blogtunm.blogspot.com Tun M
1. Saya terbaca bahawa Datuk Seri Anwar mengingatkan “orang Melayu supaya tidak berasa terlalu selesa dan angkuh sehingga menganggap kelompok lain tidak boleh diraikan.”
2. Saya juga dapat tahu dia membuat kenyataan itu setelah lawatan ke Kemboja dan berkata bahawa walaupun umat Islam Kemboja cuma 10 peratus, mereka diraikan, masjid tidak diroboh, hak mereka dipertahan malah diangkat sebagai menteri mewakili kepentingan mereka.
3. Kenyataan Anwar ini agak pelik serta ganjil kerana ia menghina orang Melayu sebagai angkuh dan tidak bersikap seperti majoriti orang beragama Buddha di Kemboja yang meraikan minoriti Islam.
4. Pertamanya, orang Melayu sejak sebelum dan selepas Merdeka telah meraikan ramai kaum-kaum lain.
5. Kerakyatan telah diberi kepada 1 juta pendatang tanpa memenuhi syarat dan mereka dibenar meneruskan adat-resam, budaya, sekolah, bahasa, agama dan cara hidup negara asal mereka.
6. Apabila Negara capai kemerdekaan, mereka diberi hak mengundi dan wakil-wakil mereka dilantik menjadi Menteri dan ke lain-lain jawatan tertinggi di dalam Kerajaan.
7. Bukan seorang tetapi jika dikira dari sejak merdeka sehingga ke hari ini, sudah ratusan jika tidak ribuan jika dicampur semua jawatan-jawatan menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen serta lain-lain jawatan penting.
8. Ekonomi Negara jelas di dalam pegangan bukan Melayu dan yang menjadi bilionair lebih 90 peratus adalah bukan Melayu.
9. Tokong-tokong besar yang dibina di merata tempat di Semenanjung Tanah Melayu tidak pernah merasa terancam. Begitu juga patung-patung keagamaan yang besar terdiri diserata pelusuk Tanah Melayu malahan diantara yang terbesar di dunia terdapat di Kelantan, di mana penduduk Melayunya melebihi 95 peratus.
10. Tetapi Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Melayu tidak benar isu berkait Melayu disiar. Ia dianggap perkauman.
11. Dahulu apabila saya kata Melayu malas ramai orang Melayu marah sedangkan tujuan saya untuk ingatkan bahawa kaum-kaum lain sudah menguasai hampir kesemua sektor ekonomi Negara dan jika kita tidak rajin dan bangkit, kita akan hilang segala-galanya.
12. Tetapi hari ini Datuk Seri Anwar kata Melayu angkuh dan tidak mahu raikan kaum lain sedangkan orang Melayu sudah memberi ruang seluas-luasnya untuk kaum-kaum lain sehingga bahagian untuk orang Melayu sudah hampir lupus.
13. Untuk orang Melayu pertahan serba sedikit yang tinggal itu Anwar anggap angkuh. Cuma apabila sudah tiada ada apa milik Melayu barulah tidak angkuh?