Sunday, July 13, 2008

PERALIHAN KEPIMPINAN

blogtunm.blogspot.com Tun M 
Saya percaya ramai daripada ahli UMNO dan orang ramai juga berasa lega apabila Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi mengisytiharkan yang dianya akan letak jawatan sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri pada Jun 2010. Pengisytiharannya di hadapan pemimpin-pemimpin UMNO dari seluruh Negara disambut dengan tepukan gemuruh.

Dia juga memilih Dato Seri Najib Tun Razak sebagai penggantinya.

Saya tidak hendak pertikai samada ini menurut tradisi UMNO atau tidak. Tetapi saya ingin tarik perhatian kepada keadaan dalam parti UMNO, parti Barisan Nasional dan Negara menjelang pilihanraya ke-13 hanya empat setengah tahun lagi.

Umum tahu bahawa UMNO, BN dan parti-parti komponennya sudah rosak teruk dan tidak mendapat kepercayaan daripada rakyat lagi setelah lima tahun Dato Seri Abdullah menerajui Parti dan Kerajaan. Buktinya ialah kekalahan teruk BN dalam Pilihanraya Umum ke-12, 2008. Belum pernah BN kalah sebegini dalam sebelas Pilihanraya Umum yang terdahulu, termasuk pada tahun 1969.

Kerja untuk memulihkan parti-parti dan kepercayaan rakyat sebelum Pilihanraya Umum ke-13 memerlukan masa yang panjang. Masa yang ada hanyalah empat setengah tahun jika tidak kurang daripada itu.

Kenyataan yang dibuat oleh Dato Seri Abdullah bermakna dalam masa yang singkat ini, walaupun Dato Seri Najib mengambilalih pada Jun 2010; UMNO, BN dan Kerajaan akan dipimpin oleh dua pemimpin, masing-masing dengan masalah masing-masing dalam hanya dua setengah tahun bagi tiap satu.

Masa ini terlalu singkat untuk berusaha memulih semula parti BN, UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PPP dan lain-lain. Sesungguhnya selain daripada parti-parti di Sabah dan Sarawak semua parti BN di Semenanjung telah ditolak oleh rakyat dan perlu rawatan luar biasa.

Keadaan politik dan peristiwa selepas Pilihanraya Umum ke-12 bergolak dan tidak menentu. Sebenarnya kurang kepercayaan keapada BN menambah kerana mesej rakyat kepada pemimpin tertinggi Kerajaan tidak dipedulikan olehnya. Pemimpin ini ternampak khayal dan berada dalam keadaan menidakkan kenyataan.

Dengan Dato Seri Abdullah menerus kepimpinannya hingga Jun 2010, pemulihan tidak dapat dimulakan kerana beliau tidak faham kehendak rakyat - iaitu beliau berhenti daripada mengepalai parti dan Kerajaan.

Jika Dato Seri Najib ambil alih pada Jun 2010 dia hanya mempunyai dua setengah tahun untuk pulihkan UMNO, pulihkan BN dan menolong memulih parti-parti komponen dalam BN.

Kerja ini bukan mudah. Ia berkehendakkan Dato Seri Najib dan semua pemimpin UMNO dan BN turun padang untuk menjelaskan tindakan yang akan diambil oleh mereka untuk memperbaiki kerosakan dalam parti-parti mereka dan pemerintahan yang dilakukan oleh Dato Seri Abdullah.

Dimasa yang sama mereka perlu bertindak untuk memulih ekonomi Negara. Dalam tiga empat tahun yang menyusul ekonomi dunia akan alami huru-hara kerana kenaikan harga minyak, bahan mentah dan makanan. Amerika Syarikat akan terus menghadapi krisis kewangan disebabkan hutang Amerika Syarikat yang tidak dapat dibayar dan kemelesetan ekonominya.

Dalam Negara inflasi luar biasa akan berlaku disertai oleh pengangguran yang tinggi. Perniagaan runcit dan industri perkhidmatan akan tergugat. Kenaikan harga barang dan makanan akan diikuti dengan lebih ramai kes muflis dan penutupan perniagaan.

Semua ini perlu ditangani oleh Dato Seri Najib dan anggota Kabinet daripada BN dalam dua setengah tahun. Ini tidak boleh jadi kerja sambilan. Ia berkehendak tumpuan sepenuh masa.

Apakah Dato Seri Najib mampu menangani semua masalah-masalah ini disamping memulihkan parti-parti? Sebenarnya kredibiliti Dato Seri Najib telah banyak merosot sejak dia menjadi Timbalan Perdana Menteri dibawah pimpinan Dato Seri Abdullah.

Dahulu Dato Seri Najib merupakan bintang yang gemilang di antara Menteri-Menteri Kabinet. Tetapi oleh kerana dia tunduk rendah kepada Dato Seri Abdullah, dengan selalunya mengia apa sahaja yang dikata dan dibuat oleh Dato Seri Abdullah, pandangan tinggi rakyat kepadanya sudah jatuh merudum. Dia perlu masa untuk memperbaiki semula imejnya. Jika daripada sekarang hingga Jun 2010 dia masih dilihat sebagai "Mr Yes" yang utama, mustahil dia akan dapat pulih imejnya.

Kenyataannya yang dia berasa terharu kerana kepercayaan Dato Seri Abdullah kepadanya tidak meyakinkan sesiapa yang dia boleh ubah sikapnya. Dia akan dilihat sebagai pemimpin yang lemah yang mudah dikongkong oleh Dato Seri Abdullah. Apakah ada jaminan yang dia akan dapat bebaskan dirinya daripada Dato Seri Abdullah setelah mengambil alih? Sukar bagi kita mempercayai yang dia mampu.

Di masa yang sama banyak tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

Dalam keadaan ini pemulihan UMNO, BN, MCA , MIC, Gerakan dan PPP tidak mungkin dijayakan sebelum Pilihanraya Umum ke-13.

Dato Seri Abdullah harus tahu bahawa akhirnya rakyat yang akan menentukan siapa menang dan siapa kalah.

Hari ini Dato Seri Abdullah boleh paksa, ugut, sogok ahli dan pemimpin UMNO untuk ikut kehendaknya, untuk sokong apa sahaja yang dikatakan olehnya, atau yang dibuat olehnya.

Tetapi seperti pada Pilihanraya Umum ke-12, ahli UMNO dan BN, penyokong biasa UMNO dan BN dan mereka yang secara terbuka pandang jijik kepada kepimpinannya akan tolak UMNO dan BN.

Percayalah jika UMNO dan BN hendak dipulih supaya tidak kalah lebih teruk dalam Pilihanraya Umum ke-13 berbanding Pilihanraya Umum ke-12 Dato Seri Abdullah perlu letak jawatan sekarang juga.

Biarlah ada pertandingan untuk jawatan-jawatan presiden, timbalan presiden dan lain-lain dalam Mesyuarat Agong Disember ini.

Siapa juga yang dipilih hendaklah diasingkan daripada Dato Seri Abdullah supaya pengaruhnya dan ketamakan konco-konconya tidak lagi dapat merosakkan Negara.

Apabila ini berlaku maka kepemimpinan baru dan seluruh jentera parti boleh digerak dengan semangat yang baru untuk berusaha menarik balik ahli dan penyokong yang telah undi parti lawan atau merosakkan undi pada Pilihanraya Umum ke-12.

Kerajaan perlu disusun semula supaya dapat menghadapi dan mengatasi masalah ketidakstabilan politik, masalah ekonomi yang telah rosak dan tekanan politik dan ekonomi dari luar negeri.

Ahli UMNO yang sudah di sedapkan oleh kenyataan Dato Seri Abdullah perlu fikir dengan mendalam.

Jika kerana diri sendiri hendak senang Parti UMNO biar dihancurkan, generasi sekarang dan akan datang akan kutuk kamu. Janganlah kerana duit RM100, kain pulikat dan sejadah, bangsa sendiri dijual.

Janganlah utamakan kepentingan diri, keinginan untuk jadi menteri, untuk mendapat kontrak bagi diri sendiri, maka bangsa dan maruah dijual.

Ingatlah beberapa Menteri Besar yang begitu yakin mereka akan terus jadi MB, akan terus mengagih peluang jadi Exco, peluang untuk kekayaan dan dengan itu menyatakan dengan kuat sokongan mereka kepada Dato Seri Abdullah, Presiden UMNO, hari ini jadi ketua pembangkang, terpaksa tinggal mahligai mereka dan tidak boleh beri gula-gula kepada yang mencium tangan mereka.

Dan Dato Seri Abdullah sendiri harus ingat parti lawan hanya memerlukan 30 kerusi sahaja lagi untuk menang pilihanraya. Sokongan oleh ahli yang setia secara buta tuli tidak mencukupi untuk menang. Sokongan penyokong yang bukan ahli diperlukan.

Di masa yang sama jikalau calon-calon parti komponen tidak menang kerana orang Cina dan India tidak suka pada Dato Seri, justeru itu menolak MCA, MIC, Gerakan dan PPP, BN tidak akan menang Pilihanraya Umum ke-13, Dato Seri tidak akan dapat memberi gula-gula lagi.

Ingatlah kalau UMNO kalah Pilihanraya Umum ke-13, ia tidak akan kembali berkuasa walau siapa pun yang memimpinnya.

Sedarlah akan hakikat ini semua. Jika Dato Seri kalah, UMNO dan BN kalah, generasi ini dan akan datang akan kutuk Dato Seri, pemimpin dan ahli-ahli UMNO.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tun Dr Mahathir Mohamad speech at United Nations General Assembly


Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 73rd session of the United Nations General Assembly 2018
Turkey President Tayyip Edrogan speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019
Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019