blogtunm.blogspot.com Tun M
1. Saya sekarang berada di Albania, sebuah negara Islam yang dahulu menjadi sebahagian daripada Empayar Othmaniah. Setelah merdeka ia diserang dan dijajah oleh Itali. Pada penghujung perang dunia ke-2, Albania sekali lagi bebas tapi dikuasai oleh pemerintahan kuku besi puak kiri.
2. Pemerintah ini diketuai oleh seorang diktator, Enver Hoxha, yang menolak agama Islam sehingga sanggup mengharamkan Allah, Nauzubillah.
3. Rakyat tidak dibenar menganuti Islam atau apa-apa agama.
4. Akhirnya pemerintahan puak kiri ini jatuh dan diganti dengan pemerintahan pro-demokrasi pimpinan Sali Berisha.
5. Saya ke Albania buat kali pertama pada tahun 1993. Terdapat kemiskinan di mana-mana sahaja. Muka penduduk muram belaka. Tirana, ibu kota, tidak menunjukkan aktiviti ekonomi. Tidak ada kedai selain kedai kopi di tepi jalan. Tidak ada kenderaan. Bangunan-bangunan ternampak tua dan uzur. Ada beberapa masjid lama yang uzur dan sunyi sepi. Tidak ada sesiapa yang menunaikan solat Jumaat atau solat waktu di situ.
6. Kali ini saya sampai di Tirana pada hari Jumaat. Program saya termasuk solat Jumaat di masjid yang tertua, Masjid Ethem Beu, di tengah Bandar Tirana.
7. Alangkah terkejutnya saya apabila saya sampai ke masjid dan melihat jemaah melimpah sehingga ke tepi jalan besar jauh dari masjid. Saya amat gembira kerana Islam sudah kembali ke Negara ini. Alhamdulillah.
8. Kemudian saya berjumpa beberapa penuntut Albania yang telah menuntut di Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia. Kita bermesra dan mereka nyatakan perasaan hutang budi mereka kepada Malaysia. Mungkin juga UIA memainkan sedikit peranan dalam memperkenalkan semula Islam di Albania, wallahu’alam. Kalau pun tidak, saya bersyukur dengan kembalinya Albania ke pangkuan Islam. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah subhanawata’ala.