Wednesday, May 13, 2009

PETUNJUK EKONOMI DAN KEKAYAAN NEGARA

blogtunm.blogspot.com Tun M 
(Ini adalah rencana pertama di dalam siri mengenai aliran semasa yang membawa kepada krisis kewangan masakini. Rencana asal di dalam bahasa Inggeris telah disiarkan di dalam blog ini pada April 23, 2009)

1. Kita semua percaya bahawa negara-negara masyhur yang maju ekonominya memperoleh kekayaan menerusi pengurusan ekonomi yang pintar dan kemahiran dalam perniagaan. Mereka juga ternampak berjaya mentadbir negara mereka dengan baik.

2. Mereka telah mengadakan pelbagai petunjuk untuk menunjuk tahap kekayaan yang telah mereka capai. Dengan riaknya mereka membandingkan petunjuk-petunjuk ini, terutamanya pendapatan per kapita dan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), dengan negara-negara miskin, untuk menunjuk bagaimana cekapnya mereka dalam menguruskan ekonomi mereka. Yang miskin tetap miskin kerana tidak belajar bagaimana untuk uruskan ekonomi negara mereka. Mereka ini boleh dianggap negara mundur.

3. Dakwaan negara kaya bahawa mereka begitu cekap dalam mentadbir dan mengurus hanyalah separuh benar. Benarlah mereka pengeluar barangan, pembekal perkhidmatan dan berdagang di dalam dan di luar negara. Tetapi kekayaan mereka daripada aktiviti-aktiviti ini tidaklah sebesar sebagaimana yang mereka gembar-gemburkan. Jika per kapita dan KDNK mereka berdasarkan hanya kepada perniagaan yang sebenar ini, mereka tidaklah sekaya seperti yang didakwa. Sudah tentu Amerika Syarikat dan Britain akan hampir bankrap.

4. Apa yang membolehkan mereka berjaya pertahankan petunjuk yang tinggi ialah kecerdikan mereka dalam berjudi dan memanipulasikan kewangan. Inilah yang memberi keuntungan besar kepada mereka dan membolehkan rakyat mereka menikmati tahap kekayaan yang amat tinggi.

5. Sebagai contoh, pasaran saham. Keuntungan kewangan yang diperolehi dalam pasaran saham tidak ada kena-mengena dengan perniagaan sebenar. Selalunya dividen yang dibayar amat kecil, berdasarkan kepada nilai asal saham. Oleh itu jika saham tersebut pada mulanya dinilai satu dolar, dividen sebanyak lima peratus hanyalah lima sen.

6. Tetapi jika terdapat permintaan yang banyak, saham satu dolar akan dinilai lebih tinggi daripada harga asal saham tersebut. Jika “harga pasar” saham ialah lima dolar, dividen lima peratus akan berikan pemegang saham hanya 0.5 % atau setengah sen dividen untuk setiap saham yang dibeli pada harga lima dolar. Ianya tidak akan membuatkan pemegang saham itu kaya.

7. Adalah lebih baik jika wang tersebut diletakkan dalam simpanan tetap dengan kadar faedah empat peratus, dengan itu lima dolar akan memperoleh kadar faedah sebanyak 20 sen.

8. Tetapi jika nilai saham naik, katakan daripada lima dolar ke enam dolar, pulangan ke atas pelaburan lima dolar adalah satu dolar atau 20 peratus. Tetapi nilai sebenar perniagaan tersebut dari segi aset tidak akan digambarkan pada nilai saham (dalam pasar) mahupun modal.

9. Jika perniagaan gagal ianya akan dinilai sebahagian sahaja daripada harga pasaran jika ianya hendak dicairkan (dijual).

10. Walaubagaimanapun aset (modal dan harta) tersebut mungkin bernilai lebih daripada harga pasar yang menjunam. Dalam pada itu pelabur (yang melabur semasa harga saham tinggi) akan kehilangan banyak wang yang dilaburkan (kerana kejatuhan nilai saham dalam pasar).

11. Jika pembeli membeli kesemua saham yang nilainya sudah merosot, ada kemungkinan dianya akan membuat untung dengan menjual asset (harta) perniagaan tersebut. Ini bukanlah satu jenis perniagaan, tetapi memang ada yang beli syarikat untuk meleraikan aset. Selepas itu tidak akan ada lagi perniagaan yang akan menyumbang kepada KDNK.

12. Yang jelas harga saham tiada kaitan dengan perniagaan yang dijalankan. Walaupun perniagaan maju, harga saham yang terlalu tinggi tidak membayangkan nilai sebenar atau keuntungan perniagaan. Harga saham sebenarnya palsu. Saham, yang pada dasarnya kepingan kertas telah menjadi komoditi yang tersendiri (untuk dijual beli).

13. Tetapi pelabur tetap boleh jadi kaya dengan membeli dan menjual saham. Sudah tentu mereka juga boleh kehilangan semua duit yang dilaburkan apabila saham merudum.

14. Harga saham juga boleh dimanipulasi. Menerusi jualan singkat harga boleh dinaikkan atau ditekan turun. Sekali lagi pergerakan harga saham tidak ada kena mengena dengan perniagaan sebenar yang dijalankan.

15. Pasaran saham bertukar menjadi kasino di mana pertaruhan berlaku walaupun ianya tiada kena mengena dengan perniagaan sebenar. Perjudian di negara-negara kaya ini adalah jauh lebih besar daripada nilai syarikat yang disenaraikan di pasaran saham. Tetapi keuntungan luar perniagaan ini tetap dihitung di dalam pendapatan per kapita serta KDNK.

16. Tetapi bukan ini sahaja kekayaan palsu yang menaikkan per kapita dan KDNK negara-negara kaya.

17. Hakikatnya ialah angka petunjuk per kapita dan KDNK tidak mencerminkan kekayaan negara-negara maju daripada perniagaan dan dagangan mereka. Jika ditolak pendapatan daripada jual-beli saham, daripada pinjaman sub-prime (yang lemah) bank-bank, gadaian dan insuran keatas hutang yang tak dapat dibayar, jualan matawang dan kegiatan dana lindung nilai, pendapatan per capita dan KDNK negara-negara maju akan berkurangan sebanyak 40 peratus (angka ini disebut oleh Obama). Ini bermakna per kapita Amerika Syarikat bukan US36,000 Dolar tetapi US21,600 Dolar.

18. Pendapatan per kapita Malaysia lebih tepat kerana kita tidak terlibat (setahu saya) dengan pinjaman sub-prima, dana lindung nilai dan lain-lain. Hari ini per kapita kita ialah US6,000 Dolar oleh kerana nilai tukaran Ringgit ialah 3.80 bagi satu dolar Amerika. Jika tidak kerana penyangak matawang Amerika menurunkan nilai Ringgit dari 2.50 kepada 3.80 bagi satu US dolar pendapatan per kapita kita sepatutnya 9 ribu hingga 10 ribu dolar Amerika.

19. Dari angka per kapita ini, kita tidaklah jauh ketinggalan dari kemajuan dan kekayaan negara-negara maju yang sebenar.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tun Dr Mahathir Mohamad speech at United Nations General Assembly


Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 73rd session of the United Nations General Assembly 2018
Turkey President Tayyip Edrogan speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019
Dr Mahathir Mohamad speech at the general debate of the 74rd session of the United Nations General Assembly 2019