Monday, August 10, 2009

HIROSHIMA

blogtunm.blogspot.com Tun M 
1. Pada 6hb Ogos saya mengambil bahagian dalam upacara memperingati mangsa bom atom di Hiroshima 64-tahun dahulu.

2. Mungkin tidak ramai tahu yang dua orang penuntut Melayu juga menjadi mangsa bom tersebut. Seorang lagi terselamat.

3. Seramai 60,000 orang di Hiroshima terbunuh dengan serta merta apabila letupan berlaku 600 meter dari paras bumi. Model bandar Hiroshima selepas letupan yang dipamer menunjuk semua bangunan ranap sama sekali pada kawasan tiga kilometer daripada tempat letupan berlaku.

4. Sebuah model bom berkenaan juga dipamer di muzium. Ianya lapan kaki panjang (2.5 meter) dan 1.5 kaki lebar (0.5 meter). Nampak bom ini amat kecil berbanding dengan kekuatannya menghancur satu bandar dengan 300,000 penduduk. Saya diberitahu bom Nagasaki lebih kuat lagi.

5. Hingga kini hampir 300,000 orang yang telah meninggal akibat letupan dan penyakit radiasi yang melanda mereka yang terselamat dan anak mereka, serta mereka yang membersihkan kawasan letupan.

6. Acara yang diadakan bukan sahaja untuk mengingati mangsa tetapi juga sebagai satu usaha dalam kempen menentang senjata nuklear.

7. Datuk Bandar Hiroshima, Dr Tadatoshi Akiba menegaskan bahawa sasaran bom nuklear ialah bandar-bandar. Memandangkan kerajaan negara-negara tidak berminat untuk menentang senjata nuklear secara rasmi dan bandar-bandar yang dijadikan tebusan, maka Dr Akiba berpendapat pentadbiran Bandar dan Datuk Bandar harus mengetuai kempen anti-nuklear.

8. Untuk menjayakan kempen ini Datuk Bandar Hiroshima telah berusaha untuk mendapat sokongan Datuk Bandar bandar-bandar lain di dunia. Sehingga kini lebih 3,000 Datuk Bandar seluruh dunia telah mendaftar sebagai penyokong gerakan ini. Mereka dikenali sebagai Datuk Bandar untuk keamanan (Mayors for Peace).

9. Di Malaysia kita sudah lancar kempen untuk menjadikan perang sebagai jenayah (Criminalise War). Kita menyarankan jika semua masyarakat manusia menganggap pembunuhan sebagai satu jenayah besar yang boleh dihukum dengan hukuman yang amat berat, kenapakah pembunuhan beramai-ramai dalam perang tidak dianggap sebagai jenayah dan mereka yang melancarkan perang tidak dianggap sebagai penjenayah dan dihukum dengan hukuman yang berat.

10. Ramai sudah pejuang-pejuang keamanan di Kanada, Amerika Syarikat, Britain, Eropah, India dan Jepun yang telah menyokong dan menyertai kempen kita.

11. Memandang bahawa kempen anti-nuklear juga bertujuan untuk menghapuskan perang nuklear, kita akan sokong gerakan Datuk Bandar untuk Keamanan.

12. Walaupun kita berasa terselamat tetapi ingatlah bahawa Negara tertentu masih anggap satu cara untuk menyelesaikan pertikaian antara Negara ialah dengan berperang iaitu dengan membunuh orang yang tidak berdosa dan menghancurkan Negara. Rakyat Iraq, Palestin, Afghanistan, Rwanda dan lain-lain sedang dibunuh dengan kejam dalam peperangan sekarang ini. Di Palestin dan Iraq bom dan peluru yag disalut dengan kimia nuclear (depleted uranium) telah diguna oleh Israel dan Amerika Syarikat.

13. Janganlah kita berpendirian kerana kita selamat sekarang, maka ada atau tidak ada perang bukan masalah kita. Sebagai manusia yang prihatin kita perlu bersimpati dengan mangsa perang dan kita harus berusaha untuk menghapuskan perang sebagai cara menyelesaikan masalah antara Negara. Kita perlu menjadikan perang sebagai jenayah. Untuk ini kita boleh bermula dengan menyokong kempen mengharamkan senjata nuklear. Sesungguhnya tumpuan sekarang ialah untuk memaksa kuasa-kuasa nuklear mengurang senjata nuklear yang ada pada mereka dan akhirnya memusnah semua senjata nuklear.

14. Dan seterusnya kempen untuk menjadikan perang sebagai jenayah perlu dijayakan.

15. Satu forum akan diadakan pada hujung tahun ini untuk mengembang lagi hujah bahawa perang adalah jenayah yang terbesar sekali dan mereka yang mencetuskan peperangan dan menyerang dengan senjata harus dianggap sebagai penjenayah dan dihukum oleh mahkamah dunia.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tun Dr Mahathir Mohamad speech at United Nations General Assembly


Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 73rd session of the United Nations General Assembly 2018
Turkey President Tayyip Edrogan speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019
Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019