blogtunm.blogspot.com Tun M
1. Saya sedar kenapa orang Melayu sekarang begitu benci kepada orang Rohingya.
2. Dahulu mereka benci kepada pelarian dari Vietnam. Pada mulanya orang Melayu bersimpati dengan orang Rohingya. Dan orang Rohingya pun pilih untuk datang ke Malaysia kerana simpati dari kita.
3. Tetapi apabila jumlah menjadi begitu ramai dan ada perbuatan pelarian ini yang menyentuh perasaan orang Melayu, maka simpati bertukar jadi benci.
4. Sesungguhnya kita telah beri terlalu banyak suaka kepada pelarian. Mereka sepatutnya pergi ke negara lain. Dan negara lain juga perlu buka pintu mereka.
5. Tetapi menghalau bot berisi 400 pelarian sehingga mereka berada di laut sampai 2 bulan adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan.
6. Apa yang patut dilakukan ialah membekal mereka dengan makanan dan minyak supaya mereka dapat pergi ke negara lain atau balik ke Myanmar.
7. Kita sepatutnya kecam Myanmar dan Aung San Suu Kyi kerana kezaliman mereka dan bertindak menolak dagangan dengan mereka.
8. Kita juga perlu meminta Bangsa-Bangsa Bersatu mengambil tindakan terhadap Myanmar. Kita juga perlu dedahkan kezaliman Myanmar kepada dunia.
9. Janganlah kita benci kepada orang Rohingya yang menjadi mangsa kezaliman. Negara-Negara Islam dan OIC perlu bertindak untuk menghentikan kezaliman oleh Myanmar.