blogtunm.blogspot.com Tun M
1. Saya lega membaca penafian Dato’ Sri Najib, Perdana Menteri bahawa laporan Malaysia sudah hentikan bekalan “gasoline” kepada Iran kerana projek nuklearnya.
2. Iran bukan musuh Malaysia dan Iran tidak pernah soal dasar dan kegiatan dalaman kita. Justeru itu tidak ada sebab kenapa kita harus soal dasar dalaman Iran.
3. Benar atau tidak Iran sedang mencipta senjata nuklear seperti yang dituduh oleh Amerika Syarikat bukan masalah kita. Ia adalah masalah Amerika Syarikat, sebuah kuasa militari yang terbesar di dunia, yang mempunyai lebih daripada 10,000 senjata nuklear, yang kononnya begitu takut kalau Iran memiliki dua biji bom nuklear di masa hadapan tetapi rela Israel memiliki sekarang lebih daripada 200 senjata nuklear.
4. Benarkah Amerika takut dunia akan menghadapi perang nuklear yang akan di lancar oleh Iran dengan dua biji bomb nuklearnya. Gilakah Iran sehingga sanggup melancar perang nuklear dengan dua biji bomb nuklear dengan tidak menghiraukan kemungkinan Iran dihujani bom dan roket nuklear oleh Amerika Syarikat, Israel dan kuasa besar yang lain.
5. Sebenarnya kempen terhadap program nuklear Iran oleh Amerika Syarikat bertujuan menindas Iran sahaja. Kita tidak harus menyertai kempen ini kerana ia akan merosakkan kepentingan kita. Dagangan kita yang termasuk jualan kereta, konsesi minyak, bekalan minyak, projek perumahan dan lain-lain menguntungkan kita. Kalau kita bermusuh dengan Iran semua ini akan hilang. Amerika Syarikat tidak akan ganti kerugian kita. Lagi pun imej kita dalam dunia, terutama dunia Islam akan tercemar.
6. Sesungguhnya saya amat gembira apabila membaca dalam The Star bahawa laporan Dato Sri Najib menghentikan bekalan gasoline kepada Iran adalah tidak benar. Alhamdulillah.