Wednesday, April 15, 2015

HUDUD

1. Saya terkejut mendengar bahawa UMNO Kelantan menyokong hudud PAS. Saya harap mereka faham apa yang dilakukan oleh mereka.

2. Hudud PAS bukan hudud Islam sebab ia sangat tidak adil, sedangkan Al-Quran menuntut keadilan apabila menghukum.

3. Hukum potong tangan, rejam sampai mati dan penggal leher ke atas orang Islam tetapi mengenakan hukum yang amat ringan kepada orang bukan Islam dalam masyarakat yang sama amatlah tidak adil. Justeru itu hudud PAS bukan hukum hudud Islam.

4. Yang kedua ialah niat PAS dan juga UMNO Kelantan apabila memperkenalkan hudud PAS adalah untuk kepentingan politik. Ini menjadikan hukum hudud PAS dan sokongannya oleh UMNO tidak Islam.

5. Bahawa niat PAS adalah untuk politik adalah jelas daripada “Amanat Perdana Pemangku Presiden YAB Tuan Guru Dato Haji Abdul Hadi Awang – Pilihanraya Ke-11 Formula Kemenangan pada 18 Januari 2003, 15 Zulkaedah 1423 Hijrah”.

6. Amanat ini berbunyi demikian, “yang pentingnya perlu ada kerjasama untuk menjatuh atau mengurangkan penguasaan atau hegemoni BN di Parlimen dan kali ini DAP perlu diyakinkan bahawa mudharat kerjasama ini dapat dikurangkan sebab konsep kerjasama ini berbeza dalam strategi 2 Arca berbanding BA-1999”

7. Ini disusuli dengan “Justeru kerana isu Negara Islam dan pelaksanaan Hudud dan Syariah menjadi punca perpecahan BA dahulu, maka PAS perlu membuat satu pengorbanan dan itihad-besar untuk tidak memasukkan persoalan Negara Islam dan pelaksanaan Hudud di peringkat Federal. Peruntukan mengenai Islam adalah mencukupi sekadar apa yang telah termaktub dalam
Perlembagaan Persekutuan dan seperti yang diamalkan kini di peringkat Federal.

8. Seandainya menang dalam pilihanraya akan datang, BA atau Pembangkang akan menubuhkan sebuah Kerajaan Demokratik dan Adil di peringkat Federal atau Pusat, yang mendokongi Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada.”

9. Nawaitu orang Islam semasa membuat ibadat amat penting. Jika niat semasa solat, tawaf dan saii ialah untuk senaman, ia tidak lagi menjadi ibadat. Kerana hudud PAS mempunyai niat menang pilihanraya, maka ia tidak lagi Islam.

10. Atas dua alasan ini, undang-undang yang di lulus oleh dewan undangan negeri Kelantan tidak boleh diterima sebagai hukum hudud Islam. Sebaliknya jika dikenakan ke atas orang bukan Islam ia akan ditentang dan huru hara akan berlaku. Allah s.w.t. tidak suka orang yang mencetuskan huru hara dan melakukan kerosakan. (Surah Al-Baqarah Ayat 27, 123)

11. Di Malaysia, hukum syarak yang sedia ada terhad kepada kepincangan dalam keluarga Islam. Ia tidak menganiaya orang Islam atau orang bukan Islam. Untuk jenayah lain, undang-undang Malaysia tidak membezakan antara agama demi mencapai keadilan bagi semua. Ketegasan Islam berkenaan dengan keadilan dijunjung.

12. Dato Haji Hadi berkata saya tidak tahu syariat Islam. Oleh itu saya tidak layak bercakap berkenaan hukum hudud. Saya juga boleh kata Haji Hadi tidak tahu berkenaan pentadbiran dan tidak layak mentadbir negeri. Sebagai seorang yang terlatih dalam bidang perubatan saya boleh kenal pasti penyakit, termasuk penyakit pentadbiran dan mengubatinya. Saya tidaklah begitu jahil dalam bidang agama. Hasil semasa pentadbiran oleh saya boleh dikaji.

13. Ingatlah orang-orang yang fasih bahasa Arab dan dipimpin oleh pemimpin yang terpelajar dalam bidang agama; orang-orang inilah yang berperang dan membunuh orang yang seagama dengan mereka. Apakah mereka tidak tahu akan larangan membunuh dalam Islam. Mereka mencipta jenayah yang tidak pun ada dalam Islam dan menjatuh hukum yang ditentukan oleh mereka tanpa menitikberat soal keadilan yang dituntut oleh Islam.

14. Ada yang menjatuhkan hukum bunuh kerana tidak simpan janggut, kerana melihat pertandingan bola sepak, kerana tidak memakai hijab sepenuhnya. Terdapat kes seorang lelaki menembak mati seorang wanita kerana dituduh berzina. Cara perbicaraan dan lelaki yang melakukan zina tidak ditunjuk. Hanya perempuan itu ditembak mati. Islamkah perbuatan ini. Adilkah perbuatan ini.

15. Ada yang akan berkata jika ini menjadikan imej Islam buruk dan tidak adil, tidak mengapa kerana kita melakukan hukum Allah. Tetapi benarkah hukum yang dicipta tanpa mengambilkira keadilan Islam serta dengan niat politik adalah hukum Allah.

16. Memikir bahawa imej Islam di kalangan orang bukan Islam, bahkan orang Islam sendiri tidak penting adalah salah. Islam berkembang meluas dahulu kerana imej tamadun yang didiri oleh orang Islam begitu cemerlang sehingga memikat hati orang bukan Islam. Orang Melayu menerima Islam kerana kejayaan dan kehandalan peniaga Islam dari Negara Arab dan India.

17. Melakukan sesuatu kerana kepentingan lain yang memburukkan imej Islam adalah sesuatu yang tidak menepati ajaran Islam dan menjauhkan orang bukan Islam dari agama suci Islam. Ia adalah perbuatan anti-dakwah.

18. Ingatlah segala yang buruk datang dari kita dan segala yang baik datang dari Allah s.w.t.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tun Dr Mahathir Mohamad speech at United Nations General Assembly


Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 73rd session of the United Nations General Assembly 2018
Turkey President Tayyip Edrogan speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019
Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019