Sunday, July 6, 2008

PETRONAS DAN HARGA MINYAK

blogtunm.blogspot.com Tun M 
Saya berasa amat sedih kerana ada orang menyalahkan Petronas kerana kenaikan harga minyak sehingga sanggup mengkasari beberapa pekerja Petronas yang memakai baju Petronas dan menolak-nolak mereka dalam keretapi komuter.

Kenaikan harga minyak disebabkan oleh peniaga minyak antarabangsa yang menjual beli minyak sesama mereka seperti dahulu mereka menjual beli matawang negara tertentu termasuk negara kita. Terdapat maklumat yang mengatakan mereka menyewa tanker besar untuk simpan minyak menunggu kenaikan harga.

Kenaikan harga yang amat tinggi mempunyai kesan negatif kepada negara seperti China dan Jepun yang bersaing dengan Amerika Syarikat dan Eropah.

Di masa yang sama pendapatan dolar yang bertimbun-timbun oleh Negara pengeluar minyak terpaksa disimpan di Amerika. Wang ini digunakan oleh Amerika untuk menampung ekonomi mereka yang menghadapi defisit dalam belanjawan negara dan defisit dalam dagangan Amerika.

Kebanyakan daripada syarikat pengeluar minyak dimiliki oleh rakyat Amerika dan mereka mendapat keuntungan yang amat besar daripada penjualan peratusan minyak yang dikeluarkan oleh mereka bagi negara-negara pengeluar yang tidak mampu mengeluar sendiri. Di Malaysia juga terdapat syarikat-syarikat asing yang untung besar daripada bahagian mereka dalam perjanjian "production sharing".

Hanya di Malaysia Petronas memiliki bahagian yang lebih besar kerana kita tidak serah semua kegiatan pengeluaran kepada syarikat asing semata-mata. Industri petro-kimia juga adalah milik Petronas.

Kerana Petronas terlibat secara menyeluruh dalam industri minyak ia diundang untuk mengambil bahagian dalam pengeluaran, penapisan dan lain-lain kegiatan industri minyak di 34 buah Negara.

Keuntungan daripada operasi luar Negara kian meningkat dan pendapatan dibawa balik dan di miliki sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia.

Pendapatan Petronas lebih tinggi daripada jumlah cukai korporat dan cukai pendapatan Kerajaan. Tanpa sumbangan besar daripada Petronas Kerajaan tidak akan dapat memberi subsidi minyak sama sekali.

Keputusan untuk menggunakan sumbangan wang daripada Petronas untuk subsidi adalah hak Kerajaan dan bukan hak Petronas. Bagaimana dan banyak mana subsidi yang hendak diberi adalah tanggungjawab dan hak Kerajaan. Mengurang atau tidak jumlah subsidi juga ditentukan oleh Kerajaan.

Walaupun Kerajaan mengganti rugi semua syarikat minyak di Malaysia kerana menetap harga minyak yang rendah daripada kos minyak, ini tidak dilakukan berkenaan harga gas.

Harga gas sekarang jauh lebih rendah daripada harga sebenar. Kerajaan memaksa syarikat penjual gas menanggung kos ini. Oleh itu hanya Petronas sahaja yang sanggup mengadakan stesen gas untuk kereta dan juga membekal gas kepada stesen jana elektrik. Tiap satu meter padu gas yang dibekal oleh Petronas untuk kereta atau stesen janakuasa, Petronas menanggung kerugian.

Oleh kerana permintaan untuk gas melebihi daripada pengeluaran di Semenanjung, Petronas terpaksa beli gas dengan harga pasaran dunia. Dengan ini kerugian menjadi lebih besar.

Jika lebih banyak gas digunakan, walaupun Petronas dibenar menaikkan harga gas, tetapi Petronas tetap akan rugi. Sudah tentu syarikat minyak yang lain tidak akan import dan jual gas di Malaysia. Sebagai syarikat negara Petronas sanggup tanggung kerugian. Syarikat dagang tidak akan berasa bertanggung jawab terhadap negara ini.

Penggunaan minyak dalam negara meningkat sepanjang masa. Tiap tahun hampir setengah juta kenderaan bermotor didaftar. Bangunan-bangunan pencakar langit dan bangunan rumah bertambah dengan pesat. Demikian juga industri yang mewujudkan peluang kerja kepada rakyat. Semuanya mengguna kuasa elektrik yang dijana dengan gas sebagai bahan api.

Hari ini kita keluarkan lebih kurang 650,000 tong sehari, dan kita guna 400,000 tong dalam negara. Baki 250,000 tong kita jual di luar negara dengan harga pasaran iaitu 140 Dolar Amerika setong bersamaan dengan RM420 setong.

Dengan kenaikan harga minyak, subsidi untuk minyak tentu naik. Tetapi kerana kita dapat tambahan pendapatan daripada kenaikan harga jualan minyak yang kita eksport maka subsidi boleh ditambah.

Tetapi jika kegunaan dalam negeri meningkat, dan ia tetap meningkat, maka eksport tentulah merosot sepanjang masa. Bertambahnya penggunaan dalam negeri bermakna lebih banyak jumlah subsidi yang diperlukan. Lebih banyak yang digunakan dalam negeri, maka jumlah eksport tentulah merosot dan pendapatan daripada eksport juga akan merosot.

Jika sampainya satu masa jumlah kegunaan dalam negeri menjadi sama dengan jumlah pengeluaran dalam negeri, maka tidak akan ada lagi pendapatan daripada eksport. Di waktu itu tidak ada wang untuk memberi subsidi lagi.

Petronas saya percaya jika tidak diganggu oleh pihak tertentu untuk menguasai industri yang begitu untung ini, akan cuba mengeluarkan minyak di luar negara. Minyak ini tidak akan beri pulangan yang sebesar minyak dalam negeri. Bayaran hasil oleh Petronas kepada Kerajaan akan merosot. Jika tidak ada sesuatu usaha dibuat sekarang, jika hanya politik yang diberi perhatian oleh Kerajaan Dato Seri Abdullah Badawi, ekonomi negara ini boleh hancur dan rakyat akan kembali jadi rakyat negara ketiga.

Sementara itu kita harus fikir apakah akan jadi kepada kita jika tidak ada Petronas dengan kecekapan anggotanya dalam industri yang strategik ini.

Walaupun saya dinamakan penasihat kepada Petronas, setelah saya tidak jadi Perdana Menteri saya tidak lagi memberi apa-apa nasihat.

Apa yang saya tulis ini ialah berkenaan dengan strategi Petronas yang dibentuk dahulu, yang mengambilkira masa depan industri minyak negara dan kesan terhadap ekonomi negara. Memang kenaikan harga minyak tidak diduga, tetapi ramalan kita tidak akan sebegini teruk. Strategi ini perlu dikaji semula memandangkan kenaikan harga yang luar biasa.

Strategi ini perlu mengambilkira bukan sahaja keadaan dalam negara dan keperluan mencari populariti tetapi juga keadaan di luar Negara di mana sekali lagi konsep pasaran bebas (free market) memberi peluang kepada penyangak gergasi untuk memperkayakan diri mereka di atas penderitaan yang miskin di dunia.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tun Dr Mahathir Mohamad speech at United Nations General Assembly


Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 73rd session of the United Nations General Assembly 2018
Turkey President Tayyip Edrogan speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019
Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019