMNO boleh berseronok sekarang dan bermegah-megah dengan apa yang dipercayai sebagai sokongan tidak berbelahbagi dan cium tangan ahli-ahli UMNO. Tetapi ingatlah ramalan untuk sapu bersih semua negeri dan memenangi 2/3 Parlimen Pilihanraya Umum ke 12 sebenarnya adalah khayalan, penipuan diri kerana asyik dengan sandiwara-sandiwara yang diadakan oleh mereka yang hanya ingin membodek pemimpin.

21. Ingatlah apabila UMNO tidak relevan lagi dan hancur berkecai, orang Melayu dahulu, sekarang dan yang akan datang akan kutuk mereka yang kerana kepentingan diri, kerana takut, kerana tamak telah menghancurkan UMNO yang mereka sayangi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tun Dr Mahathir Mohamad speech at United Nations General Assembly


Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 73rd session of the United Nations General Assembly 2018
Turkey President Tayyip Edrogan speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019
Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019