Monday, October 27, 2014

1MDB

1Malaysia Development Berhad

1. Kebebasan adalah suatu petanda kedewasaan sesebuah negara. Kita dewasa. Dan kita beri banyak kebebasan termasuk kebebasan bersuratkhabar. Malangnya kadang-kadang kebebasan disalahguna. Ada akhbar di Malaysia yang sering menyalahgunakan kebebasan mereka.

2. Kita tidak lagi boleh masukkan sesiapa dalam tahanan ISA. Oleh itu apabila sesuatu disalahguna, maka penjelasan perlu dibuat. Jika tidak kebebasan akan membawa mudarat terutama apabila yang ditegur ialah Kerajaan.

3. Saya jarang membaca akhbar The Edge. Tetapi baru-baru ini saya terbaca rencana yang bertajuk “Tabiat 1MDB membayar lebih untuk memperolehi (hutang) duit.”

4. 1MDB ialah satu dana yang ditubuh oleh Kerajaan sebagai dana kekayaan negara (sovereign wealth fund) untuk dilabur supaya negara akan dapat hasil dari kekayaannya bagi masa depan.

5. Biasanya dana seperti ini ditubuh oleh negara pengeluar minyak yang banyak yang tidak dapat habiskan pendapatan setelah mentadbir dan membangun negara.

6. Malaysia bukanlah negara pengeluar minyak yang besar. Hampir semua 650 ribu tong yang dikeluar tiap hari diguna dalam negeri. Dan Malaysia pula mengalami defisit dalam belanjawannya. Tidak ada lebihan wang untuk dana kekayaan negara.

7. Oleh itu Kerajaan terpaksa hutang untuk dana kekayaan ini.

8. The Edge dalam rencananya menyebut bahawa kos pinjaman berbilion Ringgit luar biasa tingginya.

9. Pada 1 September 2009 1 Malaysia Development Bhd (1MDB) menggegarkan industri perbankan apabila bersetuju membayar faedah 5.75% keatas hutang RM 5 billion. Hutang ini dijamin oleh Kerajaan Malaysia. Biasanya bon Kerajaan membayar hanya 4.0%. Petronas membayar 3.6% sahaja.

10. Pada tahun 2014 1MDB berhutang lagi sebanyak US Dolar 1.75 billion (RM 5.6 billion) dengan faedah sebanyak 5.99%.

11. Tetapi 1MDB cuma dapat US1.554 billion (RM4.973 billion) kerana sebanyak US196 million (RM 630 million) ditolak untuk komisyen, bayaran fees dan perbelanjaan. Ini bermakna kos pinjaman berjumlah 11.25% dari wang yang dipinjam.

12. Pada Mac 2013, 1MDB Global Investment Ltd telah pinjam USD3.0 billion (RM 9.6 billion) dengan faedah 4.4%. Tetapi 1MDB mendapat hanya USD2.717 billion (RM8.7 billion) kerana USD283 million (RM 906 million) atau 9.44% dipotong untuk membayar komisyen, fees dan perbelanjaan.

13. Bayaran sebanyak 11.25% dan 9.44% adalah kepada Goldman Sachs, pengurus pinjaman hutang ini.

14. Sebaliknya sebuah Syarikat Equisar International Incorporated, milik Kerajaan Sarawak membayar Goldman Sachs hanya 1.25% (USD10 million) apabila mengurus pinjaman USD800 million.

15. Jurucakap Kerajaan menjelaskan bahawa 1MDB memiliki harta bernilai lebih dari RM40 billion sedangkan hutangnya hanya RM38 billion. Oleh itu rakyat tidak perlu bimbang. Tetapi kenapa bayaran kepada Goldman Sachs begitu tinggi?

16. Sebahagian wang yang dipinjam ini diguna untuk membeli stesyen janakuasa swasta. Ini dilapur dalam akhbar. Tetapi harga belian jauh lebih tinggi dari harga pasaran. Kenapa demikian?

17. Seorang jurucakap Kerajaan menjelaskan bahawa wang 1MDB diguna untuk Bumiputra. Yang saya tahu satu biasiswa diberi kepada seorang pelajar muzik. Tidak mungkin biasiswa ini bernilai 38 billion Ringgit. Kerajaan sepatutnya memberi maklumat yang jelas kepada rakyat, terutama Bumiputra akan bantuan yang boleh didapati dari 1MDB

18. Mungkin seluruh rencana dalam The Edge adalah fitnah untuk memburuk Kerajaan dan Perdana Menteri. Tetapi jika tidak ada audit oleh pihak bebas dan penjelasan yang munasabah, saya khuatir orang ramai akan percaya cerita dongeng The Edge.

Wallahua’lam.

Friday, October 17, 2014

KERETAPI TANAH MELAYU

1. Saya terbaca dalam akhbar bahawa KTM akan membangun landasan untuk mengurangkan kerugian sebanyak RM2.5billion. Kerugian tiap tahun adalah sebanyak RM185 juta. KTM merancang menaikkan tambang untuk mengurang kerugian. Walaubagaimanapun Dato Ahmad Maslan dalam Parlimen berkata KTM akan untung RM31 juta tahun depan. Alhamdullilah.

2. Tiap hari ramai datang berjumpa saya kerana kononnya saya boleh nasihat Kerajaan berkenaan masalah yang dihadapi oleh mereka. Sebenarnya saya bukan penasihat Kerajaan. Tetapi kadang-kadang saya tegur Kerajaan. Samada diterima atau tidak, wallahua’lam.

3. Memandang bahawa KTM sedang merancang untuk mengurang kerugiannya, teringat saya akan cadangan yang boleh memberi sedikit keuntungan kepada KTM.

4. Cadangannya ialah kebenaran untuk mengguna landasan milik KTM bagi keretapi membawa barangan dan kontena antara Bangkok dengan pelabuhan-pelabuhan Malaysia. Sekarang bisnes ini dibuat dengan kapal dari Bangkok ke Singapura.

5. Tahun depan landasan berkembar letrik dari Padang Besar ke pelabuhan Penang dan Kelang akan siap.

6. Penghantaran barangan antara Bangkok dan pelabuhan Malaysia boleh menambah pendapatan KTM sebanyak RM663,000,000-00 dalam masa 2013-2030.

7. Hari ini KTM sedang menyewa landasan dan kepala keretapi kepada YTL untuk Oriental Express dari Singapura (JB) ke Bangkok. Cadangan penggunaan landasan secara sewa bukanlah perkara baru.

8. Saya diberitahu Kerajaan Thai tidak ada halangan terhadap projek ini.

9. Saya harap Kerajaan dan KTM dapat menyetujui dengan projek ini. Juga diharap tidak ada siapa lain yang ‘hijack’ projek ini.

Thursday, October 9, 2014

KEJATUHAN AL-ANDALUS

1. Pada abad kedua hijrah pasukan Islam dari utara Afrika berjaya menyeberangi terusan yang kini dipanggil Straits of Gibraltar dan menakluk Semenanjung Sepanyol (Iberia). Dibawah pimpinan Tariq, pasukan Islam dapat mengalahkan pasukan Sepanyol dan Portugis.

2. Selama 800 tahun Islam berkuasa di Semenanjung yang dikenali sebagai Al-Andalus oleh Arab.

3. Tetapi orang Islam di Al-Andalus berpecah selepas pemerintahan Abdul Rahman Ke-3. Ketua-ketua Wilayah bersikap bebas dan Al-Andalus berpecah kepada beberapa negeri kecil. Negeri-negari ini sering bermusuh sesama mereka dan berperang.

4. Dalam peperangan antara negeri-negeri Islam ini, ada yang meminta pertolongan orang Kristian Sepanyol yang memiliki tentera yang kuat. Pihak yang bersubahat dengan Sepanyol dapat menewaskan musuh Islam mereka. Tetapi pihak Sepanyol merebut pemerintahan wilayah yang ditawan. Negeri Islam yang mendapat pertolongan Sepanyol tidak dapat membuat apa-apa kerana mereka lemah.

5. Dengan cara membantu pemerintah-pemerintah wilayah Islam yang bermusuh sesama mereka, akhirnya Sepanyol dapat merampas balik seluruh Semenanjung.

6. Yang terakhir ialah Wilayah Granada. King Ferdinand dan Queen Isabella berjaya mengalahkan dan menakluk Granada. Dengan ini tamatlah sejarah Semenanjung Iberia sebagai Negara Islam.

7. Orang Islam dan Yahudi di Granada diberi tiga pilihan. Mereka boleh kembali ke Afrika Utara, atau memeluk agama Kristian Katholik atau mereka dibunuh.

8. Inilah hasil “tahaluf siyasi” orang Islam dengan orang yang lebih kuat dari mereka.

9. Apakah ada pelajaran yang boleh didapati dari sejarah Islam di Semenanjung Sepanyol.

Wednesday, October 8, 2014

TAHALUF SIYASI

1. Dalam usaha PAS untuk mengurangkan sokongan orang Melayu kepada UMNO, PAS mendakwa bahawa orang UMNO menjadi kafir kerana bekerjasama dengan orang bukan Islam, khususnya orang Cina yang beragama Buddha atau Taoist dan orang India yang beragama Hindu

2. PAS mendakwa bahawa orang Islam tidak dibenar oleh agama Islam bekerjasama dengan orang bukan Islam. Mereka akan menjadi kafir jika berbuat demikian. Oleh itu, orang Melayu dalam UMNO dan penyokong mereka sudah menjadi kafir.

3. Tuduhan ini dibuat dengan begitu serius sehingga orang PAS benar- benar percaya orang UMNO kafir. Susulan daripada itu, orang PAS tidak lagi sembahyang berjemaah dengan orang UMNO. Mereka sembahyang berasingan dibelakang imam mereka sendiri.

4. Mereka tidak membenar anak mereka berkahwin dengan anak orang UMNO. Ada yang dikahwin sekali lagi kononnya untuk menghalalkan perkahwinan mereka sebelum menyertai PAS.

5. Kubur orang PAS juga diasingkan dari kubur orang UMNO. Ada juga perpecahan dalam keluarga kerana anak mengkafir ayah dan ibu kerana menyokong UMNO.

6. Sesungguhnya dakwaan bahawa orang UMNO kafir dipercayai tanpa diragu oleh orang PAS.

7. Dalam pilihanraya sehingga 1986, PAS meletak calon-calonnya melawan bukan sahaja BN tetapi juga parti-parti bukan Islam yang lain. Kerana tidak disokong selain dari ahli PAS dan Melayu yang terima hujah PAS, kemenangan PAS amat tipis. Jelas sekali selain dari Kelantan dan Terengganu tidak mungkin PAS menang dan mendiri Kerajaan dinegeri lain. Sudah tentu PAS tidak mungkin mendiri Kerajaan di peringkat Pusat.

8. Walaupun Tengku Razaleigh dengan Semangat 46-nya berjaya memujuk PAS bekerjasama dengan partinya dan DAP tetapi kemenangan bagi PAS tidak banyak meningkat.

9. Tetapi Anwar Ibrahim lebih berjaya mempengaruhi PAS supaya bekerjasama bukan sahaja dengan PKR tetapi juga dengan DAP, parti bukan Islam yang terbesar yang menolak agenda Islam, PAS.

10. PAS terpaksa akui bahawa tanpa sokongan orang bukan Islam, tak mungkin PAS berkuasa di peringkat pusat. PAS berada dalam keadaan serba salah. Mereka sudah kafirkan UMNO kerana bekerjasama dengan orang kafir. Tetapi hakikatnya PAS perlu bekerjasama dengan orang kafir jika PAS ingin jayakan hasrat untuk berkuasa di peringkat Pusat dan melaksanakan hukum hudud PAS dalam negara Islam kononnya.

11. Sementara rakan UMNO yang bukan Islam tidak pernah menentang UMNO dan Islam, bahkan mereka tidak menolak dakwaan UMNO bahawa Malaysia adalah Negara Islam, tetapi DAP yang PAS berhasrat bekerjasama secara terang-terangan menolak Negara Islam dan hudud PAS yang kononya diperjuang oleh PAS. Pemimpin DAP begitu keras menolak Negara Islam PAS sehingga menyatakan langkah mayat mereka sebelum Malaysia dijadikan Negara Islam. Tentangan DAP terhadap Islam dan Negara Islam menjadi sebahagian daripada perjuangan mereka. Sesungguh mereka tidak bersetuju dan anggap PAS sebagai musuh terutama berkenaan cadangan memperkenalkan hukum hudud.

12. Namun PAS tidak dapat menolak hakikat bahawa tanpa kerjasama dan sokongan orang bukan Islam, iaitu DAP, PAS tak mungkin berkuasa di peringkat pusat.

13. Akhirnya PAS lupakan sahaja dakwaan mereka bahawa bekerjasama dengan orang kafir menjadikan orang Islam kafir. Untuk meyakinkan ahli dan penyokong PAS bahawa PAS boleh kerjasama dengan orang kafir tanpa menjadi kafir PAS perkenalkan perkataan Arab “tahaluf siyasi” bagi kerjasama PAS dengan orang kafir.

14. Orang Melayu anggap bahasa Arab adalah bahasa agama dan apa sahaja yang disebut dalam bahasa Arab tentulah dari agama Islam. Dan perkataan Arab lebih mudah diterima.

15. Dengan itu kerjasama PAS dengan orang kafir DAP diperkenal dengan perkataan ‘tahaluf siyasi’ yang maksudnya sama dengan kerjasama. Selesai masalah. Bahawa ‘tahaluf siyasi’ atau kerjasama ini tidak berbeza sedikit pun dengan kerjasama UMNO dengan MCA dan MIC tidak disebut dan tidak dijelaskan. Bahawa DAP secara terang-terangan menolak Negara Islam dan hudud PAS, tidak seperti MCA dan MIC tidak menentang perjuangan Islam UMNO juga tidak disebut. Kerana kerjasama ini disebut sebagai ‘tahaluf siyasi’ dalam bahasa Arab maka kerjasama ini tidak menjadikan PAS kafir. Jangan sebut kerjasama, sebut ‘tahaluf siyasi’ sahaja dan kerjasama dengan kafir menjadi halal.

16. Maka berpeluk-peluklah pemimpin PAS dengan pemimpin kafir. Dan di masa yang sama permusuhan dengan orang UMNO diteruskan kerana kerjasama UMNO dengan orang bukan Islam yang tidak bermusuh dengan Islam tidak diberi nama Arab iaitu Tahaluf Siyasi.

17. PAS amat pintar dengan penggunaan Islam dan Bahasa Arab untuk menghalalkan yang haram apabila dilakukan oleh mereka dan mengharamkan perbuatan yang sama apabila dilakukan oleh UMNO. Saya tidak dapat mengenalpasti dari mana datangnya ‘tahaluf siyasi’ ini dan bila orang Islam dihalalkan apabila melakukannya.

18. Tetapi PAS masih tidak berjaya menjadi kerajaan di peringkat pusat. Dalam PRU 13 yang dapat kerusi terbanyak dalam Pakatan ialah DAP dengan 38 kerusi, PKR 30 kerusi dan PAS hanya 21 kerusi. Sementara Pulau Pinang kekal ditangan DAP dan Selangor ditangan PKR, PAS hilang negeri Kedah.

19. Sesungguhnya PAS telah ditipu oleh DAP.

20. Saya yakin ahli PAS tidak akan baca blog ini. Mereka taksub dengan pemimpin mereka, sehingga apabila pemimpin mereka menghina Allah SWT dengan mendakwa Allah mencarut pun, kesetiaan mereka kepada PAS tidak terjejas. Sesungguhnya parti PAS adalah parti assabiah.

Tuesday, October 7, 2014

KERAJAAN TERIMA DENGAN TERBUKATEGURAN TUN M

1. Saya gembira kerana Kerajaan terima dengan terbuka teguran saya.

2. Saya teringat akan perjanjian Raja-Raja Melayu dengan British. Disebut dalam perjanjian itu British akan menugas seorang pegawai mereka sebagai Penasihat (Adviser) dalam bahasa mereka, kepada Kerajaan negeri.

3. Tetapi dalam perjanjian itu disebut juga bahawa apabila Penasihat British memberi nasihat, Raja dan Kerajaan mesti terima. Penerimaan ini mengikut fahaman British bermakna mengikuti dan melaksana nasihat yang diberi.

4. Apabila nasihat mesti diterima dan dilaksana, ia bukan lagi nasihat. Ia sudah menjadi arahan atau “command” dalam bahasa Mat Salleh.

5. Demikian apabila British Resident (nama lain bagi adviser yang bermakna “penduduk”) mendapati seorang Raja Muda tidak sesuai untuk naik takhta apabila Raja mangkat, nasihat diberi supaya dianya tidak diberi hak untuk mengganti Raja. Dan Raja pun terpaksa terima kerana nasihat Resident mesti diterima dan dikuatkuasakan.

6. Raja-Raja Melayu biasanya mempunyai Majlis Penasihat. Tetapi Raja tidak perlu menerima nasihat mereka, jauh sekali daripada melaksana nasihat yang diberi.

7. Teguran saya bukanlah nasihat. Nak terima atau tidak adalah hak orang yang ditegur. Nak laksana atau tidak juga hak pihak yang ditegur.

8. Mungkin teguran tidak berasas. Tetapi berasas atau tidak boleh diketahui apabila diuji.

9. Dalam negara demokrasi ujian yang terbaik ialah apabila pilihanraya diadakan. Jikalau teguran tidak berasas, dan dasar serta pendekatan yang ditegur diteruskan juga, maka sudah tentu kemenangan yang besar akan diperolehi.

10. Sebaliknya jika prestasi dalam pilihanraya menjadi lebih buruk maka besar kemungkinan teguran yang dibuat berasas.

11. Perdana Menteri Kelima setelah menang besar dalam PRU 2004, kehilangan lima buah negeri, satu wilayah dan kemerosotan yang besar di Dewan Rakyat dalam PRU 12, 2008.

12. Sepatutnya pengganti memperoleh kemenangan yang lebih baik. Tetapi tidak. Pencapaian Perdana Menteri Ke-6 lebih buruk lagi dalam PRU13 setelah memberi wang Kerajaan kepada berjuta rakyat, membelakangkan Dasar Ekonomi Baru, melayan orang yang tidak hargai layanan, meningkatkan hutang Kerajaan, mendengar nasihat konsultan luar dan lain-lain lagi.

13. Dengan pencapaian yang buruk ini sepatutnya dikaji semula dasar dan amalan yang jelas tidak baik. Tetapi tidak. Pendekatan diteruskan. Teguran diterima tetapi tidak menukar apa-apa.

14. Penegur tidak ingin menjadi Penasihat British. Teguran bukan arahan. Tetapi mereka yang tidak mengambil iktibar dari pengalaman dahulu yang meneruskan juga pendekatan lama akan didera dengan pencapaian yang sama atau lebih buruk dimasa hadapan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pendaftaran Keahlian PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA

Deklarasi Rakyat - Citizens Declaration
Part 2/3 Majlis Bicara Negara Bersama Tun M di Hotel Tower Regency, Ipoh

Tun M diserbu rakyat tadi di Suria KLCC

Posted by Dr. Mahathir bin Mohamad on Sunday, March 13, 2016