Tuesday, October 28, 2008

TINGKAT EMPAT NAJIB?

blogtunm.blogspot.com Tun M 
1. Satu inovasi yang diperkenalkan oleh Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi apabila sahaja dia menjadi Perdana Menteri ialah penubuhan satu badan penasihat khas yang dianggotai oleh menantu, anak dan kawan-kawan muda mereka. Kononnya mereka ini bijak dan pandai lebih daripada orang yang lebih tua dan berpengalaman. Pendapat mereka ini lebih dipercayai oleh Abdullah daripada Kabinet atau Majlis Tertinggi UMNO.

2. Lulusan Oxford dan Cambridge memang dianggap istimewa, tetapi yang lulus dari universiti-universiti ini bercambah dan ia tidak menjamin kebolehan yang luarbiasa. Lagi pun, orang-orang muda ini tidak punyai pengalaman mendalam dalam pentadbiran, politik dan ekonomi negara.

3. Yang lebih buruk ialah mereka mempunyai kepentingan tertentu dan berhajat untuk mendapat pulangan wang yang banyak daripada pengaruh mereka keatas Perdana Menteri dan Kerajaan.

4. Hasilnya ialah prestasi pemerintahan Abdullah merosot terutama dalam bidang politik dimana kekalahan yang teruk di alami oleh Barisan Nasional dalam pilihanraya umum ke-12. Akhirnya Abdullah dipaksa untuk berehat lebih awal.

5. Dengan perletakan jawatan Abdullah pada Mac 2009, timbalannya Dato Seri Najib akan mengambilalih dan menjadi Perdana Menteri. Apakah Najib akan bebas daripada jenis penasihat ala Tingkat Empat?

6. Saya diberitahu Najib juga mempunyai penasihat muda yang amat berpengaruh terhadapnya. Mereka ini mempunyai hubungan rapat dengan menantu Abdullah dan Tingkat Empat, bahkan mereka adalah daripada kumpulan yang sama.

7. Mempunyai penasihat bagi PM adalah baik. Tetapi apabila penasihat mempunyai syarikat sendiri dan dapat menggunakan pengaruh ke atas Perdana Menteri untuk meraih keuntungan daripada projek-projek Kerajaan atau dana-dana yang dimiliki oleh Kerajaan nasihat yang diberi mungkin terpengaruh dengan minat untuk memperkayakan diri.

8. Kita lihat peranan yang dimainkan oleh ECM-Libra. Apakah Ethos, yang juga terlibat dengan Tingkat Empat, akan menjadi seperti ECM-Libra? Ethos Capital, sebuah syarikat pelaburan jenis Equity Capital tidak banyak berbeza daripada hedge fund. Mereka amat berminat untuk dapat sebahagian dari tabung Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang sekarang berjumlah RM300 bilion untuk mereka mengurus pelaburannya, kononnya dengan pulangan 40 peratus. Najib mungkin ingat bagaimana Orange County di California menjadi bankrap kerana pelaburan dalam hedge fund.

9. Nasihat badan penasihat yang dianggotai oleh orang-orang muda yang amat disanjungi oleh Tun Musa Hitam telah bawa bencana kepada Abdullah. Najib harus berhati-hati supaya pisang tidak berbuah dua kali.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tun Dr Mahathir Mohamad speech at United Nations General Assembly


Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 73rd session of the United Nations General Assembly 2018
Turkey President Tayyip Edrogan speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019
Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019